Photobucket

Sunday, April 3, 2011

Saat Nabi Muhammad S.A.W. Hampir wafat

Terdapat sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan RasulNya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Ketika itulah, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah:

"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertakwalah kepadaNya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-samaku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah saw. yang tenang dan penuh minat menatap sahabat-sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap baginda dengan mata yang berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah saw. akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah saw. yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah saw. masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah saw. menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah anakku, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut," kata Rasulullah saw..

Fatimah menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri Rasulullah lalu Baginda menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi sesiapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat penghantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" – "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai dirinya sebagaimana Baginda mencintai kita?

Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi

Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Semoga kita hargai segala pengorban Rasulullah SAW

Kehilangan Arah Untuk Pulang


Sebelum kedatangan agama samawi, manusia sebelumnya berpegang kepada agama adalah disebabkan perasaan takut seperti takut kelaparan, takut kepada binatang buas, takut kepada kesakitan atau kematian.

Pada tahap ini, pemahaman berkenaan perhubungan sebab-akibat masih belum sempurna sifatnya, dan akibatnya dalam minda manusia terdahulu tercipta gambaran-gambaran makhluk-makhluk hebat yang difikirkan boleh menyelamatkan mereka daripada bahaya-bahaya tersebut.

Untuk menenangkan makhluk-makhluk hebat ini mereka menawarkan pelbagai jenis korban termasuklah korban manusia seperti wanita atau bayi. Mereka yang tidak beragama mempunyai moral yang lebih teruk seperti Firaun yang sanggup membunuh kesemua bayi Bani Isreal demi menyelamatkan kerajaannya atau melayan manusia seperti hamba seperti Maharaja China Qin Shi Huang yang mengerahkan manusia membina tembok yang luar biasa panjangnya dan mengorbankan banyak nyawa demi keutuhan kerajaannya.

Kedatangan agama samawi telah membebaskan manusia daripada agama ketakutan kepada agama moral. Genius-genius dari agama samawi seperti Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad saw. telah datang dan membawa bersama mereka obor untuk menghuraikan konflik di antara kepercayaan berasaskan ilmu dan kepercayaan membuta tuli.

Dua golongan ulama'

Kedatangan genius-genius tersebut membawa mesej kepada manusia bahawasanya sudah sampai masanya kepercayaan membuta tuli digantikan secara berperingkat-peringkat dengan kepercayaan berasaskan ilmu. Mereka meletakkan kepercayaan yang tidak berasaskan ilmu pengetahuan sebagai tahyul dan kepercayaan sepatutnya berakarkan sebaliknya.

Mengikut panduan mereka, fungsi tunggal pendidikan dari agama samawi adalah untuk membuka cara berfikir dan mengetahui. Al-Kitab dan As-Sunnah sebagai satu sumber panduan yang terkemuka untuk mendidik manusia berfikir dan mengetahui dijadikan sebagai sumber ilmu yang ekslusif.

Malangnya, para intelektual Islam tidak cuba membuka pintu ini dengan cara yang sepatutnya. Mereka mempunyai ilmu yang paling sempurna dan paling jelas berkenaan Islam, tetapi kurang berjaya dalam merungkaikan apakah sebenarnya aspirasi al-Quran.

Prinsip tertinggi yang terselindung dalam al-Quran tidak tercapai dengan sempurna oleh para intelektual Islam dan akibatnya umat Islam sendiri menjadi kurang yakin dengan penerangan daripada mereka.

Bukankah kita berasal dari satu bapa? Benar, tetapi kenapakah seseorang Muslim terpaksa menunggu cahaya ilmu dari barat sebelum menerima sepenuhnya kenyataan tersebut. Maka di sini kita dapat memahami ulama bukan sahaja terdiri daripada mereka yang menguasai usul-fiqh, usuluddin, ilmu rijalul hadiths dan memahami semua hadith yang termuat dalam Kutubus Sittah ataupun Al-Musnad bahkan para saintis Islam juga merupakan ulama.

Yang membezakan mereka adalah ulama pertama memberi penerangan manakala ulama kedua pula memberikan pembuktian yang disokong dari pengalaman dan pemikiran kritis yang jelas.

Ini kerana kaedah saintifik mengajar kita tentang bagaimana fakta-fakta alam dihubungkan atau disandarkan di antara satu sama lain secara logik dan sistematik. Bergantung kepada kaedah saintifik sepenuhnya kadangkala gagal memberi pembuktian yang memuaskan sepertimana ramalan cuaca.

Ini kerana apabila melibatkan pelbagai faktor penyebab sains gagal mejinakkan alam. Seperti dikatakan, genius-genius agama samawi membawa bersama mereka bukan sahaja penerangan bahkan juga pembuktian dalam menghuraikan konflik kepercayaan dan mereka mengutamakan kepercayaan berasaskan ilmu pengetahuan lebih daripada kepercayaan membuta tuli. Seperti pepatah barat mengatakan: "Seeing is believing".

Metafora monyet

Sekarang mari kita lihat satu contoh bagaimana ulama kedua dapat membantu ulama pertama dalam menghuraikan konflik dengan unik sekali menggunakan ilmu pengetahuan.

Jika seseorang bertanya kepada ulama pertama: Adakah sekumpulan monyet dapat menaip satu naskah novel Hamlet dengan izin Allah.

Ini adalah Tauhid Rububiyyah maka jawapannya adalah seperti yang dijangka: Sudah tentu boleh kerana Dia Maha Berkuasa.

Benarkah? Hujah mereka sudah tentu diragui. Jika kita mempunyai 24 aksara maka monyet tersebut terpaksa menaip perkataan sebanyak 2,430,000 sebelum mempunyai peluang menaip satu perkataan yang bermakna.

Jika dilihat, 2,430,000 bermakna monyet-monyet tersebut terpaksa menaip perkataan sebanyak 24 diikuti dengan 30 000 kosong di belakangnya. Andaikan monyet-monyet tersebut sudah belajar menaip dengan cekap dan boleh menaip sepantas seratus perkataan seminit, maka monyet-monyet tersebut akan mengambil masa, 2,430,000 dibahagikan dengan seratus, hampir 1,040,000 minit sebelum satu perkataan bermakna muncul.

Bayangkan, jumlah minit yang telah berlalu sejak dari Letupan agung (Big Bang) hanyalah 1,021 minit. Jika diambil semua elektron yang ada di alam semesta ini mewakili monyet, monyet-monyet tersebut masih belum mempunyai masa yang secukupnya untuk menulis sekurang-kurangnya dua huruf yang bermakna.

Dengan kata lain, untuk monyet-monyet menulis satu naskah karya Hamlet adalah teramat mustahil terjadi. Maka inilah perlunya ulama kedua dengan memberi pembuktian secara logik dan sistematik bagaimana mungkin monyet-monyet tersebut mempunyai peluang menulis senaskah novel Hamlet walaupun tanpa bukti empirikal.

Inilah pula peranan ulama kedua, ulama tersebut akan mengambil satu ramuan dari ilmu biologi iaitu teori evolusi oleh Darwin dan menggunakan satu kaedah dalam teori tersebut iaitu konsep pemilihan (natural selection).

Konsep ini menegaskan bahawa evolusi di antara spesies terjadi apabila alam semulajadi memilih hanya baka yang terbaik sahaja untuk terus hidup dan baka yang kurang baik akan dihapuskan. Bayangkan kita mengambil sekumpulan kecil monyet (beberapa ratus) dan membiarkan setiap monyet tersebut untuk menaip papan kekunci (keyboard) hanya sekali dan kemudian memilih baka monyet yang berjaya menaip huruf pertama di dalam novel Hamlet (huruf W).

Sekarang, andaikan kebolehan menaip satu huruf yang betul dari karya Hemlet dapat diwarisi kepada generasinya, supaya anak monyet yang dapat menaip huruf W selalu menaip huruf tersebut dengan hanya satu taipan ke atas papan kekunci (keyboard).

Kemudian pada generasi kedua ada pula monyet yang dapat menaip huruf kedua dari karya Hamlet (huruf H) dan sekali lagi baka monyet tersebut diambil dan generasinya akan sentiasa menaip huruf tersebut.

Meneruskan polisi ini selama sembilan generasi akan mengeluarkan kesemua baka yang dapat menaip dengan cekapnya perkataan pertama dari karya Hamlet iaitu: 'WHO'S THERE'. Jika diteruskan lagi maka kesemua generasi monyet-monyet tersebut akan dapat menulis keseluruhan karya Hamlet dari Shakespearean dalam masa 300,000 tahun.

Jika dilihat umur alam sejak dari Letupan Agung (Big Bang) hingga sekarang adalah 1,021 minit maka monyet-monyet itu masih mempunyai masa yang secukupnya untuk menyiapkan senaskah novel tersebut.

Maka perkara tersebut tidak mustahil terjadi. Menggunakan hujah di atas, ulama kedua telah membuktikan tidak mustahil sekumpulan monyet menaip keseluruhan karya Hamlet walaupun kelihatan mustahil pada mulanya.

Inilah cara yang digunakan oleh manusia-manusia genius tersebut. Penerangan berserta pembuktian yang tidak dapat diragui dan disangkal oleh logik akal. Maka kebanyakan umat Islam terdahulu yakin kerana mereka mempercayai Islam berasaskan ilmu pengetahuan.

Maka iman mereka lebih kukuh dan hebat sehinggakan sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi mempertahankan kepercayan mereka. Sekarang mari kita membuat simulasi berkenaan kaedah yang dicadangkan oleh manusia-manusia genius ini di dalam penciptaan kepercayaan berasaskan ilmu pengetahuan.

Shir haShirim

Bagi Muslim yang mendapat pendidikan di negara-negara barat, mereka dengan selesanya berkawan dengan golongan-golongan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) dan kadangkala duduk serumah dengan mereka.

Oleh sebab itu mereka tidak dapat memberi satu sebab mengapakah Muslim perlu berhati-hati dengan Ahli Kitab ini. Tetapi di dalam Surah al-Baqarah, ayat 120 yang bermaksud: "Dan tidak akan rela orang-orang Yahudi dan Nasrani kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka" telah menyatakan sebaliknya.

Mungkin kita dapat membuktikan dalil ini dengan menggunakan kaedah statistik dengan bertanya kepada mereka seorang demi seorang apakah pandangan mereka tentang Muslim.

Untuk mendapat keputusan yang lebih dipercayai, kita seharusnya mengumpul kesemua pendapat orang Yahudi di Negara Israel dan orang Nasrani di Vatican City.

Tetapi kaedah ini meletihkan dan kemungkinan pendapat mereka tidak selari dengan kata hati mereka. Maka kita mengambil cara yang paling mudah iaitu meyelongkari falsafah-falsafah yang tersembunyi dalam teknologi mereka kerana falsafah adalah saluran dari alam pemikiran mereka dalam mencari kebenaran berhubung dengan kewujudan, ilmu pengetahuan, nilai, tujuan, minda dan bahasa.

Sebelum itu, kita terpaksa membelek kitab Injil versi King James pada helaian Song of Solomo di mana nama sebuah negara Islam disebut iaitu Lebanon.

Lebanon adalah sebuah negara yang berdaulat dan diberkati dengan pertanian yang subur terletak di Asia Barat di pesisiran laut Mediterranean. Negara ini mempunyai sejarah yang amat tua di mana ia telah disebutkan di dalam kitab Bible versi King James.

Di dalam kitab itu ada disebutkan:

"Kakinya adalah tiang-tiang marmar putih, bertumpu pada alas emas murni. Perawakannya seperti gunung Libanon, terpilih seperti pohon-pohon aras." [Song of Solomo 5:15].

Persoalannya kenapa Lebanon. Jika dilanjutkan bacaan hingga ayat ke-16 maka kita akan bertemu dengan satu tulisan Ibrani seperti ini (מחמד) yang sebenarnya terdiri daripada empat huruf (mem, het, mem dan dalet) ataupun boleh diterjemahkan sebagai MHMD.

Apakah maksud sebenar tulisan Ibrani tersebut. Seperti diketahui, golongan ahli kitab ortodok amat benci jika ada sinar Islam di dalam kitab mereka dan sekarang mari kita membuat ujian pantas untuk meguji tahap kebencian mereka.

Sekarang mari kita menggunakan aplikasi yang diasaskan oleh golongan tersebut seperti Google Translator (http://translate.google.com/) dengan mencari makna מחמד dengan mensetkan kepada Hebrew-Malay.

Anda akan mendapati makna yang sama jika anda mensetkan kepada Hebrew-English.

Tetapi kebenaran tidak dapat disembunyikan, sekarang meggunakan aplikasi Google Translator yang sama cuba lagi tetapi sekarang masukkan tanda (,) di hadapan perkataan tersebut seperti ( ,מחמד ).

Apakah signifikannya tanda (,) hinggakan kata nama yang sama mempunyai dua makna yang berbeza. Juga kenapakah dalam dua bahasa yang berbeza (Melayu dan Inggeris) kata nama מחמד mempunyai tafsiran yang sama.

Jika dikatakan terjemahan tersebut adalah masalah teknikal maka mari kita melihat mengikut kaedah kebarangkalian mudah.

Di dalam Google Tanslator mempunyai 58 bahasa tetapi tiada satupun menterjemahkan perkataan tersebut dengan penuh penghormatan. Mari kita menafsirkan kebarangkalian kesilapan teknikal kepada (0) dan kebarangkalian bukan kesilapan teknikal kepada (1) sementara nilai di antaranya menunjukkan kecenderungan sesuatu penafsiran (jika 0.2 boleh diertikan sebagai kesalahan teknikal).

Di dalam Google Translator, 54 dari 58 bahasa menterjemahkan מחמד kepada 'binatang peliharaan' dan 3 daripada 58 bahasa menterjemahkan kepada 'haiwan' dan 1 daripada 58 bahasa menterjemahkan kepada 'maskot'.

Kebarangkaliannya adalah 0.93 (54/58) untuk bahasa yang menterjemahkan kepada' binatang peliharaan' dan 0.05 (3/58) untuk bahasa yang menterjemahkan kepada 'haiwan' (kebarangkalian untuk terjemahan kepada 'maskot' boleh diabaikan kerana terlalu kecil).

Dapat dilihat di sini kebarangkalian untuk tidak membuat kesilapan teknikal adalah sebesar 93%. Memang tidak dapat disangkalkan lagi.

Jika dianalisis, 3 bahasa yang menterjemahkan kepada 'haiwan' adalah bahasa yang digunakan secara meluas oleh kesatuan Eropah dan majoriti penganutnya adalah kaum Nasrani yang membaca kitab Bible versi King James hampir setiap hari.

Di sini kita kembali kepada istilah percaya dengan ilmu pengetahuan dan juga kembali kepada metafora monyet. Kemungkinan menjadi semakin jelas kenapa kita perlu berhati-hati dengan mereka apabila kita menyingkap tingkap falsafah yang terselindung di sebalik teknologi-teknologi mereka.

Sepertimana kita dapat memungkinkan keturunan monyet-monyet boleh menaip senaskah karya Hamlet. Persamaan dengan metafora monyet adalah kita menggunakan konsep kemungkinan atau kebarangkalian untuk merungkaikan peristiwa yang mustahil terjadi.

Kali ini, peristiwa tersebut adalah seperti kata pepatah 'air yang tenang jangan disangka tiada buaya'. Maka air yang tenang adalah kebaikan yang ditunjukkan oleh Yahudi dan Nasrani dan buaya tersebut adalah teknologi-teknologi mereka yang cuba pesongkan pandangan manusia kepada kebenaran Islam yang sudah nyata tersurat di dalam kitab suci mereka dengan menyembunyikan perkara sebenar.

Thursday, March 24, 2011

KRISIS KEYAKINAN

Selalunya apabila diuji kita akan melihat ujian itu sebagai satu seksaan atau malapelaka yang kadangkala menyebabkan kesedihan atau kegusaran yang melampau-lampau. Kita menangis semahu-mahunya, bercerita tidak henti-henti dan menyalahkan diri sendiri dan orang di sekeliling yang boleh disalahkan. Terlalu cepat kita melatah. Terlalu singkat sekali pemikiran kita yang pada dasarnya dilapisi ilmu agama. Tanpa kita sedari mungkin ini petanda rendahnya iman.

Di luar kotak musibah, boleh sahaja kita menasihati orang lain agar bersabar, supaya berserah kepada Allah SWT, bertawakkal dan redha dengan qada' dan qadar tetapi lihatlah saja berapa ramai antara kita yang akhirnya memakan kata-kata sendiri apabila dihembus angin musibah. Kata-kata nasihat yang bersemangat keluar daripada mulut kita sendiri kini pudar dan longlai dipukul ujian dunia. Mungkin ada yang berkata "Tak rasa mana tahu. Kena batang hidung sendiri baru tahu."

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ

"Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan?"

(Al-Shaf:2)

Mengapa ini terjadi?

Mengapa ada di antara orang-orang yang terlebih dulu 'makan garam' dan mereka yang dalam ilmu kefahamannya tentang hakikat dan takdir Allah SWT juga tidak terlepas dari berkelakuan demikian walaupun mereka mengetahui tentang ilmu agama? Mereka sepatutnya lebih arif bukan?

***

Ini kerana kita tidak bercakap soal ilmu. Kita bercakap berkenaan satu kuasa yang jauh lebih kuat daripada ilmu yang tersimpan di dalam akal fikiran. Kita bercakap tentang hati. Organ yang menjadi raja kepada tubuh kita dan jika baik hatinya maka baiklah keseluruhannya.

Hati yang membimbing kita untuk menjadi kuat dan tabah dalam menghadapi kesusahan atau ujian daripada Allah SWT. Kerana di hati tersimpannya keyakinan yang tidak mungkin muncul melalui ilmu pengetahuan yang kita perolehi semata-mata. Keyakinan daripada hati itu terbit tidak lain tidak bukan bersama iman . Iman yang datang daripada ilmu pengetahuan kita yang disertai amalan. Disebabkan itu, mengetahui tidak semestinya meyakini lantas boleh dizahirkan keyakinan itu dengan perbuatan.

Mengetahui itu berpangkalan di otak manakala meyakini berpangakalan di hati dan bersangkutan dengan perihal iman seseorang. Oleh yang demikian, boleh sahaja kita menyuruh seseorang bersabar menghadapi kematian ibu atau ayah tersayang atau difitnah rakan sekerja dan pasti orang yang ditimpa musibah itu juga tahu dia harus bersabar, tetapi setakat mana kemampuannya untuk bersabar. Kemampuan itu ditentukan oleh kekuatan hati dan keyakinan terhadap takdir, qada' dan qadar' dan janji-janji Allah SWT.

Tidak yakinkah kita perjuangan kita iaitu bersabar dan terus mentaati perintah Allah SWT ini akan di balas dengan balasan yang lebih baik?

Jika kita tidak berupaya untuk bersabar maka kitalah yang harus dipersalahkan kerana tidak yakin. Tidak yakin dengan janji Allah SWT dan lemahnya kita dalam mengenal sifat-sifat Allah SWT. Kita mungkin fasih melaungkan Asma-ul-husna tetapi mungkin juga gagal dalam meyakini kebenaran nama-nama agung yang basah di lidah kita. Apabila difikirkan kita mungkin rasa malu, terlalu daif dan kerdil hendak mencongak iman yang tidak tahu di mana tahapnya. Disebabkan itulah, kadangkala kita selalu gagal untuk bertenang apabila berhadapan dengan konflik di dalam kehidupan seharian.

Benarkah cinta kita kepada Allah SWT jika kita gagal untuk pecaya dan yakin akan sifat-sifat Allah SWT?

Keyakinan itu hakikatnya berada pada tahap yang asas dalam beragama. Rukun iman sendiri berkisar tentang kepercayaan yakni keyakinan kita kepada enam perkara utama. Enam perkara ini sememangnya adalah perkara-perkara ghaib yang tidak boleh kita lihat dengan mata kasar kecuali dengan petunjuk iaitu di dalam Al-Quran. Mengapa perkara ghaib? Kerana Allah SWT hendak menguji keyakinan kita. Yakni haqqul yakin, keyakinan sepenuh hati tanpa melibatkan bukti atau akal. Keyakinan yang diharapkan ini juga membawa maksud berserah kepada kepada Allah SWT tanpa bersebab atau bukti.

***

Sewaktu peristiwa Israk Mikraj, betapa ramainya insan yang tidak yakin dengan kenyataan Nabi SAW bahawa beliau telah dijalankan oleh Allah SWT di waktu malam ke Masjid Al-Aqsa daripada Masjidil Haram pada malam yang sama diangkat hingga ke Sidratul Muntaha. Menurut tafsiran Sya'rawi, ramai yang tidak percaya sehingga ada yang murtad sementara golongan kafir Mekah lebih ke arah memaksa Nabi SAW mengaku yang perjalanan itu cumanya perjalanan roh yakni mimpi dan bukan jasad kerana ianya lebih logik dan boleh diterima akal.

Namun di kala itu, Abu Bakar sahabat Nabi SAW menerima berita itu dengan penerimaan seorang mukmin yang membenarkan peristiwa itu.

"Jika Muhammad SAW berkata demikian maka dia benar." Kemudian dia berkata lagi,"Bahkan kita mempercayainya jika dia mengatakan yang lebih jauh dari itu, kita telah mempercayainya dalam hal berita langit (wahyu), lalu bagaimana kita tidak mempercayainya dalam hal ini?"

Sayu memikirkan betapa tingginya iman Abu Bakar yang diterjemahkan melalui keyakinannya yang penuh kepada Rasulullah SAW tanpa memerlukan bukti atau dalil. Begitukah kita? Hikmah kejadian Israk' Mikraj ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai ujian keimanan dan permbersihan keyakinan manusia sehingga tidak menetap orang-orang disekeliling Rasulullah SAW melainkan mereka yang memiliki keimanan dan keyakinan yang kuat yang tidak dapat digoyahkan.

***

Kisah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi sekali lagi mengajar kita tentang keimanan. Perjuangan mereka melarikan diri ke sebuah gua yang secara zahirnya adalah sempit bagi menyelamatkan akidah dan keimanan juga berdasarkan prinsip keyakinan.

Cuba kita bayangkan mereka semua berlindung di dalam gua dan meninggalkan semua harta, keluarga dan segala-galanya yang mereka miliki. Mereka hanya mempunyai agama yakni keimanan dan pergi ke tempat yang sempit yang di dalamnya tiada ada sesuatu yang boleh menjamin kehidupan mereka. Namun sedikit tidak terdetik di hati mereka untuk gusar dan risau ketika itu kerana mereka yakin mereka mempunyai Tuhan yang akan menguruskan semua urusan mereka dan mereka cuma berdoa sepenuh hati.

Kemudian Allah SWT menjawab doa mereka. Allah SWT menghadiahi keimanan mereka dan mencukupi keperluan mereka dengan sesuatu yang diluar logik akal.

فَضَرَبْنَا عَلَى آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا

"Maka kami tutup telinga mereka beberapa tahun dalam gua itu."

(Al-Kahfi: 11)

Mengapa ditutup telinga? Kerana Allah SWT mahu membenarkan mereka tidur yang tidak akan diganggu dengan apa sekali pun kerana telinga merupakan organ yang masih berfungsi di kala kita masih tidur. Dengan tertutupnya telinga, Allah SWT menidurkan mereka selama kurang lebih 309 tahun sekaligus mencukupkan keperluan mereka untuk hidup sedangkan mereka tidak sedar langsung akan hal itu.

Mengapa mereka dibantu? Kerana keyakinan dan keteguhan hati dalam beriman kepada janji Allah SWT dan beramal untuknya.

وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لَنْ نَدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

"Dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata, 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian, telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran."

(Al-Kahfi: 14)

***

Lalu apa yang menghalang kita daripada meyakini janji Allah SWT? Tidak cukupkah pengajaran di dalam Al-Quran mengenai janji-janji Allah SWT yang tepat. Kita terbiasa melihat medium atau alat yang digunakan untuk menguji kita sebagai penyebab utama dan bukanlah Allah SWT. Dalam ayat yang lebih ringkas kita mahu "someone to be blame". Lemah benar iman kita. Sedar tidak sedar kita sudah terlalu terbiasa menjadikan manusia, kejadian atau material sebagai sebab terjadi sesuatu. Kita gagal dalam meyakini semuanya datang dari Allah SWT dan ini semua hanyalah ujian. Hati ini terlalu keras untuk memahami yang semua ini berlaku hanya kerana Allah SWT mahu ianya berlaku kerana jika Allah SWT mentakdirkan sesuatu ke atasmu, nescaya seluruh cakerawala akan bekerjasama menjalankan 'kun' Allah SWT itu, tetapi seandainya tidak ditakdirkan berlaku, bekerjasamalah keseluruhan jin dan manusia tetap ianya tidak akan berlaku.

Takdir Allah SWT itu sudah tertulis. Apabila dikunjung kesempitan, masalah, konflik, ujian, kesedihan, musibah yang menggoncang keyakinan kita haruslah kembali kepada Allah SWT. Tidak usah berterus-terusan melawan takdir dan menyalahkan dunia sekeliling. Kita diuji kerana Allah SWT masih sayangkan kita dan masih mahu menunjukkan jalan yang lurus kepada kita agar tidak dibiar hanyut, leka dan alpa dalam keseronokan. Kegembiraan sementara yang belum tentu baik buruknya.

Yakinlah kepada sesuatu yang hilang. Sahabat, kepercayaan, harga diri, saudara, kegembiraan, kebiasaan, kemewahan, maruah, keyakinan diri atau anak akan digantikan dengan perkara yang lebih baik. Yang pasti yakinlah kita, seyakin-yakinnya barulah Allah SWT akan memberi yang terbaik kepada kita. Bukankah Allah SWT itu mengikut sangkaan kita terhadapNya?

Kesimpulan

Di dalam kisah Nabi Musa, Allah SWT memberi jaminan kepada bonda Nabi Musa apabila dia perlu menghanyutkan Nabi Musa ke sungai. Dalam jaminan Allah SWT telah menyebut Dia menguatkan hati bonda Nabi Musa supaya imannya menjadi kuat dan mampu bersabar serta percaya kepada janji Allah SWT kerana secara logiknya ibu mana yang sanggup menghanyutkan anaknya sendiri di dalam sungai. Sesungguhnya Allah SWT telah yang memberi ilham dan keyakinan itu.

وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَى فَارِغًا إِنْ كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلا أَنْ رَبَطْنَا عَلَى قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

"Dan hati ibu Musa menjadi kosong. Hampir saja dia menyatakan rahsia tentang Musa seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, agar dia termasuk orang-orang yang beriman kepada janji Allah SWT. "

(Al-Qashash:10)

Syaratnya kita harus berada di dalam kategori orang beriman yakni yakin. Di dalam surah Al-Fath Allah SWT menyebut sekiranya Dia mengetahui keimanan ada di dalam hati salah seorang hambanya, pasti Dia akan menurunkan ketenangan ke dalam hati orang itu pada saat terjadinya musibah.

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

"Sesungguhnya Allah reda kepada orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)."


(Al-Fath:18)

Renungan

Ketika Nabi Ibrahim mahu meninggalka Siti Hajar di tanah gersang dan kontang yang mana tidak ada hidupan pun di situ, Siti Hajar bertanya, "Disinikah kami ditinggalkan? Apakah kamu meninggalkan kami di sini atas pilihanmu atau atas pilihan Tuhan?"

Ibrahim menjawab: "Ini adalah perintah Allah SWT."

Hajar membalas dengan yakin: "Kalau begitu kami tidak akan ditelantarkanNya."

Wednesday, March 9, 2011

Anggota Perkhidmatan Awam Digalak Baca Buku Ilmiah...


Anggota-anggota perkhidmatan awam di Perlis digalak membaca sekurang-kurangnya sebuah buku ilmiah setiap bulan bagi membentuk pemikiran kreatif dan inovatif di kalangan mereka.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, walaupun ia bukan arahan tetapi kerajaan negeri menggalakkan amalan itu bagi memenuhi masa yang terluang.

"Beberapa kajian pihak tertentu mendapati rakyat Malaysia tidak gemar membaca," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail sempena perhimpunan bulanan kakitangan perkhidmatan awam Perlis di sini hari ini.

Md Isa berkata, dengan membaca, setiap anggota perkhidmatan awam dapat membentuk sahsiah diri menjadi manusia yang berilmu dan berinformasi. Beliau juga berharap setiap anggota perkhidmatan awam memberi komitmen yang padu ke arah menjayakan matlamat Perlis Maju 2015.

Sempena perhimpunan bulanan itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selaku pengelola perhimpunan siri ketiga 2011 itu turut mengadakan pameran produk pertanian.

Destinasi Impian Terakhir...


Maha Suci Allah, Maha Sempurna Dia. Alam ciptaanNya, tersusun rapi, terbina indah. Lihatlah langit yang tiada tiang menyangga, 'berdiri' megah di atas kepala. Lihatlah bumi luas terbentang, dikeluarkan daripada 'perut'nya rezeki-rezeki untuk manusia. Ada pohon-pohonan yang menghasilkan buahan sebagai makanan, ada juga yang paling kurang sebagai tempat berteduh. Semakin dipandang, semakin banyak dan luas keindahan yang dinikmati.

Tindakan Menghasilkan Tindak Balas

Bacalah di bahagian mana pun, setiap tindakan pasti akan menghasilkan suatu tindakbalas. (act create reaction). Sama ada dalam kimia, undang-undang, perkara seperti makan, minum, berjalan, berfikir, hatta semudah bernafas; tindakan-tindakan ini akan menghasilkan tindak balas. Sama ada secara sedar atau tidak, sekeliling kita bertindak balas dalam setiap perlakuan dan tindakan kita. Yang utama yg perlu diketahui, apakah kita mahu menerima tindakbalas yang terbaik dari Allah Swt dalam setiap perbuatan kita?

Maka utamakanlah pandangan Allah Swt dalam setiap tindakan kita. Usahakanlah untuk mulakan dengan Nama Allah Swt dalam setiap tindakan kita yang baik.

Sepanjang Perjalanan ada Papan Tanda

Kita adalah Insan, Hamba Allah Swt, Khalifah Allah Swt dan pengabdi diri kepada Allah Swt. Dari kita tiada kepada ada; hakikatnya kita berada dalam satu perjalanan. Destinasi kita adalah akhirat yang hanya ada dua kediaman. Syurga sebagai balasan untuk tindakan-tindakan yang mengikut perintah Allah Swt, atau Neraka, sebagai balasan atas tindakan-tindakan yang berdosa yakni yang melanggar perintah Allah Swt. Berdoalah supaya kita tidak dimasukkan kedalam Neraka. ia adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Walaupun sebaik-baik konsep ibadah dalam perjalanan menuju destinasi ini adalah semata-mata kerana Allah Swt, tetapi kita di pesan untuk sentiasa berdoa bagi mendapatkan Syurga kelak. Yang tentunya yang hanya dapat melihat Allah Swt dan Senyuman Rasulullah Saw adalah PENGHUNI SYURGA sahaja.

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ غَيْرَ بَعِيدٍ31هَٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِيظٍ 32 مَّنْ خَشِيَ الرَّحْمَٰنَ بِالْغَيْبِ وَجَاءَ بِقَلْبٍ مُّنِيبٍ 33 ادْخُلُوهَا بِسَلَامٍ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ الْخُلُودِ 34
Dan didekatkan syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka). Inilah yang dijanjikan kepadamu (iaitu) kepada setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturanNya). (Iaitu) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat. Masukilah syurga itu dengan aman, itulah hari kekekalan. "(Surah Qaf: 31-34)


Kelayakan

Mereka yang layak untuk kembali ke tempat asal mereka berdiri di hadapan Allah, sebagaimana yang telah dinyatakan didalam al-Qur'an, akan menerima buku amalan mereka yang mengandungi segala catatan semasa mereka hidup di muka bumi dengan tangan kanan. Mereka tidak akan berasa susah dengan perhintungan amalan mereka. Bermula saat itu, mereka akan hidup dengan penuh kenikmatan. Orang- orang yang beriman diberi khabar gembira dengan keadaan yang menyenangkan di dalam banyak ayat al-Qur'an:

فَأَمَّا مَنۡ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُ ۥ بِيَمِينِهِۦ 7 فَسَوۡفَ يُحَاسَبُ حِسَابً۬ا يَسِيرً۬ا 8 وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهۡلِهِۦ مَسۡرُورً۬ا 9
Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah, dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. (Surah al-Inshiqaq: 7-9)

Destinasi Akhir

Mukmin yang berjaya mendapatkan kehidupan ini akan disambut oleh malaikat-malaikat dengan ucapan, "Kesejahteraan (dilimpahkan) ke atasmu. Berbahagialah kamu. Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya," (Surah az-Zumar: 73) Selepas itu, mereka akan dibawa ke syurga beriringan dan masuk ke dalamnya dengan tenteram dan selamat...

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يُجۡزَوۡنَ ٱلۡغُرۡفَةَ بِمَا صَبَرُواْ وَيُلَقَّوۡنَ فِيهَا تَحِيَّةً۬ وَسَلَـٰمًا 75 خَـٰلِدِينَ فِيهَا‌ۚ حَسُنَتۡ مُسۡتَقَرًّ۬ا وَمُقَامً۬ا 76
Mereka itu orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman (Surah al-Furqan: 75-76)

Dalam salah satu hadith Rasulullah SAW memberi gambaran syurga seperti berikut: “Apabila penghuni syurga memasuki syurga, pembuat pengumuman akan mengumumkan: (engkau telah dijanjikan Allah bahawa) engkau akan hidup di dalamnya dan engkau tidak akan mati; engkau akan hidup sihat di dalamnya dan tidak akan jatuh sakit; engkau akan sentiasa muda dan tidak akan menjadi tua; engkau akan sentiasa dalam kedamaian dan tidak akan berasa sengsara” [ Riwayat Muslim]

Bersama orang-orang tersayang

Orang-orang yang beriman berasa sangat gembira menghabiskan masa bersama saudara mara mereka yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah. Oleh itu, memikirkan akan bersama-sama mereka lagi di dalam syurga adalah satu sumber motivasi yang kuat kepada mukmin yang cenderung dengan sentimen ini. Walau bagaimanapun, perhubungan ini tidak hanya terhad pada beberapa tahun sahaja, sebagaimana di dunia, tetapi perhubungan ini akan kekal abadi. Jadi, kita kenalah mengajak orang-orang yang kita sayang di dunia dan ingin bersama mereka di akhirat kelak (Inilah kasih sayang SEJATI) sama-sama mengikuti perintah Allah Swt.

جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ يَدۡخُلُونَہَا وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَآٮِٕہِمۡ وَأَزۡوَٲجِهِمۡ وَذُرِّيَّـٰتِہِمۡ‌ۖ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يَدۡخُلُونَ عَلَيۡہِم مِّن كُلِّ بَابٍ۬23
سَلَـٰمٌ عَلَيۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡ‌ۚ فَنِعۡمَ عُقۡبَى ٱلدَّارِ 24 
(Iaitu) Syurga 'Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan); "Salamun alaikum bima sobartum. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu." (Surah ar-Ra'd: 23-24)

Jangan Dilupakan Tugas Ini...


Di celah-celah kesibukan manusia mencari pulangan harta dan gaji untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami, bapa, anak dan sebagainya. Ingatan berterusan diperlukan agar kita semua tidak mengabaikan usaha untuk mencari bekalan untuk kehidupan hakiki.

Jika kita ingin dianggap 'manusia' dan bukan seperti 'binatang ternak' di sisi Allah. Ingin mendapat kedudukan istimewa umat Muhammad di akhirat kelak, peruntukanlah masa secukupnya untuk melakar peta perjuangan yang patut ditempohi. Jangan sesekali kita lupa pula untuk melakarkan tahap-tahap bagi mencapainya, juga dugaan dan cabaran yang bakal mendatang.

Dari senarai panjang tugas dan objektif kehidupan kita di atas muka bumi ini, Ibn Mas'ud r.a mengingatkan sesiapa yang meluapakan sebagai 'bangkai hidup'. Ia tidak lain dan tidak bukan,

"Al-Amr bil Maʿruf wa al-nahyu ʿAn al-Mungkar"

Iaitu : menyeru dan mengajak manusia lain kepada kebaikan dan melarang mereka dari melakukan kemungkaran.

DIRI TIDAK SEMPURNA

Walau diri masih tidak sempurna dan tidak akan sempurna kerana dosa yang pasti kita lakukan, tugas itu tidak sama sekali terangkat dari senarai kewajiban kita. Malah di waktu kita melakukan kesalahan yang sama.

Memang benar amat besar kemurkaan Allah taʿala terhadap sesiapa yang menyeru kebaikan yang dia sendiri tidak lakukannya. Pun begitu, kemurkaan Allah lebih besar kepada mereka yang melakukan kebaikan dan terus melupakan seruan kepadanya. Ia adalah dosa berganda.

Justeru itu, Allah tala sendiri mengutuk sikap Yahudi yang mana mereka TIDAK SALING MENCEGAH KEMUNGKARAN yang dilakukan oleh sesama mereka. Lihatlah firman Allah berkenaan celaan ini pada surah Al-Maidah :

كَانُوا لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
Ertnya : kerana mereka (Yahudi) itu mereka tidak saling mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh mereka, amat buruklah apa yang mereka kerjakan. ( Al-Maidah : 79)

Dari Ibn Mas'ud r.a :

لما وقعت بنو إسرائيل في المعاصي نهتهم علماؤهم فلم ينتهوا فجالسوهم في مجالسهم وواكلوهم وشاربوهم فضرب الله قلوب بعضهم ببعض ولعنهم على لسان داود وعيسى ابن مريم
Ertinya : Apabila sahaja Bani Israel melakukan maksiat, para ilmuan mereka menegahnya, namun apabila tegahan tidak diendahkan, para ilmuan itu duduk bersama mereka di dalam majlis mereka, makan dan minum bersama mereka ( seolah-olah redha), maka kerana itu, Allah membiarkan hati-hati sama di antara satu sama lain ( kotor dan keji), dan dilaknat mereka itu dari lisan Nabi daud dan 'Isa. ( Riwayat Ahmad)

Nabi menyebut :

والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليوشكن الله عز وجل أن يبعث عليكم عذابا من عنده ثم تدعونه فلا يستجاب لكم
Ertinya : Demi Allah yang nyawaku ditangannya, mestilah bagimu menyeru kepda kebaikan dan melarang manusia lain dari kemungkaran, atau sangat hampirlah Allah ʿazza wa jalla menimpakan ke atasmu suatu azab dari sisiNya, sehingga apabila kamu berdoa, tidak lagi diperkenankan (Riwayat At-Tirmizi, Hadis Hasan)

Sekarang tugas kita, menggali ilmu sedalam mungkin sebagai benih untuk membolehkan kita membezakan mana yang mungkar dan mana yang maʿruf. Hanya melalui jalan itu, kita mampu melaksanakan tugas tersebut.

SERIBU ALASAN & ILMU BELUM MENCUKUPI

Jangan sesekali ditipu oleh Syaitan yang sentiasa mengutuk kita sebagai 'tidak baik', 'tidak soleh' dan 'belum cukup ilmu' dan seribu satu macam alasan lagi. Pastikan semua bisikan itu diharungi dengan keazaman dan usaha yang tinggi untuk memadamkannya.

Hakikatnya semua kita belum cukup ilmu, namun Allah mewajibkan kita berusaha untuk menyampaikan apa yang kita faham dariNya dan sunnah rasulNya kepada manusia lain.

Berusahalah mencari kefahaman ilmu dan menyampaikannya seperti kita mencari sesuap makanan untuk diri dan keluarga.

Nabi juga bersabda :

الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما، ولكن ورثوا العلم، فمن أخذه أخذ بحظ وافر
Ertinya : Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham ( wang dan harta), tetapi mewariskan ilmu, seseiapa yang mengambilnya maka dia telah mendapat kebaikan yang melimpah (Riwayat Abu Daud)

JIKA AJAKAN DAN TEGAHAN TIDAK DIIKUTI?

Sesudah ajakan dan larangan dalam bentuk yang sebaik mungkin, namun masih tidak didengari, tatkala itu sedarlah tugas kita hanya menyampai.

Allah menyebut:

إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا الْبَلاغُ
Ertinya : Sesungguhnya tiada kewajiban atasmu kecuali menyampaikan (sebaiknya) ( Al-Syura : 48)

Dan juga ingatan Allah taʿala :

وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ
Ertinya : Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman, walaupun kamu sangat menginginkannya ( Yusuf : 103)

Akhir sekali, marilah kita sama-sama merenung teguran Allah ini

أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
Ertinya : Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit (Surah al-Taubah : 38)

PENUTUP

Tugasan ini boleh dijalankan melalui pelbagai bentuk dan keadah mengikut kesusaian seseorang dan kemampuannya serta kepakarannya. Sama ada melalui parti politik, NGO yang terdiri dari perkumpulan, jamaʿah dan persatuan atau juga secara individu.

Ia boleh dilaksanakan di tempat kerja, sekolah, universiti, surau, kampung, felda, di persekitaran rumah, di ruangan internet, buku, majalah, bulletin, di waktu kursus dan seminar dan banyak lagi. Jangan disempitkankan medium dan ruangnya.

Monday, March 7, 2011

Tiga Dimensi Cinta....


CINTA adalah perkataan indah yang mempunyai erti yang amat mendalam buat sepasang kekasih. Tetapi oleh kerana terlalu kerap disebut-sebut, ia menjadi koman. Akibatnya perkataan cinta mempunyai konotasi murahan. Cinta menjadi perkataan mainan di bibir kerana mudah dilafazkan dengan selamba.

Lafaz 'AKU CINTA PADAMU' atau 'I LOVE YOU' sudah tidak menjadikan si penyebut bergetar dadanya dan si pendengar terhenti jantungnya. Pendek kata ungkapan 'AKU CINTA PADAMU' sudah jadi sebutan plastik yang lahir di bibir semata-mata, bukannya menjelma dari hati. Kerana itu, ungkapan tersebut sudah tidak lagi mudah dipercayai kerana persepsi terhadap nilainya kian murah. Mengapa, ya?

Memanglah begini jadinya kerana ramai yang belum mengenal peringkat cinta yang pada pendapat saya sebenarnya ada tiga, mengikut tiga dimensi manusia iaitu fizikalnya, mentalnya dan spiritualnya. Cinta di peringkat pertama ialah cinta fizikal, peringkat kedua, cinta emosional dan peringkat ketiga, cinta spiritual.

Lazimnya, sepasang kekasih hanya mengalami dua dimensi cinta sahaja iaitu cinta fizikal dan cinta emosional. Tidak boleh tidak, kebanyakan percintaan pada hari ini bermula di dimensi cinta fizikal. Wajahnya, lirikan matanya, senyumannya, suaranya, seksinya, bau perfumnya, hensemnya dan segala-gala yang dapat dicapai oleh lima pancaindera banyak bergantung pada cinta fizikal. Cinta pandang pertama terlahir kerana cinta fizikal.

Pertemuan yang kerap sepasang kekasih, berbual, berSMS dan MMS, bertukar pendapat, membantu menyelesai masalah, saling bersama pergi dan pulang kerja, membantu menelaah pelajaran, pemberian hadiah dan pujian akan melahirkan cinta dimensi kedua iaitu cinta emosional. Dari situ, lahirlah rindu ingin sang kekasih sentiasa di sisi. Kerana cinta emosilah lahir ungkapan lautan api sanggup kurenangi.

Di manakah cinta spiritual? Lazimnya tak terlahir di peringkat ini kerana perasaan ini sukar menjelma jika tidak diketahui. Kerana tidak dimengerti, maka ia tidak dicari. Namun, anak yang dijodohkan oleh ibu bapa akan mengalami cinta spiritual terlebih dahulu sebelum cinta fizikal dan cinta emosional. Ia apa yang selalu disebut sebagai kahwin dahulu, baru bercinta, sedangkan sebenarnya mereka berkahwin kerana mengikut perintah ibu bapa. Apa yang disukai ibu bapa, ia juga disukai ALLAH. Kerana itulah, perkahwinan ini biasanya kekal dan damai kerana ditunjangi cinta spiritual, cinta emosional dan cinta fizikal.

Fizikal, mental dan spiritual seseorang itu harus dipenuhi sebelum seseorang itu akan komited terhadap sesuatu. Justeru itu, cinta fizikal dan cinta emosional sahaja belum melengkapi. Sebab itu ia goyah. Agar perkahwinan itu teguh, carilah cinta spiritual iaitu cinta dan berkahwin kerana menurut sunah Nabi Muhammad s.a.w yang antaranya untuk menambah umat dan kerana mengikut perintah ALLAH.

Ingatlah, jodoh kita ditentukan di Luh Mahfuz. Justeru itu, ia bukan sahaja untuk di dunia, malah membawa ke akhirat. Jika diizinkan-NYA, pasangan kita itulah yang akan menjadi teman kita selama-lamanya di syurga. Berkasih di syurga bukan hanya di dalam lagu cinta, tetapi yang benar akan terjadi jika kita mengerti dengan menyuluh ke denai-denai di hati.