Photobucket

Sunday, April 3, 2011

Saat Nabi Muhammad S.A.W. Hampir wafat

Terdapat sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan RasulNya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Ketika itulah, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah:

"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertakwalah kepadaNya. Ku wariskan dua perkara pada kalian, al-Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-samaku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah saw. yang tenang dan penuh minat menatap sahabat-sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap baginda dengan mata yang berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah saw. akan meninggalkan kita semua,"keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah saw. yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah saw. masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian dia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut.

Lalu, Rasulullah saw. menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah anakku, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut," kata Rasulullah saw..

Fatimah menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri Rasulullah lalu Baginda menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Ku haramkan syurga bagi sesiapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat penghantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii?" – "Umatku, umatku, umatku"

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai dirinya sebagaimana Baginda mencintai kita?

Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi

Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Semoga kita hargai segala pengorban Rasulullah SAW

Kehilangan Arah Untuk Pulang


Sebelum kedatangan agama samawi, manusia sebelumnya berpegang kepada agama adalah disebabkan perasaan takut seperti takut kelaparan, takut kepada binatang buas, takut kepada kesakitan atau kematian.

Pada tahap ini, pemahaman berkenaan perhubungan sebab-akibat masih belum sempurna sifatnya, dan akibatnya dalam minda manusia terdahulu tercipta gambaran-gambaran makhluk-makhluk hebat yang difikirkan boleh menyelamatkan mereka daripada bahaya-bahaya tersebut.

Untuk menenangkan makhluk-makhluk hebat ini mereka menawarkan pelbagai jenis korban termasuklah korban manusia seperti wanita atau bayi. Mereka yang tidak beragama mempunyai moral yang lebih teruk seperti Firaun yang sanggup membunuh kesemua bayi Bani Isreal demi menyelamatkan kerajaannya atau melayan manusia seperti hamba seperti Maharaja China Qin Shi Huang yang mengerahkan manusia membina tembok yang luar biasa panjangnya dan mengorbankan banyak nyawa demi keutuhan kerajaannya.

Kedatangan agama samawi telah membebaskan manusia daripada agama ketakutan kepada agama moral. Genius-genius dari agama samawi seperti Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad saw. telah datang dan membawa bersama mereka obor untuk menghuraikan konflik di antara kepercayaan berasaskan ilmu dan kepercayaan membuta tuli.

Dua golongan ulama'

Kedatangan genius-genius tersebut membawa mesej kepada manusia bahawasanya sudah sampai masanya kepercayaan membuta tuli digantikan secara berperingkat-peringkat dengan kepercayaan berasaskan ilmu. Mereka meletakkan kepercayaan yang tidak berasaskan ilmu pengetahuan sebagai tahyul dan kepercayaan sepatutnya berakarkan sebaliknya.

Mengikut panduan mereka, fungsi tunggal pendidikan dari agama samawi adalah untuk membuka cara berfikir dan mengetahui. Al-Kitab dan As-Sunnah sebagai satu sumber panduan yang terkemuka untuk mendidik manusia berfikir dan mengetahui dijadikan sebagai sumber ilmu yang ekslusif.

Malangnya, para intelektual Islam tidak cuba membuka pintu ini dengan cara yang sepatutnya. Mereka mempunyai ilmu yang paling sempurna dan paling jelas berkenaan Islam, tetapi kurang berjaya dalam merungkaikan apakah sebenarnya aspirasi al-Quran.

Prinsip tertinggi yang terselindung dalam al-Quran tidak tercapai dengan sempurna oleh para intelektual Islam dan akibatnya umat Islam sendiri menjadi kurang yakin dengan penerangan daripada mereka.

Bukankah kita berasal dari satu bapa? Benar, tetapi kenapakah seseorang Muslim terpaksa menunggu cahaya ilmu dari barat sebelum menerima sepenuhnya kenyataan tersebut. Maka di sini kita dapat memahami ulama bukan sahaja terdiri daripada mereka yang menguasai usul-fiqh, usuluddin, ilmu rijalul hadiths dan memahami semua hadith yang termuat dalam Kutubus Sittah ataupun Al-Musnad bahkan para saintis Islam juga merupakan ulama.

Yang membezakan mereka adalah ulama pertama memberi penerangan manakala ulama kedua pula memberikan pembuktian yang disokong dari pengalaman dan pemikiran kritis yang jelas.

Ini kerana kaedah saintifik mengajar kita tentang bagaimana fakta-fakta alam dihubungkan atau disandarkan di antara satu sama lain secara logik dan sistematik. Bergantung kepada kaedah saintifik sepenuhnya kadangkala gagal memberi pembuktian yang memuaskan sepertimana ramalan cuaca.

Ini kerana apabila melibatkan pelbagai faktor penyebab sains gagal mejinakkan alam. Seperti dikatakan, genius-genius agama samawi membawa bersama mereka bukan sahaja penerangan bahkan juga pembuktian dalam menghuraikan konflik kepercayaan dan mereka mengutamakan kepercayaan berasaskan ilmu pengetahuan lebih daripada kepercayaan membuta tuli. Seperti pepatah barat mengatakan: "Seeing is believing".

Metafora monyet

Sekarang mari kita lihat satu contoh bagaimana ulama kedua dapat membantu ulama pertama dalam menghuraikan konflik dengan unik sekali menggunakan ilmu pengetahuan.

Jika seseorang bertanya kepada ulama pertama: Adakah sekumpulan monyet dapat menaip satu naskah novel Hamlet dengan izin Allah.

Ini adalah Tauhid Rububiyyah maka jawapannya adalah seperti yang dijangka: Sudah tentu boleh kerana Dia Maha Berkuasa.

Benarkah? Hujah mereka sudah tentu diragui. Jika kita mempunyai 24 aksara maka monyet tersebut terpaksa menaip perkataan sebanyak 2,430,000 sebelum mempunyai peluang menaip satu perkataan yang bermakna.

Jika dilihat, 2,430,000 bermakna monyet-monyet tersebut terpaksa menaip perkataan sebanyak 24 diikuti dengan 30 000 kosong di belakangnya. Andaikan monyet-monyet tersebut sudah belajar menaip dengan cekap dan boleh menaip sepantas seratus perkataan seminit, maka monyet-monyet tersebut akan mengambil masa, 2,430,000 dibahagikan dengan seratus, hampir 1,040,000 minit sebelum satu perkataan bermakna muncul.

Bayangkan, jumlah minit yang telah berlalu sejak dari Letupan agung (Big Bang) hanyalah 1,021 minit. Jika diambil semua elektron yang ada di alam semesta ini mewakili monyet, monyet-monyet tersebut masih belum mempunyai masa yang secukupnya untuk menulis sekurang-kurangnya dua huruf yang bermakna.

Dengan kata lain, untuk monyet-monyet menulis satu naskah karya Hamlet adalah teramat mustahil terjadi. Maka inilah perlunya ulama kedua dengan memberi pembuktian secara logik dan sistematik bagaimana mungkin monyet-monyet tersebut mempunyai peluang menulis senaskah novel Hamlet walaupun tanpa bukti empirikal.

Inilah pula peranan ulama kedua, ulama tersebut akan mengambil satu ramuan dari ilmu biologi iaitu teori evolusi oleh Darwin dan menggunakan satu kaedah dalam teori tersebut iaitu konsep pemilihan (natural selection).

Konsep ini menegaskan bahawa evolusi di antara spesies terjadi apabila alam semulajadi memilih hanya baka yang terbaik sahaja untuk terus hidup dan baka yang kurang baik akan dihapuskan. Bayangkan kita mengambil sekumpulan kecil monyet (beberapa ratus) dan membiarkan setiap monyet tersebut untuk menaip papan kekunci (keyboard) hanya sekali dan kemudian memilih baka monyet yang berjaya menaip huruf pertama di dalam novel Hamlet (huruf W).

Sekarang, andaikan kebolehan menaip satu huruf yang betul dari karya Hemlet dapat diwarisi kepada generasinya, supaya anak monyet yang dapat menaip huruf W selalu menaip huruf tersebut dengan hanya satu taipan ke atas papan kekunci (keyboard).

Kemudian pada generasi kedua ada pula monyet yang dapat menaip huruf kedua dari karya Hamlet (huruf H) dan sekali lagi baka monyet tersebut diambil dan generasinya akan sentiasa menaip huruf tersebut.

Meneruskan polisi ini selama sembilan generasi akan mengeluarkan kesemua baka yang dapat menaip dengan cekapnya perkataan pertama dari karya Hamlet iaitu: 'WHO'S THERE'. Jika diteruskan lagi maka kesemua generasi monyet-monyet tersebut akan dapat menulis keseluruhan karya Hamlet dari Shakespearean dalam masa 300,000 tahun.

Jika dilihat umur alam sejak dari Letupan Agung (Big Bang) hingga sekarang adalah 1,021 minit maka monyet-monyet itu masih mempunyai masa yang secukupnya untuk menyiapkan senaskah novel tersebut.

Maka perkara tersebut tidak mustahil terjadi. Menggunakan hujah di atas, ulama kedua telah membuktikan tidak mustahil sekumpulan monyet menaip keseluruhan karya Hamlet walaupun kelihatan mustahil pada mulanya.

Inilah cara yang digunakan oleh manusia-manusia genius tersebut. Penerangan berserta pembuktian yang tidak dapat diragui dan disangkal oleh logik akal. Maka kebanyakan umat Islam terdahulu yakin kerana mereka mempercayai Islam berasaskan ilmu pengetahuan.

Maka iman mereka lebih kukuh dan hebat sehinggakan sanggup mengorbankan harta dan nyawa demi mempertahankan kepercayan mereka. Sekarang mari kita membuat simulasi berkenaan kaedah yang dicadangkan oleh manusia-manusia genius ini di dalam penciptaan kepercayaan berasaskan ilmu pengetahuan.

Shir haShirim

Bagi Muslim yang mendapat pendidikan di negara-negara barat, mereka dengan selesanya berkawan dengan golongan-golongan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) dan kadangkala duduk serumah dengan mereka.

Oleh sebab itu mereka tidak dapat memberi satu sebab mengapakah Muslim perlu berhati-hati dengan Ahli Kitab ini. Tetapi di dalam Surah al-Baqarah, ayat 120 yang bermaksud: "Dan tidak akan rela orang-orang Yahudi dan Nasrani kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka" telah menyatakan sebaliknya.

Mungkin kita dapat membuktikan dalil ini dengan menggunakan kaedah statistik dengan bertanya kepada mereka seorang demi seorang apakah pandangan mereka tentang Muslim.

Untuk mendapat keputusan yang lebih dipercayai, kita seharusnya mengumpul kesemua pendapat orang Yahudi di Negara Israel dan orang Nasrani di Vatican City.

Tetapi kaedah ini meletihkan dan kemungkinan pendapat mereka tidak selari dengan kata hati mereka. Maka kita mengambil cara yang paling mudah iaitu meyelongkari falsafah-falsafah yang tersembunyi dalam teknologi mereka kerana falsafah adalah saluran dari alam pemikiran mereka dalam mencari kebenaran berhubung dengan kewujudan, ilmu pengetahuan, nilai, tujuan, minda dan bahasa.

Sebelum itu, kita terpaksa membelek kitab Injil versi King James pada helaian Song of Solomo di mana nama sebuah negara Islam disebut iaitu Lebanon.

Lebanon adalah sebuah negara yang berdaulat dan diberkati dengan pertanian yang subur terletak di Asia Barat di pesisiran laut Mediterranean. Negara ini mempunyai sejarah yang amat tua di mana ia telah disebutkan di dalam kitab Bible versi King James.

Di dalam kitab itu ada disebutkan:

"Kakinya adalah tiang-tiang marmar putih, bertumpu pada alas emas murni. Perawakannya seperti gunung Libanon, terpilih seperti pohon-pohon aras." [Song of Solomo 5:15].

Persoalannya kenapa Lebanon. Jika dilanjutkan bacaan hingga ayat ke-16 maka kita akan bertemu dengan satu tulisan Ibrani seperti ini (מחמד) yang sebenarnya terdiri daripada empat huruf (mem, het, mem dan dalet) ataupun boleh diterjemahkan sebagai MHMD.

Apakah maksud sebenar tulisan Ibrani tersebut. Seperti diketahui, golongan ahli kitab ortodok amat benci jika ada sinar Islam di dalam kitab mereka dan sekarang mari kita membuat ujian pantas untuk meguji tahap kebencian mereka.

Sekarang mari kita menggunakan aplikasi yang diasaskan oleh golongan tersebut seperti Google Translator (http://translate.google.com/) dengan mencari makna מחמד dengan mensetkan kepada Hebrew-Malay.

Anda akan mendapati makna yang sama jika anda mensetkan kepada Hebrew-English.

Tetapi kebenaran tidak dapat disembunyikan, sekarang meggunakan aplikasi Google Translator yang sama cuba lagi tetapi sekarang masukkan tanda (,) di hadapan perkataan tersebut seperti ( ,מחמד ).

Apakah signifikannya tanda (,) hinggakan kata nama yang sama mempunyai dua makna yang berbeza. Juga kenapakah dalam dua bahasa yang berbeza (Melayu dan Inggeris) kata nama מחמד mempunyai tafsiran yang sama.

Jika dikatakan terjemahan tersebut adalah masalah teknikal maka mari kita melihat mengikut kaedah kebarangkalian mudah.

Di dalam Google Tanslator mempunyai 58 bahasa tetapi tiada satupun menterjemahkan perkataan tersebut dengan penuh penghormatan. Mari kita menafsirkan kebarangkalian kesilapan teknikal kepada (0) dan kebarangkalian bukan kesilapan teknikal kepada (1) sementara nilai di antaranya menunjukkan kecenderungan sesuatu penafsiran (jika 0.2 boleh diertikan sebagai kesalahan teknikal).

Di dalam Google Translator, 54 dari 58 bahasa menterjemahkan מחמד kepada 'binatang peliharaan' dan 3 daripada 58 bahasa menterjemahkan kepada 'haiwan' dan 1 daripada 58 bahasa menterjemahkan kepada 'maskot'.

Kebarangkaliannya adalah 0.93 (54/58) untuk bahasa yang menterjemahkan kepada' binatang peliharaan' dan 0.05 (3/58) untuk bahasa yang menterjemahkan kepada 'haiwan' (kebarangkalian untuk terjemahan kepada 'maskot' boleh diabaikan kerana terlalu kecil).

Dapat dilihat di sini kebarangkalian untuk tidak membuat kesilapan teknikal adalah sebesar 93%. Memang tidak dapat disangkalkan lagi.

Jika dianalisis, 3 bahasa yang menterjemahkan kepada 'haiwan' adalah bahasa yang digunakan secara meluas oleh kesatuan Eropah dan majoriti penganutnya adalah kaum Nasrani yang membaca kitab Bible versi King James hampir setiap hari.

Di sini kita kembali kepada istilah percaya dengan ilmu pengetahuan dan juga kembali kepada metafora monyet. Kemungkinan menjadi semakin jelas kenapa kita perlu berhati-hati dengan mereka apabila kita menyingkap tingkap falsafah yang terselindung di sebalik teknologi-teknologi mereka.

Sepertimana kita dapat memungkinkan keturunan monyet-monyet boleh menaip senaskah karya Hamlet. Persamaan dengan metafora monyet adalah kita menggunakan konsep kemungkinan atau kebarangkalian untuk merungkaikan peristiwa yang mustahil terjadi.

Kali ini, peristiwa tersebut adalah seperti kata pepatah 'air yang tenang jangan disangka tiada buaya'. Maka air yang tenang adalah kebaikan yang ditunjukkan oleh Yahudi dan Nasrani dan buaya tersebut adalah teknologi-teknologi mereka yang cuba pesongkan pandangan manusia kepada kebenaran Islam yang sudah nyata tersurat di dalam kitab suci mereka dengan menyembunyikan perkara sebenar.

Thursday, March 24, 2011

KRISIS KEYAKINAN

Selalunya apabila diuji kita akan melihat ujian itu sebagai satu seksaan atau malapelaka yang kadangkala menyebabkan kesedihan atau kegusaran yang melampau-lampau. Kita menangis semahu-mahunya, bercerita tidak henti-henti dan menyalahkan diri sendiri dan orang di sekeliling yang boleh disalahkan. Terlalu cepat kita melatah. Terlalu singkat sekali pemikiran kita yang pada dasarnya dilapisi ilmu agama. Tanpa kita sedari mungkin ini petanda rendahnya iman.

Di luar kotak musibah, boleh sahaja kita menasihati orang lain agar bersabar, supaya berserah kepada Allah SWT, bertawakkal dan redha dengan qada' dan qadar tetapi lihatlah saja berapa ramai antara kita yang akhirnya memakan kata-kata sendiri apabila dihembus angin musibah. Kata-kata nasihat yang bersemangat keluar daripada mulut kita sendiri kini pudar dan longlai dipukul ujian dunia. Mungkin ada yang berkata "Tak rasa mana tahu. Kena batang hidung sendiri baru tahu."

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لا تَفْعَلُونَ

"Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan?"

(Al-Shaf:2)

Mengapa ini terjadi?

Mengapa ada di antara orang-orang yang terlebih dulu 'makan garam' dan mereka yang dalam ilmu kefahamannya tentang hakikat dan takdir Allah SWT juga tidak terlepas dari berkelakuan demikian walaupun mereka mengetahui tentang ilmu agama? Mereka sepatutnya lebih arif bukan?

***

Ini kerana kita tidak bercakap soal ilmu. Kita bercakap berkenaan satu kuasa yang jauh lebih kuat daripada ilmu yang tersimpan di dalam akal fikiran. Kita bercakap tentang hati. Organ yang menjadi raja kepada tubuh kita dan jika baik hatinya maka baiklah keseluruhannya.

Hati yang membimbing kita untuk menjadi kuat dan tabah dalam menghadapi kesusahan atau ujian daripada Allah SWT. Kerana di hati tersimpannya keyakinan yang tidak mungkin muncul melalui ilmu pengetahuan yang kita perolehi semata-mata. Keyakinan daripada hati itu terbit tidak lain tidak bukan bersama iman . Iman yang datang daripada ilmu pengetahuan kita yang disertai amalan. Disebabkan itu, mengetahui tidak semestinya meyakini lantas boleh dizahirkan keyakinan itu dengan perbuatan.

Mengetahui itu berpangkalan di otak manakala meyakini berpangakalan di hati dan bersangkutan dengan perihal iman seseorang. Oleh yang demikian, boleh sahaja kita menyuruh seseorang bersabar menghadapi kematian ibu atau ayah tersayang atau difitnah rakan sekerja dan pasti orang yang ditimpa musibah itu juga tahu dia harus bersabar, tetapi setakat mana kemampuannya untuk bersabar. Kemampuan itu ditentukan oleh kekuatan hati dan keyakinan terhadap takdir, qada' dan qadar' dan janji-janji Allah SWT.

Tidak yakinkah kita perjuangan kita iaitu bersabar dan terus mentaati perintah Allah SWT ini akan di balas dengan balasan yang lebih baik?

Jika kita tidak berupaya untuk bersabar maka kitalah yang harus dipersalahkan kerana tidak yakin. Tidak yakin dengan janji Allah SWT dan lemahnya kita dalam mengenal sifat-sifat Allah SWT. Kita mungkin fasih melaungkan Asma-ul-husna tetapi mungkin juga gagal dalam meyakini kebenaran nama-nama agung yang basah di lidah kita. Apabila difikirkan kita mungkin rasa malu, terlalu daif dan kerdil hendak mencongak iman yang tidak tahu di mana tahapnya. Disebabkan itulah, kadangkala kita selalu gagal untuk bertenang apabila berhadapan dengan konflik di dalam kehidupan seharian.

Benarkah cinta kita kepada Allah SWT jika kita gagal untuk pecaya dan yakin akan sifat-sifat Allah SWT?

Keyakinan itu hakikatnya berada pada tahap yang asas dalam beragama. Rukun iman sendiri berkisar tentang kepercayaan yakni keyakinan kita kepada enam perkara utama. Enam perkara ini sememangnya adalah perkara-perkara ghaib yang tidak boleh kita lihat dengan mata kasar kecuali dengan petunjuk iaitu di dalam Al-Quran. Mengapa perkara ghaib? Kerana Allah SWT hendak menguji keyakinan kita. Yakni haqqul yakin, keyakinan sepenuh hati tanpa melibatkan bukti atau akal. Keyakinan yang diharapkan ini juga membawa maksud berserah kepada kepada Allah SWT tanpa bersebab atau bukti.

***

Sewaktu peristiwa Israk Mikraj, betapa ramainya insan yang tidak yakin dengan kenyataan Nabi SAW bahawa beliau telah dijalankan oleh Allah SWT di waktu malam ke Masjid Al-Aqsa daripada Masjidil Haram pada malam yang sama diangkat hingga ke Sidratul Muntaha. Menurut tafsiran Sya'rawi, ramai yang tidak percaya sehingga ada yang murtad sementara golongan kafir Mekah lebih ke arah memaksa Nabi SAW mengaku yang perjalanan itu cumanya perjalanan roh yakni mimpi dan bukan jasad kerana ianya lebih logik dan boleh diterima akal.

Namun di kala itu, Abu Bakar sahabat Nabi SAW menerima berita itu dengan penerimaan seorang mukmin yang membenarkan peristiwa itu.

"Jika Muhammad SAW berkata demikian maka dia benar." Kemudian dia berkata lagi,"Bahkan kita mempercayainya jika dia mengatakan yang lebih jauh dari itu, kita telah mempercayainya dalam hal berita langit (wahyu), lalu bagaimana kita tidak mempercayainya dalam hal ini?"

Sayu memikirkan betapa tingginya iman Abu Bakar yang diterjemahkan melalui keyakinannya yang penuh kepada Rasulullah SAW tanpa memerlukan bukti atau dalil. Begitukah kita? Hikmah kejadian Israk' Mikraj ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai ujian keimanan dan permbersihan keyakinan manusia sehingga tidak menetap orang-orang disekeliling Rasulullah SAW melainkan mereka yang memiliki keimanan dan keyakinan yang kuat yang tidak dapat digoyahkan.

***

Kisah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi sekali lagi mengajar kita tentang keimanan. Perjuangan mereka melarikan diri ke sebuah gua yang secara zahirnya adalah sempit bagi menyelamatkan akidah dan keimanan juga berdasarkan prinsip keyakinan.

Cuba kita bayangkan mereka semua berlindung di dalam gua dan meninggalkan semua harta, keluarga dan segala-galanya yang mereka miliki. Mereka hanya mempunyai agama yakni keimanan dan pergi ke tempat yang sempit yang di dalamnya tiada ada sesuatu yang boleh menjamin kehidupan mereka. Namun sedikit tidak terdetik di hati mereka untuk gusar dan risau ketika itu kerana mereka yakin mereka mempunyai Tuhan yang akan menguruskan semua urusan mereka dan mereka cuma berdoa sepenuh hati.

Kemudian Allah SWT menjawab doa mereka. Allah SWT menghadiahi keimanan mereka dan mencukupi keperluan mereka dengan sesuatu yang diluar logik akal.

فَضَرَبْنَا عَلَى آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا

"Maka kami tutup telinga mereka beberapa tahun dalam gua itu."

(Al-Kahfi: 11)

Mengapa ditutup telinga? Kerana Allah SWT mahu membenarkan mereka tidur yang tidak akan diganggu dengan apa sekali pun kerana telinga merupakan organ yang masih berfungsi di kala kita masih tidur. Dengan tertutupnya telinga, Allah SWT menidurkan mereka selama kurang lebih 309 tahun sekaligus mencukupkan keperluan mereka untuk hidup sedangkan mereka tidak sedar langsung akan hal itu.

Mengapa mereka dibantu? Kerana keyakinan dan keteguhan hati dalam beriman kepada janji Allah SWT dan beramal untuknya.

وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لَنْ نَدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

"Dan kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata, 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian, telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran."

(Al-Kahfi: 14)

***

Lalu apa yang menghalang kita daripada meyakini janji Allah SWT? Tidak cukupkah pengajaran di dalam Al-Quran mengenai janji-janji Allah SWT yang tepat. Kita terbiasa melihat medium atau alat yang digunakan untuk menguji kita sebagai penyebab utama dan bukanlah Allah SWT. Dalam ayat yang lebih ringkas kita mahu "someone to be blame". Lemah benar iman kita. Sedar tidak sedar kita sudah terlalu terbiasa menjadikan manusia, kejadian atau material sebagai sebab terjadi sesuatu. Kita gagal dalam meyakini semuanya datang dari Allah SWT dan ini semua hanyalah ujian. Hati ini terlalu keras untuk memahami yang semua ini berlaku hanya kerana Allah SWT mahu ianya berlaku kerana jika Allah SWT mentakdirkan sesuatu ke atasmu, nescaya seluruh cakerawala akan bekerjasama menjalankan 'kun' Allah SWT itu, tetapi seandainya tidak ditakdirkan berlaku, bekerjasamalah keseluruhan jin dan manusia tetap ianya tidak akan berlaku.

Takdir Allah SWT itu sudah tertulis. Apabila dikunjung kesempitan, masalah, konflik, ujian, kesedihan, musibah yang menggoncang keyakinan kita haruslah kembali kepada Allah SWT. Tidak usah berterus-terusan melawan takdir dan menyalahkan dunia sekeliling. Kita diuji kerana Allah SWT masih sayangkan kita dan masih mahu menunjukkan jalan yang lurus kepada kita agar tidak dibiar hanyut, leka dan alpa dalam keseronokan. Kegembiraan sementara yang belum tentu baik buruknya.

Yakinlah kepada sesuatu yang hilang. Sahabat, kepercayaan, harga diri, saudara, kegembiraan, kebiasaan, kemewahan, maruah, keyakinan diri atau anak akan digantikan dengan perkara yang lebih baik. Yang pasti yakinlah kita, seyakin-yakinnya barulah Allah SWT akan memberi yang terbaik kepada kita. Bukankah Allah SWT itu mengikut sangkaan kita terhadapNya?

Kesimpulan

Di dalam kisah Nabi Musa, Allah SWT memberi jaminan kepada bonda Nabi Musa apabila dia perlu menghanyutkan Nabi Musa ke sungai. Dalam jaminan Allah SWT telah menyebut Dia menguatkan hati bonda Nabi Musa supaya imannya menjadi kuat dan mampu bersabar serta percaya kepada janji Allah SWT kerana secara logiknya ibu mana yang sanggup menghanyutkan anaknya sendiri di dalam sungai. Sesungguhnya Allah SWT telah yang memberi ilham dan keyakinan itu.

وَأَصْبَحَ فُؤَادُ أُمِّ مُوسَى فَارِغًا إِنْ كَادَتْ لَتُبْدِي بِهِ لَوْلا أَنْ رَبَطْنَا عَلَى قَلْبِهَا لِتَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

"Dan hati ibu Musa menjadi kosong. Hampir saja dia menyatakan rahsia tentang Musa seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, agar dia termasuk orang-orang yang beriman kepada janji Allah SWT. "

(Al-Qashash:10)

Syaratnya kita harus berada di dalam kategori orang beriman yakni yakin. Di dalam surah Al-Fath Allah SWT menyebut sekiranya Dia mengetahui keimanan ada di dalam hati salah seorang hambanya, pasti Dia akan menurunkan ketenangan ke dalam hati orang itu pada saat terjadinya musibah.

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

"Sesungguhnya Allah reda kepada orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)."


(Al-Fath:18)

Renungan

Ketika Nabi Ibrahim mahu meninggalka Siti Hajar di tanah gersang dan kontang yang mana tidak ada hidupan pun di situ, Siti Hajar bertanya, "Disinikah kami ditinggalkan? Apakah kamu meninggalkan kami di sini atas pilihanmu atau atas pilihan Tuhan?"

Ibrahim menjawab: "Ini adalah perintah Allah SWT."

Hajar membalas dengan yakin: "Kalau begitu kami tidak akan ditelantarkanNya."

Wednesday, March 9, 2011

Anggota Perkhidmatan Awam Digalak Baca Buku Ilmiah...


Anggota-anggota perkhidmatan awam di Perlis digalak membaca sekurang-kurangnya sebuah buku ilmiah setiap bulan bagi membentuk pemikiran kreatif dan inovatif di kalangan mereka.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, walaupun ia bukan arahan tetapi kerajaan negeri menggalakkan amalan itu bagi memenuhi masa yang terluang.

"Beberapa kajian pihak tertentu mendapati rakyat Malaysia tidak gemar membaca," katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail sempena perhimpunan bulanan kakitangan perkhidmatan awam Perlis di sini hari ini.

Md Isa berkata, dengan membaca, setiap anggota perkhidmatan awam dapat membentuk sahsiah diri menjadi manusia yang berilmu dan berinformasi. Beliau juga berharap setiap anggota perkhidmatan awam memberi komitmen yang padu ke arah menjayakan matlamat Perlis Maju 2015.

Sempena perhimpunan bulanan itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selaku pengelola perhimpunan siri ketiga 2011 itu turut mengadakan pameran produk pertanian.

Destinasi Impian Terakhir...


Maha Suci Allah, Maha Sempurna Dia. Alam ciptaanNya, tersusun rapi, terbina indah. Lihatlah langit yang tiada tiang menyangga, 'berdiri' megah di atas kepala. Lihatlah bumi luas terbentang, dikeluarkan daripada 'perut'nya rezeki-rezeki untuk manusia. Ada pohon-pohonan yang menghasilkan buahan sebagai makanan, ada juga yang paling kurang sebagai tempat berteduh. Semakin dipandang, semakin banyak dan luas keindahan yang dinikmati.

Tindakan Menghasilkan Tindak Balas

Bacalah di bahagian mana pun, setiap tindakan pasti akan menghasilkan suatu tindakbalas. (act create reaction). Sama ada dalam kimia, undang-undang, perkara seperti makan, minum, berjalan, berfikir, hatta semudah bernafas; tindakan-tindakan ini akan menghasilkan tindak balas. Sama ada secara sedar atau tidak, sekeliling kita bertindak balas dalam setiap perlakuan dan tindakan kita. Yang utama yg perlu diketahui, apakah kita mahu menerima tindakbalas yang terbaik dari Allah Swt dalam setiap perbuatan kita?

Maka utamakanlah pandangan Allah Swt dalam setiap tindakan kita. Usahakanlah untuk mulakan dengan Nama Allah Swt dalam setiap tindakan kita yang baik.

Sepanjang Perjalanan ada Papan Tanda

Kita adalah Insan, Hamba Allah Swt, Khalifah Allah Swt dan pengabdi diri kepada Allah Swt. Dari kita tiada kepada ada; hakikatnya kita berada dalam satu perjalanan. Destinasi kita adalah akhirat yang hanya ada dua kediaman. Syurga sebagai balasan untuk tindakan-tindakan yang mengikut perintah Allah Swt, atau Neraka, sebagai balasan atas tindakan-tindakan yang berdosa yakni yang melanggar perintah Allah Swt. Berdoalah supaya kita tidak dimasukkan kedalam Neraka. ia adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Walaupun sebaik-baik konsep ibadah dalam perjalanan menuju destinasi ini adalah semata-mata kerana Allah Swt, tetapi kita di pesan untuk sentiasa berdoa bagi mendapatkan Syurga kelak. Yang tentunya yang hanya dapat melihat Allah Swt dan Senyuman Rasulullah Saw adalah PENGHUNI SYURGA sahaja.

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ غَيْرَ بَعِيدٍ31هَٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِيظٍ 32 مَّنْ خَشِيَ الرَّحْمَٰنَ بِالْغَيْبِ وَجَاءَ بِقَلْبٍ مُّنِيبٍ 33 ادْخُلُوهَا بِسَلَامٍ ۖ ذَٰلِكَ يَوْمُ الْخُلُودِ 34
Dan didekatkan syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka). Inilah yang dijanjikan kepadamu (iaitu) kepada setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturanNya). (Iaitu) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat. Masukilah syurga itu dengan aman, itulah hari kekekalan. "(Surah Qaf: 31-34)


Kelayakan

Mereka yang layak untuk kembali ke tempat asal mereka berdiri di hadapan Allah, sebagaimana yang telah dinyatakan didalam al-Qur'an, akan menerima buku amalan mereka yang mengandungi segala catatan semasa mereka hidup di muka bumi dengan tangan kanan. Mereka tidak akan berasa susah dengan perhintungan amalan mereka. Bermula saat itu, mereka akan hidup dengan penuh kenikmatan. Orang- orang yang beriman diberi khabar gembira dengan keadaan yang menyenangkan di dalam banyak ayat al-Qur'an:

فَأَمَّا مَنۡ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُ ۥ بِيَمِينِهِۦ 7 فَسَوۡفَ يُحَاسَبُ حِسَابً۬ا يَسِيرً۬ا 8 وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهۡلِهِۦ مَسۡرُورً۬ا 9
Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah, dan dia akan kembali kepada kaumnya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. (Surah al-Inshiqaq: 7-9)

Destinasi Akhir

Mukmin yang berjaya mendapatkan kehidupan ini akan disambut oleh malaikat-malaikat dengan ucapan, "Kesejahteraan (dilimpahkan) ke atasmu. Berbahagialah kamu. Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya," (Surah az-Zumar: 73) Selepas itu, mereka akan dibawa ke syurga beriringan dan masuk ke dalamnya dengan tenteram dan selamat...

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ يُجۡزَوۡنَ ٱلۡغُرۡفَةَ بِمَا صَبَرُواْ وَيُلَقَّوۡنَ فِيهَا تَحِيَّةً۬ وَسَلَـٰمًا 75 خَـٰلِدِينَ فِيهَا‌ۚ حَسُنَتۡ مُسۡتَقَرًّ۬ا وَمُقَامً۬ا 76
Mereka itu orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman (Surah al-Furqan: 75-76)

Dalam salah satu hadith Rasulullah SAW memberi gambaran syurga seperti berikut: “Apabila penghuni syurga memasuki syurga, pembuat pengumuman akan mengumumkan: (engkau telah dijanjikan Allah bahawa) engkau akan hidup di dalamnya dan engkau tidak akan mati; engkau akan hidup sihat di dalamnya dan tidak akan jatuh sakit; engkau akan sentiasa muda dan tidak akan menjadi tua; engkau akan sentiasa dalam kedamaian dan tidak akan berasa sengsara” [ Riwayat Muslim]

Bersama orang-orang tersayang

Orang-orang yang beriman berasa sangat gembira menghabiskan masa bersama saudara mara mereka yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah. Oleh itu, memikirkan akan bersama-sama mereka lagi di dalam syurga adalah satu sumber motivasi yang kuat kepada mukmin yang cenderung dengan sentimen ini. Walau bagaimanapun, perhubungan ini tidak hanya terhad pada beberapa tahun sahaja, sebagaimana di dunia, tetapi perhubungan ini akan kekal abadi. Jadi, kita kenalah mengajak orang-orang yang kita sayang di dunia dan ingin bersama mereka di akhirat kelak (Inilah kasih sayang SEJATI) sama-sama mengikuti perintah Allah Swt.

جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ يَدۡخُلُونَہَا وَمَن صَلَحَ مِنۡ ءَابَآٮِٕہِمۡ وَأَزۡوَٲجِهِمۡ وَذُرِّيَّـٰتِہِمۡ‌ۖ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ يَدۡخُلُونَ عَلَيۡہِم مِّن كُلِّ بَابٍ۬23
سَلَـٰمٌ عَلَيۡكُم بِمَا صَبَرۡتُمۡ‌ۚ فَنِعۡمَ عُقۡبَى ٱلدَّارِ 24 
(Iaitu) Syurga 'Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan); "Salamun alaikum bima sobartum. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu." (Surah ar-Ra'd: 23-24)

Jangan Dilupakan Tugas Ini...


Di celah-celah kesibukan manusia mencari pulangan harta dan gaji untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami, bapa, anak dan sebagainya. Ingatan berterusan diperlukan agar kita semua tidak mengabaikan usaha untuk mencari bekalan untuk kehidupan hakiki.

Jika kita ingin dianggap 'manusia' dan bukan seperti 'binatang ternak' di sisi Allah. Ingin mendapat kedudukan istimewa umat Muhammad di akhirat kelak, peruntukanlah masa secukupnya untuk melakar peta perjuangan yang patut ditempohi. Jangan sesekali kita lupa pula untuk melakarkan tahap-tahap bagi mencapainya, juga dugaan dan cabaran yang bakal mendatang.

Dari senarai panjang tugas dan objektif kehidupan kita di atas muka bumi ini, Ibn Mas'ud r.a mengingatkan sesiapa yang meluapakan sebagai 'bangkai hidup'. Ia tidak lain dan tidak bukan,

"Al-Amr bil Maʿruf wa al-nahyu ʿAn al-Mungkar"

Iaitu : menyeru dan mengajak manusia lain kepada kebaikan dan melarang mereka dari melakukan kemungkaran.

DIRI TIDAK SEMPURNA

Walau diri masih tidak sempurna dan tidak akan sempurna kerana dosa yang pasti kita lakukan, tugas itu tidak sama sekali terangkat dari senarai kewajiban kita. Malah di waktu kita melakukan kesalahan yang sama.

Memang benar amat besar kemurkaan Allah taʿala terhadap sesiapa yang menyeru kebaikan yang dia sendiri tidak lakukannya. Pun begitu, kemurkaan Allah lebih besar kepada mereka yang melakukan kebaikan dan terus melupakan seruan kepadanya. Ia adalah dosa berganda.

Justeru itu, Allah tala sendiri mengutuk sikap Yahudi yang mana mereka TIDAK SALING MENCEGAH KEMUNGKARAN yang dilakukan oleh sesama mereka. Lihatlah firman Allah berkenaan celaan ini pada surah Al-Maidah :

كَانُوا لاَ يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
Ertnya : kerana mereka (Yahudi) itu mereka tidak saling mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh mereka, amat buruklah apa yang mereka kerjakan. ( Al-Maidah : 79)

Dari Ibn Mas'ud r.a :

لما وقعت بنو إسرائيل في المعاصي نهتهم علماؤهم فلم ينتهوا فجالسوهم في مجالسهم وواكلوهم وشاربوهم فضرب الله قلوب بعضهم ببعض ولعنهم على لسان داود وعيسى ابن مريم
Ertinya : Apabila sahaja Bani Israel melakukan maksiat, para ilmuan mereka menegahnya, namun apabila tegahan tidak diendahkan, para ilmuan itu duduk bersama mereka di dalam majlis mereka, makan dan minum bersama mereka ( seolah-olah redha), maka kerana itu, Allah membiarkan hati-hati sama di antara satu sama lain ( kotor dan keji), dan dilaknat mereka itu dari lisan Nabi daud dan 'Isa. ( Riwayat Ahmad)

Nabi menyebut :

والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليوشكن الله عز وجل أن يبعث عليكم عذابا من عنده ثم تدعونه فلا يستجاب لكم
Ertinya : Demi Allah yang nyawaku ditangannya, mestilah bagimu menyeru kepda kebaikan dan melarang manusia lain dari kemungkaran, atau sangat hampirlah Allah ʿazza wa jalla menimpakan ke atasmu suatu azab dari sisiNya, sehingga apabila kamu berdoa, tidak lagi diperkenankan (Riwayat At-Tirmizi, Hadis Hasan)

Sekarang tugas kita, menggali ilmu sedalam mungkin sebagai benih untuk membolehkan kita membezakan mana yang mungkar dan mana yang maʿruf. Hanya melalui jalan itu, kita mampu melaksanakan tugas tersebut.

SERIBU ALASAN & ILMU BELUM MENCUKUPI

Jangan sesekali ditipu oleh Syaitan yang sentiasa mengutuk kita sebagai 'tidak baik', 'tidak soleh' dan 'belum cukup ilmu' dan seribu satu macam alasan lagi. Pastikan semua bisikan itu diharungi dengan keazaman dan usaha yang tinggi untuk memadamkannya.

Hakikatnya semua kita belum cukup ilmu, namun Allah mewajibkan kita berusaha untuk menyampaikan apa yang kita faham dariNya dan sunnah rasulNya kepada manusia lain.

Berusahalah mencari kefahaman ilmu dan menyampaikannya seperti kita mencari sesuap makanan untuk diri dan keluarga.

Nabi juga bersabda :

الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما، ولكن ورثوا العلم، فمن أخذه أخذ بحظ وافر
Ertinya : Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham ( wang dan harta), tetapi mewariskan ilmu, seseiapa yang mengambilnya maka dia telah mendapat kebaikan yang melimpah (Riwayat Abu Daud)

JIKA AJAKAN DAN TEGAHAN TIDAK DIIKUTI?

Sesudah ajakan dan larangan dalam bentuk yang sebaik mungkin, namun masih tidak didengari, tatkala itu sedarlah tugas kita hanya menyampai.

Allah menyebut:

إِنْ عَلَيْكَ إِلَّا الْبَلاغُ
Ertinya : Sesungguhnya tiada kewajiban atasmu kecuali menyampaikan (sebaiknya) ( Al-Syura : 48)

Dan juga ingatan Allah taʿala :

وَمَا أَكْثَرُ النَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ
Ertinya : Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman, walaupun kamu sangat menginginkannya ( Yusuf : 103)

Akhir sekali, marilah kita sama-sama merenung teguran Allah ini

أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
Ertinya : Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit (Surah al-Taubah : 38)

PENUTUP

Tugasan ini boleh dijalankan melalui pelbagai bentuk dan keadah mengikut kesusaian seseorang dan kemampuannya serta kepakarannya. Sama ada melalui parti politik, NGO yang terdiri dari perkumpulan, jamaʿah dan persatuan atau juga secara individu.

Ia boleh dilaksanakan di tempat kerja, sekolah, universiti, surau, kampung, felda, di persekitaran rumah, di ruangan internet, buku, majalah, bulletin, di waktu kursus dan seminar dan banyak lagi. Jangan disempitkankan medium dan ruangnya.

Monday, March 7, 2011

Tiga Dimensi Cinta....


CINTA adalah perkataan indah yang mempunyai erti yang amat mendalam buat sepasang kekasih. Tetapi oleh kerana terlalu kerap disebut-sebut, ia menjadi koman. Akibatnya perkataan cinta mempunyai konotasi murahan. Cinta menjadi perkataan mainan di bibir kerana mudah dilafazkan dengan selamba.

Lafaz 'AKU CINTA PADAMU' atau 'I LOVE YOU' sudah tidak menjadikan si penyebut bergetar dadanya dan si pendengar terhenti jantungnya. Pendek kata ungkapan 'AKU CINTA PADAMU' sudah jadi sebutan plastik yang lahir di bibir semata-mata, bukannya menjelma dari hati. Kerana itu, ungkapan tersebut sudah tidak lagi mudah dipercayai kerana persepsi terhadap nilainya kian murah. Mengapa, ya?

Memanglah begini jadinya kerana ramai yang belum mengenal peringkat cinta yang pada pendapat saya sebenarnya ada tiga, mengikut tiga dimensi manusia iaitu fizikalnya, mentalnya dan spiritualnya. Cinta di peringkat pertama ialah cinta fizikal, peringkat kedua, cinta emosional dan peringkat ketiga, cinta spiritual.

Lazimnya, sepasang kekasih hanya mengalami dua dimensi cinta sahaja iaitu cinta fizikal dan cinta emosional. Tidak boleh tidak, kebanyakan percintaan pada hari ini bermula di dimensi cinta fizikal. Wajahnya, lirikan matanya, senyumannya, suaranya, seksinya, bau perfumnya, hensemnya dan segala-gala yang dapat dicapai oleh lima pancaindera banyak bergantung pada cinta fizikal. Cinta pandang pertama terlahir kerana cinta fizikal.

Pertemuan yang kerap sepasang kekasih, berbual, berSMS dan MMS, bertukar pendapat, membantu menyelesai masalah, saling bersama pergi dan pulang kerja, membantu menelaah pelajaran, pemberian hadiah dan pujian akan melahirkan cinta dimensi kedua iaitu cinta emosional. Dari situ, lahirlah rindu ingin sang kekasih sentiasa di sisi. Kerana cinta emosilah lahir ungkapan lautan api sanggup kurenangi.

Di manakah cinta spiritual? Lazimnya tak terlahir di peringkat ini kerana perasaan ini sukar menjelma jika tidak diketahui. Kerana tidak dimengerti, maka ia tidak dicari. Namun, anak yang dijodohkan oleh ibu bapa akan mengalami cinta spiritual terlebih dahulu sebelum cinta fizikal dan cinta emosional. Ia apa yang selalu disebut sebagai kahwin dahulu, baru bercinta, sedangkan sebenarnya mereka berkahwin kerana mengikut perintah ibu bapa. Apa yang disukai ibu bapa, ia juga disukai ALLAH. Kerana itulah, perkahwinan ini biasanya kekal dan damai kerana ditunjangi cinta spiritual, cinta emosional dan cinta fizikal.

Fizikal, mental dan spiritual seseorang itu harus dipenuhi sebelum seseorang itu akan komited terhadap sesuatu. Justeru itu, cinta fizikal dan cinta emosional sahaja belum melengkapi. Sebab itu ia goyah. Agar perkahwinan itu teguh, carilah cinta spiritual iaitu cinta dan berkahwin kerana menurut sunah Nabi Muhammad s.a.w yang antaranya untuk menambah umat dan kerana mengikut perintah ALLAH.

Ingatlah, jodoh kita ditentukan di Luh Mahfuz. Justeru itu, ia bukan sahaja untuk di dunia, malah membawa ke akhirat. Jika diizinkan-NYA, pasangan kita itulah yang akan menjadi teman kita selama-lamanya di syurga. Berkasih di syurga bukan hanya di dalam lagu cinta, tetapi yang benar akan terjadi jika kita mengerti dengan menyuluh ke denai-denai di hati.

Saya Nak Bunuh Diri...


Sepi dan hening seketika. Fikirannya seolah terhenti. Tak mampu untuk berfikir apa-apa dalam situasi itu. Segalanya seakan telah hancur, tiada apa-apa lagi harapan untuk dirinya. Hancur. Musnah. Segala kepercayaan dan sanjungannya semuanya telah dihempas punah begitu sahaja oleh insan yang selama ini amat dicintainya.

Kalau dulu dia mendengar cerita-cerita dari rakan-rakannya, ah, dia masih tidak mahu mempercayainya. Tapi hari ini, di depan matanya sendiri! Masih terbayang betapa intimnya kemesraan Faizul dengan wanita itu. Ah, dia tak sanggup untuk membayangkannya lagi. Dengan langkah longlai dan dada yang sebak, Ayuni menuju ke pintu LRT untuk pulang.

"Masa tu saya dah fikir nak bunuh diri je bro! Bukan kali pertama saya diperlakukan begini oleh lelaki, ini dah masuk kali keempat."

Dia bercerita padaku dengan penuh perasaan.

"Semuanya hanya menggunakan saya untuk duit. Kata pinjam, tapi bayarnya adalah sesekali, yang lain tu, kira burn je la. Saya ni pulak jenis yang cepat kesian, dan tak reti pulak nak menolak. Apatah lagi kalau dengan orang yang saya cintai."

Aku mengangguk-nganguk.

"Tapi yang saya hairan tu bro, napa semua lelaki yang saya jatuh cinta, semuanya berperangai sama aje? Nama aje lain."

Selepas dialog itu, aku tak memberi peluang lagi pada Ayuni untuk berkata-kata. Aku menerangkan dengan detail padanya tentang apa yang dilaluinya dari persepsi Hukum Tarikan. Tentu anda semua sedia maklum bahawa prisip asas Law of Attraction adalah anda menarik ke dalam hidup realiti hidup anda, segala apa yang anda berikan fokus dan perhatian yang mendalam, samada perkara positif atau pun negatif.

Apa yang ku lihat, dia terlalu memberikan perhatian pada sikap lelaki YANG TIDAK DISUKAINYA, YANG INGIN DIHINDARI, YANG DIBENCI. Bukan kepada sikap atau ciri-ciri watak lelaki yang menjadi keinginannya.

Dan perbuatannya suka menceritakan, membawa cerita atau memperbesarkan sikap lelaki yang dibencinya ini, hanya membuatkan dia memberikan fokus pada perkara tersebut, yang mana getaran yang dikeluarkan oleh gelombang fikirannya menarik kembali ke dalam realiti hidupnya tenaga-tenaga berbentuk apa yang sering diberi perhatian olehnya iaitu lelaki yang ingin dihindari, kekecewaan dalam percintaanatau ditipu.

Jangan salahkan takdir dengan mengatakan Allah yang telah mentakdirkan ke atas diri kamu untuk melalui kekecewaan itu.

مَّآ أَصَابَكَ مِنۡ حَسَنَةٍ۬ فَمِنَ ٱللَّهِ‌ۖ وَمَآ أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ۬ فَمِن نَّفۡسِكَ‌ۚ وَأَرۡسَلۡنَـٰكَ لِلنَّاسِ رَسُولاً۬‌ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَہِيدً۬ا
"Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini." (An Nisa', 4: 79)

Hadis Qudsi:
أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني
Allah menyebut: "Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, dan aku bersama mereka apabila mereka mengingatiKu." (Riwayat Muslim)

Seterusnya aku memberi cadangan padanya untuk melakukan beberapa langkah bagi mengubah atau menukar cara dia berfikir dan berusaha memberikan fokus pada apa yang diinginkan dan disukai olehnya.

Aku mencadangkan supaya dia menulis senarai ciri-ciri yang menjadi lelaki idamannya dengan detail dan lengkap.

PASANGAN YANG IDEAL DENGAN DIRIKU:
1. TINGGI: LEBIH DARI 1.55M
2. BERAT: 65KG, SIHAT ZAHIR BATIN
3. WAJAH: KACAK, HANDSOME, MANIS
4. SIKAP: BUDI BAHASA, BERTANGGUNGJAWAB, BAIK HATI, HORMAT ORANG TUA, PENYAYANG, KELAKAR, BERIMAN DAN MEMPRAKTIKAN KEIMANANNYA, JUJUR, SPORTING, POSITIF, RAJIN KE DAPUR DAN MENGEMAS RUMAH, PEMBERSIH DAN RAJIN
5. KARIER: KERJA OFFICE HOUR
6. USIA: LEBIH TUA 33-44THN
7. HUBUNGAN: AKU MENYAYANGI DIA SEPENUH HATI, DIA JUGA MENYAYANGI AKU SEPENUH HATI, AKU BOLEH MENERIMA KEADAANNYA DENGAN IKHLAS SEADANYA. DIA JUGA MENERIMA KEADAAN DIRIKU DENGAN IKHLAS SEADANYA.
8. KELUARGA: PENERIMAAN KELUARGA KEDUA-DUA BELAH PIHAK ADALAH HARMONI
9. PERHUBUNGAN: KEKAL KE AKHIRAT

Ketika ciri yang ketiga dibincangkan, Ayuni membantah dan berkata pada ku, "Bro, saya tak kisah, kalau tak hensem pun tak pe, asalkan baik dan bertanggungjawab."

Disini aku bertanya padanya, jika dia diberikan pilihan apakah pilihan dirinya sendiri. Dia menjawab, "Tentulah yang handsome! Tapi rasa macam malulah nak mohon macam tu pada Allah."

Aku bertanya semula, "Nak minta suami yang handsome kamu malu, tapi setiap hari mohon dimasukkan ke dalam syurga, kamu tak rasa malu pulak? Nikmat mendapat suami handsome itu, apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan nikmat Syurga, entah berapa ratus juta kali ganda besarnya, tapi yang itu kamu tak ada rasa malu pun? Kenapa nak mohon perkara kecil macam tu kamu rasa malu? Dan kita kena faham, pPemberian Allah tu Maha Luas, Abundance, bukannya tak cukup, atau cukup-cukup, Dia boleh beri kamu lelaki yang handsome, dan dimasa yang sama lelaki itu warak, baik dan bertanggungjawab. Kamu kena percaya dan fikir begitu."

Dia tak menjawab, cuma tersenyum dan mengangguk-ngangguk.

Setelah itu, aku mencadangkan padanya supaya melakukan solat hajat sekadar yang termampu dan membacakan senarai tulisannya itu di dalam solatnya. Setelah itu, aku juga mencadangkan supaya dia membaca senarai itu tidak kurang dari 20 kali sehari dan sentiasa melakukan beberapa perubahan yang dirasakan sesuai dengan situasi dirinya. Apa pun aku ingin dia sentiasa husnuzzon (bersangka baik) bahawa dia telah bermohon pada Allah, Allah telah memakbulkan doanya, dan dia kini berada dalam proses 'diterima' permintaannya. Langkah-langkah seterusnya seperti komitmen dan bersedia menerima (receiving steps) juga telah ku bincangkan dengannya pada pertemuanku yang seterusnya.

Selepas pertemuan kedua, aku tidak mendengar apa-apa berita dari Ayuni, aku hanya berdoa agar dia beroleh ketenangan dalam hidupnya.

Hampir dua bulan selepas itu, aku menerima panggilan telefon dari Ayuni.

"Assalamualaikum, busy ke bro?"
"Wa'alaikumussalam. Tak busy pun. Ayuni, lama tak dengar khabar? Macamana sekarang?"
"Entahla bro, saya nak bagitau ni, ada masalah sikit."
"Oh, apa halnya, sharelah."
"Macam ni. Step yang bro ajar tu power betulla. Sekarang ni ada tiga orang lelaki yang tengah bagi perhatian kat Yuni. Tiga-tiganya ada ciri-ciri yang hampir sama je dgn apa yang Yuni tulis tu."
"Tiga orang? Ha, bagusla tu. So, what's the problem?"
"Yelah, tak tau nak pilih la pulak sebab tiga-tiga hensem, baik, dan berbudi bahasa, rasa sayang lak nak pilih."

Aku tertawa kecil mendengarkan. Aku menasihatinya supaya melakukan istikharah dalam hal-hal yang sedemikian. Pertengahan tahun itu aku menerima kad jemputan kahwin daripada Ayuni dan dialamatkan ke rumahku.

Syukur, Alhamdulillah. Semoga dia berbahagia hingga ke akhirat. Allah Maha Menyayangi sekalian hamba-Nya.

Jodoh, ajal dan kelahiran adalah ketentuan Allah, akan tetapi kita diberikan akal dan pilihan untuk berikhtiar.

Menurut Tsauban RA, sabda Rasulullah SAW:
"Tiada suatu pun yang dapat menolak takdir selain doa." (Hadis sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya. Disepakati kesahihannya oleh al-Zahabi)

Wallahua'lam

Sunday, March 6, 2011

Memikul Nafsu

Suatu hari, seorang pemuda diserahkan oleh bapanya kepada seorang guru sufi untuk dididik cara mengawal nafsunya.
"Siapkan bekalan. Mari ikut saya bermusafir," kata guru sufi itu sebaik sahaja pemuda itu tiba di madrasahnya.
Pemuda itu agak terkejut kerana dia masih keletihan akibat perjalanan yang jauh ke madrasah guru sufi itu.
"Apa yang perlu saya bawa?"
"Bawa pakaian sehelai dua," jawab guru sufi.
Mereka pun memulakan perjalanan yang agak jauh. Setelah agak lama,mereka menemui satu bukit yang agak tinggi.
"Kita akan mendaki bukit ini."

"Mana jalannya?"
"Kita susuri jalan di tepi lereng bukit," kata guru sufi.
"Nanti, nanti... saya sangat keletihan. Alangkah baik jika ada keldai. Kita boleh menunggangnya."
"Kamu hendak menunggang keldai? Baiklah, mari kita membelinya dahulu."
Dalam hatinya berasa lega, dia tidak akan terpaksa berjalan lagi. Dia sangat-sangat keletihan. Setelah guru sufi membeli dua ekor keldai, dia pun berkata, "Sekarang ada dua ekor keldai. Saya akan menunggang salah seekor daripadanya..."
"Dan saya akan menunggang seekor lagi," pintas pemuda itu.
"Tidak!" kata guru sufi itu.
"Mengapa?"
"Jangan bertanya, patuh saja!"
Pemuda itu terkejut, tapi tidak berani melawan.
"Habis, kita akan biarkan seekor keldai ini berjalan tanpa membawa apa-apa beban?"
"Tidak, sebaliknya kamulah yang akan memikulnya!"
"Memikul keldai menaiki bukit yang tinggi itu?"
"Ya. Pikul keldai itu dan naik ke atas bukit," jawab guru sufi itu pendek dan tajam.
Maka dengan susah payah, dia memikul keldai itu sambil menyusuri jalan di tepi lereng bukit itu. Termengah-mengah. Dia benar-benar keletihan. Sebaliknya guru sufi bersantai-santai menaiki keldainya berjalan di hadapan pemuda itu. Belum sampai separuh perjalanan,pemuda itu pun jatuh keletihan. Dia hampir pengsan. Setelah merawat si pemuda dan memberinya minuman,guru sufi itu pun berkata, "Anakku,keldai itu umpama nafsumu. Allah ciptakan nafsu untuk kau menungganginya bukan kau ditunggangi olehnya."
"Maksud tuan?"
"Dengan menurut nafsumu, kau akan disusahkannya. Jiwa, hati dan badanmu akan kelelahan. Kehendak nafsu tidak ada batas dan tidak pernah puas. Lepas satu-satu kehendak dan kerenahnya. Ini samalah dengan kau memikul keldai dan menaiki bukit yang tinggi."
Pemuda itu terdiam.
"Sebaliknya, jika kau menunggangi nafsu dengan mengawal dan menguruskannya, kau akan mendapat kemudahan dalam menjalani kehidupan. Nafsu berguna selagi dia menjadi hamba tetapi apabila dijadikan tuan, apalagi tuhan, maka hidup kita akan dihancurinya."
"Seperti saya yang memikul keldai tadi?"
"Ya. Dan lihat pula betapa mudahnya menyusuri jalan di lereng bukit itu dengan menaiki keldai. Begitulah nafsu apabila dikawal dan digunakan ke arah kebaikan."
"Ya,ya. Orang yang mengikut perintah hawa nafsunya bagaikan memikul keldai menaiki bukit!"

PENGAJARAN: Nafsu adalah sebahagian daripada diri kita yang jika tidak dikawal akan menyusahkan kita. Oleh sebab itu, kawallah nafsu bukan kita dikawalnya.

Tuhan Masih Sayangkan Saya...

"Tuhan masih sayangkan saya".. ayat ini sering kita dengar diucapkan oleh masyarakat kita dimana sahaja, terutama apabila seseorang itu mendapat sesuatu perkara atau mengalami suatu peristiwa yang memberikan makna yang membawa harapan atau penyelesaian masalah dalam kehidupan seseorang itu.

Memang secara umumnya ayat ini nampak macam sedap dan lunak didengari. Tetapi, sedarkah kita apakah maksud sebenar dari ayat ini? Mari kita dengar sekali lagi:

"... syukurlah, rupanya Tuhan masih sayangkan saya..."

Oh, jadi, selama ini kamu fikir Tuhan tak sayangkan kamulah? Maksudnya kita tanpa disedari telah bersu'uldzon (sangka buruk) terhadap Allah kerana menghadapi beberapa kesukaran atau pun ujian di dalam kehidupan. Hanya setelah diberi pertolongan atau harapan, barulah kita menyedari selama ini Dia masih sayangkan kita? Barulah teringat nak bersyukur? Begitu?

Masih?

Perkataan MASIH dalam frasa di atas itu sahaja sudah bermaksud sesuatu yang sementara sahaja dan akan berhenti pada bila-bila masa. Tak faham? Ok, lihat contoh dibawah ini:

Saya MASIH belajar di UITM, saya akan berhenti belajar apabila berjaya menamatkan Ijazah Perguruan pada akhir tahun hadapan.

Atau :

Saya MASIH menunggu ketibaan kapal terbang di KLIA. Kapal terbang dijangka tiba pada pukul 10 malam, ketika itu barulah saya akan berhenti menunggu.

Saya MASIH hidup walaupun mengalami kemalangan yang dahsyat kerana belum tiba ajal lagi.

Jadi, adakah : Sekarang ini Tuhan MASIH lagi sayangkan anda, tetapi esok lusa tak tahu lah, mungkin Dia tak sayang pulak, ialah, manusia selalu buat dosa dan kemungkaran, maka, mungkin bila buat dosa tu, Tuhan tak sayanglah...

Sedangkan Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang! Allah SENTIASA sayang dan MEMANG sayang dan AMAT kasih pada sekelian hamba-Nya. Tiada masih-masih dalam kasih sayang Allah!

Allah Bukan Seperti Kita

Allah itu bukan seperti kita, manusia, yang mempunyai sifat dendam dan hasad, yang mana kita selalunya tidak akan mahu menolong orang yang membuat kesalahan pada kita. Memang benar, dosa membuatkan terhijabnya doa. Akan tetapi, Allah telah meletakkan sistem-Nya sendiri di mana hamba yang berdosa diberikan peluang untuk bertaubat sehinggalah nyawanya berada di kerongkong di saat sakaratul maut atau setelah matahari terbit dari sebelah barat.

Oleh itu, walau sebesar mana pun seseorang hamba merasakan dirinya berdosa, dia masih layak untuk berdoa dan doanya masih berhak untuk Allah dengari, selagi matahari belum terbit dari barat, atau roh sudah ditarik hingga kekerongkong oleh malaikat maut. Sama ada dimakbulkan atau tidak, terserah kepada budi bicara Allah S.W.T.

Apa pun, ingatlah, bahawasanya, Allah hanya memberikan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Maka jika kita berasa diri kita banyak dosa, bertaubatlah. Mengapa perlu membiarkan diri terus hanyut dalam dosa hingga timbul rasa malu untuk berdoa pada Allah?

Daripada Anas bin Malik R.A :

Aku mendengar Rassulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya Allah berfirman (maksudnya): Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolongan-Ku, maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak akan menganggap bahawa dosa kamu itu suatu yang membebankan (untuk mendengar doa kamu). Wahai anak Adam! Sekali pun dosa kamu seperti awan meliputi langit, kemudian kamu memohon keampunan-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.

Wahai anak Adam! Jika kamu menemui-Ku (selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemui-Ku dalam keadaan tidak syirik kepada-Ku dengan sesuatu, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu."

(Riwayat Imam Tarmizi dan menurut beliau ini adalah hadis Hasan Sohih)

Hadis diatas dengan jelas telah menunjukkan kepada kita bahawa walau sebesar mana pun dosa seseorang hamba itu, dosa tersebut tidak pernah dianggap bebanan oleh Allah untuk mendengar doa dari hamba-hamba-Nya.

Buang Rendah Diri Dan Sangka Buruk

Oleh itu, buangkan rasa inferiority complex (rendah diri yang tidak bertempat) dan juga su'uldzon (sangka buruk) yang hanya akan merugikan kita. Bertaubatlah dan mohon pertolongan dari Allah dengan rasa yakin dan husnuldzon.

Please be fair to Him!!
Cinta dan Kasih Sayang Allah pada hamba-hamba-Nya tak sama dengan manusia yang fana ini, tolonglah faham dan kenali betul-betul.

Oleh itu, saya sarankan supaya gunakanlah perkataan,

"Syukurlah..walaupun hidupku begini, namun aku tetap ada Allah yang sentiasa menyayangi diriku dalam apa keadaan jua pun."

Bukankah yang Baik itu dari Allah, dan yang khilaf itu dari kelemahan kita sendiri? Semua orang pandai cakap ayat ini kan?

Kun Faya Kun?

Ada yang memberitahu saya bahawa perkara buruk tak akan berlaku pada sesiapa pun tanpa izin Allah. Benar, tak akan bergerak sebutir hama walaupun semua manusia dan jin bersatu untuk menggerakkannya tanpa izin Allah. Akan tetapi kebenaran untuk memilih buruk baik itu telah lama diberikan-Nya sejak dari azali lagi. Wajarkah kita mengatakan bahawa:

Aku mencuri kerana telah ditakdirkan Allah bahawa aku akan mencuri.

Di zaman saidina Umar R.A, seorang pencuri yang berkata dengan perkataan di atas telah dipotong tangan akibat mencuri dan disebat 30 kali kerana mengeluarkan kenyataan seperti diatas.

Saidina Umar kemudian memberitahu bahawa pencuri itu dihukum sebat kerana berdusta atas nama Allah (maksudnya mendakwa perbuatan jahatnya itu tidak dirancang sebaliknya Allah yang mentakdirkan sedemikian pada dirinya).

Oleh itu, wajarkan kamu menuduh Allah yang mengizinkan perkara buruk berlaku atas kamu?

Allah hanya memberikan perkara yang TERBAIK sahaja untuk kamu. Perkara buruk hanya akan berlaku ke atas diri kamu hasil kesilapan kamu sendiri. Allah tidak pernah sesekali menzalimi diri kamu. Persangkaan yang mengatakan perkara buruk yang berlaku pada kamu adalah kerana Allah yang mentakdirkan kepada kamu itu hanyalah pandangan dangkal dan su'uldzon. Oh, jadi, nanti kalau berlaku apa-apa musibah, bolehlah salahkan Allah, tak perlulah nak salahkan diri sendiri, begitu kah?

Hadis Qudsi riwayat Imam Ahmad :

"Aku (Allah) akan mengikuti sangkaan-sangkaan hamba-Ku, maka hendaklah kamu bersangka dengan apa yang kamu inginkan."

(Bukan dengan apa yang kamu risaukan atau khuatirkan)

Ini adalah satu kelebihan dan kemudahan pada manusia sebenarnya, sekiranya anda menerapkan cara hidup berhusnuzzon (sangka baik) dan berfikiran positif maka dengan izin yang telah dikurniakan-Nya (kuasa eksekutif untuk memilih sempena kedudukan manusia sebagai khalifah) dari azali lagi ini, maka anda akan mendapati kehidupan anda dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat.

Positif Atau Negatif? Pilihan Masing-Masing

Maka kerana itulah kajian fizik quantum mendapati bahawa:

"Anda menarik ke dalam hidup anda apa yang anda berikan fokus, tumpuan, perhatian dan tenaga samada perkara negatif atau positif."

Sekiranya anda suka memberikan perhatian pada kisah-kisah buruk tentang perceraian dan keruntuhan rumah tangga orang lain, maka tenaga-tenaga berbentuk itulah yang anda juga sedang berusaha menariknya ke dalam hidup anda.

Itulah persangkaan-persangkaan anda, atau fokus anda, perkara-perkara yang anda suka dan seronok bila membicarakannya beramai-ramai, senang cerita, mengumpat hal orang lain. Tindakan menyebarkan berita hanyalah menarik lebih ramai orang berbincang dan memperkatakan tentang keaiban orang lain yang mana sebenarnya hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui hukum sebab musabab, dan juga Qada' dan Qadar seseorang itu.

Bersangka baiklah.

Logik Akal vs. Logik Hati

Allahuakbar. Takbir memisahkan kita dengan dunia luar. Kita kini sedang membuat persembahan. Persembahan kepada Allah s.w.t.

Tet..tet..tet..

"Ya Allah ringtone siapa la pula ni," hatiku mendengus kemarahan.

Tet..tet..tet..

Masih berbunyi.

Tet..tet..tet..

"Ya Allah..taknak off lagi tu.." memang mencabar keimanan.

Bukankah baru sekejap tadi Imam memberi peringatan. Ada juga manusia yang kurang faham. Geram!

Demikian peristiwa yang bukan sekali tapi acap kali berulang. Banyak manapun pesanan oleh Imam, tetap ada yang degil dan keras kepala.

Ini adalah refleksi kehidupan manusia. Jika dibaca dan direnung kitab Allah s.w.t, terlalu banyak peringatan yang diberikan. Namun menariknya, manusia tetap tidak mempedulikannya.

Ironinya sekiranya mereka menghadiri majlis-majlis keraian orang besar-besar seperti majlis bersama raja-raja, tahu pula mereka etika berbicara. Tahu pula adat bersama orang hebat. Tapi bila hendak menghadap Allah s.w.t, tidak mengapa, Allah Maha Mengetahui.

Suatu hari aku bersembang dengan Mr. X. Kami berbincang tentang perkara yang sama. Cuba mencari punca masalah.

"Kita membuat keputusan bukan menggunakan akal. Tapi hati. Ramai orang hatinya mati. Maka gunakanlah banyak logik akal sekalipun, tidak menjadi. Yang kena guna adalah logik hati!"

Logik hati?

Tidak pernah kudengar istilah logik hati ini. Hari ini dalam sejarah gamaknya. Aku tersenyum.

"Logik hati ni bagaimana pula?" aku bertanya.

"Logik hati ini unik. Aku tidak mahu memberikan jawapannya sekarang. Logik hati untuk orang yang mencari. Maka sila mulakan pencarian anda."

"Aiseh...Mr. X. Ini tidak kira mencari ke?" cuba mengumpan.

Mr. X tersenyum.

Logik hati...

Logik hati...

Hati sememangnya satu organ yang cukup unik. Andai kereta perlukan enjin, maka manusia perlukan hati. Buta hati, baik hati, murah hati, gelap hati, hati-hati. Semuanya hati.

Pesan ulama, jika kita ingin mengubah dunia, maka ubahlah manusia. Dan jika ingin mengubah manusia, ubahlah hatinya.

Maka marilah kita semua menyucikan hati ini.

Juga....

Mencari logik hati... ^_^

Ehem, Gambar Muslimah ke tu...??

Terkadang bila melayari facebook dan weblog rakan-rakan, saya merasa hairan melihat sesetengah facebook dan weblog muslimah yang bertudung dan yang menutup aurat; mereka tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing.

Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda wahai muslimah sekalian, namun sayangnya anda terlupa bahawa gambar yang anda letak itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!

Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu yang enggan melihat wajah-wajah itu dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ia ditutup dari pandangan umum?

Muslimahku, dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya.

Dikalangan mereka, ada yang bagus; yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur yang bermaksud:

"Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa Yang mereka kerjakan."

Hati Yang Sakit Bertambah Sakit.. Kasihanilah Masyarakat..

Namun, kita harus akui bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku, kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih pantas; sesegera mee segera.

Alangkah malangnya andai wajah-wajah yang terpamer itu mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki. Lelaki yang mantap imannya akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda... untuk menikahi anda tidak mengapa, tetapi jika sekadar mahu memuaskan nafsu?

Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet! Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin ia juga fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi dan dengan perkongsian itu, secara tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, berhati-hatilah!

Jalan Penyelesaian?

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya.

Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Adakah memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan perkongsian atau posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar kepada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda adalah anugerah Allah SWT.

Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

Selamat bermujahadah sahabat muslimahku!

Dua Gelas, Rumah Roboh @ Al-Quran

Dari Ibnu Abbas r.a, Rasullullah s.a.w ada bersabda :

"Sesungguhnya orang yang tiada di dalam hatinya sesuatu daripada al-Quran seperti rumah yang roboh."- Riwayat at-Tirmidzi

Alhamdulillah, beruntunglah bagi orang beriman yang menjadikan al-Quran itu sebagai isi hatinya,menjadi hiasan peribadinya dan undang-undang dalam kehidupannya.

Ketika menyebut hadis di atas, Dr. Radwan Jamal (seorang pensyarah UIAM) dalam sebuah kuliahnya telah mengutarakan soalan kepada kami tentang apa yang dimaksudkan dengan 'al-bait al-kharib' dan 'al-Jauf' di dalam hadis tersebut.

'Bait al-kharib 'ialah rumah yang roboh, ia diumpamakan juga seperti rumah yang ditinggalkan. Bayangkanlah apa yang menghuni di dalam rumah yang dibiarkan kosong?

Ya, sarang labah-labah, semak-samun, keadaan yang tidak terurus, kotor dan sebagainya. Berbeza bukan dengan rumah yang dihuni?

Adapun 'al-Jauf 'membawa maksud 'hati.'

Begitulah hati manusia. Hati yang kosong dengan al-Quran diibaratkan seperti rumah usang yang roboh. Tiada apa lagi yang mengukuhkan sebab atau untuk menggalakkannya terus hidup. Justeru tidak mustahil jika harapan kepada Allah dalam kehidupan juga telah hilang dimakan keusangan hati.

Dua Gelas Berbeza

Dr. Radwan Jamal juga ada memberikan contoh dua gelas yang berbeza. Satunya terisi dengan air dan satu lagi yang dibiarkan kosong.

Beliau bertanya, adakah gelas yang kosong itu akan berterusan kosong atau akan masuk ke dalamnya pelbagai unsur; sama ada unsur baik ataupun unsur yang buruk?

Begitulah ibaratnya keadaan dua hati manusia!

Hati manusia yang terisi dengan al-Quran seperti gelas yang terisi air. Sejuk hati dan tenang sentiasa. Bila diuji mudah sahaja kembali kepada Allah kerana tautan hatinya berdasarkan kalam Allah. Lantas keyakinannya hanya diletakkan kepada penciptanya.

Namun, hati yang tiada terisi dengan apa-apa akan terbiar dan dibiarkan kosong. Jika tidak terisi dengan mahmudah (sifat yang positif), yang terisi nanti hanyalah penyakit-penyakit hati seperti hasad dengki, dendam, benci dan sebagainya.

Alhamdulillah, begitulah beliau mengajar kami untuk mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran setiap kali mendapat ilmu baru. Sebagaimana beliau yang selalu mengingatkan kami untuk tidak lupa menjawab dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

Perjalanan Dunia Destinasi Akhirat

Kehidupan dunia adalah sementara yang merupakan persinggahan yang pasti dilalui. Dunia ibarat lapangan peperiksaan kita selepas menempuh satu pengajian yang lama ketika berada di alam roh dan rahim. Peperiksaan ini harus ditempuhi sama ada kita bersedia atau sebaliknya.

Bagi mereka yang peka dan tahu apa yang harus dilakukan, semestinya telah membuat persediaan rapi dari awalnya lagi, agar setiap jawapan yang dicoret akan menghasilkan nilai yang tinggi, dan seterusnya mendapat tempat di menara gading iaitu Syurga.

Aturlah kehidupan dari sekarang, jangan terlopong kekosongan antara liang-liang usia meninggalkan bekas kekotoran akibat perbuatan tangan sendiri. Degil kekotoran sukar dibasuh, apatah lagi menanggalkan jejaknya.

Kadang-kadang terasa lemah, dan rasa tidak bermakna untuk menyampai dan mengajak kepada kebaikan, kerana dirasakan kita tidak mampu mengubah apa-apa, sedangkan perubahan tersebut bukannya sekejap, tapi kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun.

Manusia yang bertemu Allah swt dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah swt semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia. Kejayaan di dunia hanya sebuah perjalanan, bukannya destinasi abadi kita. Carilah Dia.

Bagaimanakah Caranya?

Ilmu Tauhid adalah ilmu mengenal Allah swt. Dengan memahami ilmu sains, kefahaman kita kepada Allah swt akan menjadi lebih berkesan, sebagaimana contoh orang purba pun pandai membuat rumah, tetapi dengan sains dan teknologi, teknik membuat rumah menjadi lebih berkesan dan menghasilkan rumah yang jauh lebih baik. Kalau pemikiran kita terbuka kepada manhaj ilmu sains (akal rational), insha-Allah, kewujudan Allah swt akan menjadi lebih bermakna pada kita sebagai muslim dan mukmin.

Kesubjektifan sesuatu perkara diukur dari pengetahuan asal dan pengalaman yang telah dilalui oleh seseorang. Sebagaimana Allah swt mengajar Nabi Nuh as supaya berdoa memohon daripada meminta sesuatu yang tidak diketahui kesan dan akibatnya, begitu juga kita perlu kembalikan pengharapan bagi proses mencerahkan pemahaman agama kita kepada Allah swt. Sudah terang lagi bersuluh, jika Allah swt mahukan kebaikan ke atas seseorang itu, maka akan Allah swt berikan kefaqihan dan kesahihan dalam beragama.

Analoginya, kita melatih kanak-kanak secara perlahan (gradual proses) untuk memahami sesuatu. Berkembangnya pemikiran kanak-kanak bermakna dia mendapat penambahbaikan dari segi pemahaman pada kehidupan. Kiranya kita boleh berinteraksi dengan situasi itu, maka adalah sama situasinya dengan kemajuan untuk mengenal Allah swt, bagi orang dewasa. Ia bekembang dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi, dengan syarat, ada keterbukaan orang yang beranggapan itu.

Kalau dilihat sebagai 'instruction manual', penulis kira kesemua sistem ini akan menerangkan bagaimana hendak mendapatkan manfaat terbaik dari sesuatu, iaitu dengan mengenalnya dan menggunakannya. Apabila telah mengenalnya barulah timbul rasa hormat dan kemahuan menjaga mengikut panduan yang diberikan. Oleh itu tujuan hidup lebih kepada mengenal-Nya dan kemudian mengabdikan diri kepada-Nya setelah mengenal.

Awal agama itu ialah mengenal Tuhan. Islam adalah agama wahyu. Bukan berlandaskan rasional akal dan kajian saintifik semata-mata, namun Islam amat menggalakkan penganutnya menggunakan seluruh anugerah akal demi membangunkan tamadun manusia.

Ilmu dan pengetahuan menjadikan Adam terpilih untuk memimpin bumi ciptaan Allah. Faqih dalam agama adalah asas dan tunjang, juga bertindak sebagai pengawal kepada gelojohnya nafsu dan pemikiran yang tersasar.

Muhasabah

Sibukkanlah diri dengan amal yang memberi saham kepada kita, usah dikira habuannya di dunia, lebih penting menjadi baucer kita bertemu Tuhan di destinasi terakhir kelak, yaumul akhirah. Tiada pelaburan yang lebih baik berbanding pelaburan akhirat. Allah swt berfirman yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui" (As-Saff,61:10-11)

Bersandar Kepada Kehebatan Orang Lain

Ada orang berusaha keras untuk menjadi hebat, sementara yang lain hanya ingin dipandang hebat.

Ada beza antara keduanya?

Golongan yang pertama akan terus mengikhlaskan niat, mencipta kehebatan seperti dikehendaki Allah dan Rasul serta sentiasa sedar akan kelemahan diri dan membaikinya.

Golongan kedua akan terus tenggelam dalam pujian dan pengiktirafan manusia. Merasa hebat, dipandang hebat, tapi indah khabar dari rupa.

Selalunya orang yang ingin dipandang hebat hanya akan menyandarkan kehebatannya pada orang lain.

Ertinya mereka sentiasa merasa kagum dengan diri sendiri padahal kehebatan sebenarnya terdapat pada orang lain.

Mereka itu mungkin diri kita sendiri yang suka diiktiraf berdasarkan kepada orang-orang yang kita kenal, ataupun orang-orang yang mengenali kita.

Misalnya kita dikenali oleh tokoh negara atau seseorang yang diketahui kehebatannya, kita akan mula merasa bahawa kita juga harus menerima pengiktifaran yang sama.

Kita mula berbicara "Ah, aku kenal Menteri Besar tu", "Oh, Sheikh tu kenal aku kau tahu". Jadi, apa masalahnya?

Masalahnya ialah kita hilang nilai-nilai kehebatan diri sendiri kerana hanya suka menyandarkan kehebatan kita pada diri orang lain.

Kita akan tertipu dengan pengiktirafan yang diberikan kepada kita hanya kerana orang lain.

Kita hilang nilai jati diri kerana hanya ingin dipandang hebat, padahal banyak sisi-sisi kelemahan yang tidak kita sedari atau enggan kita akui.

Lama-kelamaan, kita mula menjadi orang yang ingin mengejar populariti dan nama, bongkak dan takabbur dengan diri sendiri. Ya, kita dipandang hebat.

Tapi kerosakan mengambil tempat di hati, dan dalam kehidupan kita.

Andai kata kita hilang segala manusia-manusia hebat di sekeliling kita, apakah akan berlaku kepada kita?

Adakah kita masih akan dipandang hebat?

Bahkan kita akan serta-merta jatuh kepada kehinaan kerana kita tidak punya nilai kehebatan diri sendiri.

Kita tidak akan mampu berdikari dan hidup di tengah-tengah gelombang yang hebat kerana kita hakikatnya tidak hebat.

Kita hanya menumpang pada kehebatan orang lain.

Bukan ertinya tidak boleh kita merapati orang-orang yang hebat, itu semestinya.

Yang lebih penting ialah kita mempelajari sesuatu daripada mereka dan berusaha menjadi hebat seperti mereka, bukan hanya menumpang gelaran mereka yang tidak layak untuk kita.

Maka kita harus mengubah mentaliti daripada ingin dipandang hebat kepada ingin menjadi hebat dalam erti kata yang sebenar.

Sekali pun manusia tidak memberikan pujian dan pengiktirafan, kita tetap berusaha menjadi hebat dan hanya mengharapkan pengiktirafan Allah dan Rasul.

Jika kita mengimbau sirah Rasul dan para sahabat, kita akan menyedari betapa setiap orang daripada para sahabat sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti ilmu, jasad dan emosi mereka. Kerana itulah mereka terus beristiqamah dalam dakwah Islam setelah kewafatan Rasul.

Hakikatnya, Rasulullah datang bersama Islam dan melahirkan generasi yang memang hebat, bukan hanya dipandang hebat. Berbeza dengan kita yang sentiasa ingin digelar dengan gelar-gelar yang hebat, diiktiraf dan sebagainya, namun kosong tak terisi.

Ibarat debu-debu berterbangan, hilang bersama tiupan angin.

Kesimpulannya, berusahalah menjadi orang yang memang hebat, bukan hanya dipandang hebat.

Ingatlah bahawa kita langsung tidak hebat tatkala kita membelakangkan Allah dan Rasul.

Pergantungan kita kepada manusia akan menjadikan kita menjadi hina di sisi Allah dan Rasul.

Orang yang tidak mengiktiraf kehebatan Allah dan Rasul sebenarnya tidak layak langsung diitiraf.

Kita Sama

Di dalam kita mengemudi bahtera kehidupan, kita akan menemui saat ketika kita "diperlukan" dan kita juga akan menempuhi dan menemui saat kita "memerlukan".

Sebagai seorang mahasisiwa di dalam jurusan yang banyak melibatkan pergaulan dan berkhidmat untuk masyarakat, kehidupan sekeliling banyak mengetuk pintu hati yang selama ini mungkin terlepas pandang tentang perkara ini, dan tidak terusik dengan perasaan untuk berfikir dan akhirnya membuahkan zikir.

Walaupun masih muda untuk menulis dan mengupas sesuatu perkara,namun saya tidak melihat ianya menjadi kesalahan untuk saya memuntahkan pandangan bagi santapan kita semua. Apa yang saya ingin kupaskan mengenai perkataan "diperlukan" dan "memerlukan" ini ialah mengenai hakikat bahawa kita saling memerlukan,dan janganlah kita berasa sombong apabila kita berada di dalam status "diperlukan". Kerana satu hari kita juga akan menempuhi saat kita "memerlukan".

Sebagai contoh, apabila kita menjadi seorang perawat, ramai pesakit akan menunggu kita di luar, dengan penuh pengharapan. Pada saat itu, kita berada di dalam status "diperlukan masyarakat". Dan kita perlu ingat, satu hari nanti mungkin kita pula menjadi pesakit dan kita yang berada di ruang menunggu dengan penuh pengharapan.

Pada masa itu kita berada di dalam perasaan amat "memerlukan". Inilah hakikat kehidupan, adakala kita diperlukan dan bila masa kita diperlukan janganlah kita berasa sombong pada orang yang memerlukan kerana hakikatnya satu hari nanti kita juga akan merasa hidup penuh pengharapan dan memerlukan bantuan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah." (Riwayat Muslim)

Allahuakbar, peringatan dari pesuruh Allah ini akan benar-benar menggetarkan hati mereka-mereka yang hatinya hidup. Yakni hati yang bersedia mendengar dan menerima kebenaran. Sesungguhnya manusia diciptakan sama, yang membezakanya di sisi Allah adalah taqwa.

Seandainya segala khidmat kita kepada masyarakat tidak kiralah di dalam bidang apa kita berada dan diletakkan niat Mencari Suka Allah sebagai perkara pertama, maka bahagialah kita, dan bukan sahaja kita dapat ganjaran gaji dari majikan kita sahaja, malah kita juga akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah swt.

Tundukkan Hati

Sentiasalah memandang pada orang yang berada di bawah dan kurang bernasib baik, supaya hadirnya ketundukkan hati di dalam diri kita, janganlah kita berjalan di atas muka bumi Allah ini dengan penuh kesombongan. Kerana ingatlah "Di mana milik kita? Tidak ada milik kita. Semua yang ada adalah milik Allah”.

Mungkin kita berasa megah dengan pakaian-pakaian kita yang mahal. Mungkin kita berasa megah dengan kereta, rumah kita yang besar, namun ingatlah semuanya dari Allah. Bila-bila masa sahaja Dia boleh tarik.

Namun kita boleh melakukan apa sahaja yang disukai demi keselesaan diri sendiri mahupun keluarga tetapi janganlah sampai melanggar batas syariat dan janganlah berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah kepada orang lain kerana ia akan menimbulkan perasaan dengki dan benci orang lain yang mengakibatkan permusuhan.

Seseorang lelaki berkata, sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan." (Riwayat Muslim)

Atuk dan Nenek yang sama

Ingatlah Allah menciptakan kita sama, kita berasal daripada Atuk dan Nenek yang sama, yakni Adam dan Hawa. Apabila kita menyedari dan mengakui kita berasal dari Atuk dan Nenek yang sama, maka haruslah juga kita mengakui kita semua adalah bersaudara.

Seorang saudara haruslah berasa senang hati dengan kesenangan yang dikecapi saudaranya. Hal ini kerana dari itulah akan hilangnya perasaan dengki di dalam hati kita dan akan timbulnya perasaan hormat menghormati antara kita dan hancurlah perasaan sombong di dalam hati kita.

Andai ini kita sedari, seandainya kita seorang CEO di sebuah syarikat yang besar sekalipun, kita akan berasa hormat kepada semua orang termasuk pekerja-pekerja yang berkerja menyapu sampah di syarikat kita. Dia memerlukan kita sebagai majikan. Kita juga memerlukan dia sebagai pekerja. Hakikatnya kita semua adalah sama. Perkara yang membezakan adalah taqwa.

Seandainya kita seorang majikan, jadilah majikan yang bertaqwa. Seandainya kita adalah pekerja, jadilah pekerja yang bertaqwa. Dan taqwa inilah menjadi sesuatu yang berharga di akhirat kelak. Segala pangkat, jawatan, pakaian kita yang mewah hanya menemani kita di dunia sahaja.

Namun amalan yang disertai taqwa, akan menemani kita sehingga ke alam akhirat. Segala apa bentuk kerja baik yang diniatkan kerana Allah bukan sahaja mendapat habuan dunia darinya, malah kita juga mendapat ganjaran pahala dari-Nya.

Mudah-mudahan artikel serba ringkas ini dikurniakan ikhlas,dijauhkannya riya’, ujub dan sum’ah.

Seterusnya menjadi ilmu yang memberi manfaat dan diambil manfaat yang berterusan ,yang menjadi teman ketika berseorangan di kubur, dan keberkatan untuk kedua ibu bapa, keluarga dan guru-guruku yang dikasihi.

Amin.

Saturday, March 5, 2011

Dakwah Perlu Berhikmah


Da'ie muda sekarang agak menyakitkan hati, sebagai da'ie haruslah bijak menangani masalah dan perkara buruk yang berlaku pada keadaan di sekeliling.

Kadang-kadang mulut cabul benar nasihat orang, bagaimanalah orang hendak lembut hati terima teguran.

Para da'ie muda perlu beringat! Setiap orang ingin rasa dihargai dan dihormati sebagai rakan dan orang yang punya hati dan perasaan. Jadi kita sebagai da'ie perlu fahami mereka.

Setengah kita sakit hati melihat orang yang suka berperangai 'gedik', 'bajet' dan 'menunjuk-nunjuk', selepas itu mulalah rasa hendak marah dan kutuk belakang-belakang, yang baik sikit ada pula yang tawarkan diri untuk menegur, tapi bila sudah ditegur macam buat tak tahu sahaja. Apalagi menyiraplah seluruh badan marah kepada dia!

Aduh, aduh, aduh, perlu KESABARAN! Mana ada orang boleh berubah sekelip mata, perubahan perlu 'step by step'.

Teguran pertama, mereka akan berfikir "Aku buat salah ke?". Jadi pada teguran pertama seseorang itu belum lagi mengalami proses penerimaan teguran. Mereka sedang mencari mana yang silap pada diri mereka.

Selalunya ego akan menguasai diri (tidak kira lelaki atau perempuan) dan mereka akan mencari jalan membela diri yang diri mereka tak salah.

Kita sebagai da'ie harus terima pendapat mereka dan cuba menerima sifat atau tabiat diri mereka yang sukar diubah, namun dalam senyap kita terangkan tabiatnya yang perlu diperbaiki!

Sebagai contoh :

01. Kalau orang suka bergurau secara melampau (sakitkan hati orang) dengan berpendapat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim. Apakah harus dibuat?

Katakan bahawa betul bergurau itu mengeratkan silaturrahim, tetapi setiap perkara ada baik dan buruknya kerana Allah menjadikan sesuatu benda memang ada sudut yang baik dan sudut yang buruk.

Dan antara semua perkara yang paling baik, adalah yang di tengah-tengah. Selepas itu, bagilah keterangan apa yang buruknya tentang bergurau secara melampau.

Tapi janganlah harap dengan sekali sahaja anda tegur mereka akan berubah, anda harus bersabar dan sentiasa mengingatinya.

Dalam proses menegur sekali lagi (mengingatkan mereka ketika buat salah), haruslah pandai mengambil hati mereka dengan memuji perbuatan baik yang mereka lakukan, dengan itu mereka akan rasa dihargai.

Boleh juga puji akan perubahan yang kita nampak pada diri mereka walaupun sedikit. Ketika itu juga kaitkan dengan prinsip akhlak agar mereka berminat dan tertarik dengan ciri seorang muslim sebenar sedikit demi sedikit.

Contoh lain :

02. Ketika kita melihat mereka sudah reda sedikit daripada bergurau secara melampau dengan kutuk-kutuk orang, Apa perlu kita buat?

Pujilah mereka, "Alhamdulillah, kan elok macam itu, tidaklah orang sakit hati, bahkan geli hati lagi dengan gurauan kamu, tidak macam dahulu, ada sahaja orang kutuk-kutuk kamu di belakang sebab tidak puas hati dengan kamu, kalau kamu buat lawak tidak jadi pun tidak mengapa, yang penting kita jaga 'hablumminallah' beserta 'hablumminannas'. Tidaklah tambah musuh, Allah pun suka!"

Lebih kurang begitulah, ikutlah ayat yang biasa kita guna sehari-hari, yang atas ini cuma contoh sahaja.

Apabila kita sudah rapat dan sentiasa ambil berat tentangnya, pada masa yang sama mereka akan sedar bahawa apa yang kita nasihat dan tegur adalah untuk kebaikan dirinya. Mereka akan fikir kembali untuk menjadi yang lebih baik dan cuba buang tabiat buruk mereka.

Yang penting, kita sebagai da'ie kena bagi sokongan, bukan tomahan kalau dakwah kita tidak berkesan. Kerana sebenarnya kesannya pada hati mereka bukan kelakuan, nafsu dan akal sedang berperang.

Mereka ini ada effort tetapi belum cukup kekuatan. Kita sebagai da'ie yang penyayang dan prihatin haruslah mendoakannya sentiasa dan memahaminya.

Tulisan ini hanya menunjukkan cara dakwah yang umum atau asas kerana setiap lorong dakwah mempunyai orang dan situasi yang berbeza. Jadi cara dakwah tidak boleh serupa sahaja.

Adakala perlu tegas, adakala perlu lembut. Tapi pastikan tegur bukan kerana marah dengan mereka. Marah dengan sikap mereka itu betul, tetapi sertakan kasih dan sayang pada diri mereka, agar mereka faham betul-betul niat kita.

Pandangan orang sekarang pada para da'ie 'poyo', 'bajet alim', 'perasan diri dia je betul', sakit hati kerana macam diri orang itu sahaja yang salah.

Maka para da'ie bersikap adillah dan jadilah qudwah hasanah.

Muhasabah Diri Melalui Azan...


Azan dalam Islam bermaksud memaklumkan. Ia sinonim dengan bilal atau muazzin yang bertujuan untuk mengajak sekalian umat Islam mengerjakan Rukun Islam kedua.

Ia juga sebagai tanda masuknya waktu solat dan beralihnya peredaran masa daripada subuh, tengahari, petang, malam hinggalah ke awal pagi keesokan harinya.

Namun, cuba kita tanyakan diri, apakah yang kita lakukan sebaik sahaja terdengarnya azan?

Adakah kita mendiamkan diri sambil menghayati setiap kalimah azan yang dilaungkan oleh bilal dan menjawabnya satu persatu?

Atau terus bangun untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu' serta bersedia untuk mengerjakan solat?

Mungkinkah hanya membiarkan seruan azan itu berlalu begitu sahaja tanpa menghiraukannya?

Bagaimana pula dengan azan melalui corong radio mahupun televisyen, berapa ramai yang terus menghayati dan berapa kerat pula yang terus menukar siaran sebaik sahaja azan ke udara?

Mari kita berkongsi sedikit waktu untuk menyelidiki apa yang tersirat di sebalik makna panggilan azan itu melalui makna dalam bahasa.

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar

Sebutan empat kali "ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar" ini menunjukkan betapa Agungnya ALLAH SWT, lantas menyedarkan kita betapa kebesaranNya mengatasi segala apa yang ada di langit dan di bumi.

Waktu ini seharusnya fikiran kita difokuskan pada fitrah kejadian seorang manusia sebagai khalifah. Tinggalkan segala hal duniawi dan terus menunaikan kewajipan untuk sujud kepadaNya tanpa sebarang alasan.

Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH

Sebutan sebanyak dua kali "Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH" yang memberi kesaksian tentang sifat keEsaan Allah. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH.

Lantas menyedarkan kita tentang syahadah kita. Sesungguhnya dengan solatlah syahadah kita terjaga. Dari solat yang khusyuklah syahadah memelihara kita. Lalu apakah alasan kita untuk mengelak dari melakukan hal yang paling utama dari segala perkara yang utama di dunia ini?

Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH

Sebutan sebanyak dua kali "Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH" ini memberi kesaksian tentang kerasulan Rasulullah saw. Mengingatkan kita betapa Nabi Muhammad saw. itu sebenar-benarnya utusan dan kekasih ALLAH SWT.

Selepas solat sebaiknya berselawatlah kepada Rasul Junjungan kita dan para keluarga mahupun sahabat Baginda saw..

Pengorbanan dan akhlak Nabi saw. menjadi contoh bagi sekalian umat. Betapa sayangnya Nabi pada umat Baginda sehingga nafas terakhirnya diakhiri dengan kalimah "ummati..ummati..".

Syafaatnya antara rahmat yang diberi pada umatnya. Lantas ringankanlah diri berselawat kepadanya. Cinta kita pada Baginda saw. masih tidak setanding cinta Baginda saw. pada kita.

Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Marilah mendirikan solat

Sebutan dua kali "Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH dan Marilah mendirikan solat" adalah mengajak untuk menunaikan solat.

Sebaiknya solat itu adalah solat berjemaah. Solat adalah penghubung seorang hamba dengan Tuhannya.

Sudah ditetapkan ada lima waktu solat fardhu perlu ditunaikan. Seandainya kita mengelak dengan pelbagai alasan sekalipun ia tetap dikira sebagai 'hutang' di sisi ALLAH.

Kita sebagai hamba perlu melunaskan kewajipan sebelum ALLAH swt. melunaskan untuk kita (Azab Neraka).

Bilakah agaknya kita betul-betul bersedia untuk menunaikan solat dengan sempurna?

Adakah kita mempunyai waktu yang cukup untuk menggantikan segala solat yang telah tertinggal?

Sesungguhnya hari ini tidak akan sama dengan semalam dan jauh berbeza dengan esok. Tidak sama pagi yang ada matahari dan malam yang bertemankan bulan.

Lalu solatlah diawal waktu dan gantikanlah solat yang telah tertinggal.

Marilah menuju kejayaan
Marilah menuju kejayaan

Sebutan dua kali "Marilah menuju kejayaan" yang sama banyak dengan panggilan solat.

Sesungguhnya orang yang menang dan berjaya di sisi ALLAH ialah orang yang tetap mengerjakan solat dengan hati yang khusyuk.

Ini juga menunjukkan Islam menggalakkan umatnya untuk mencapai kejayaan yang pasti bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat sana.

Kejayaan yang sebenar-benarnya bukan sahaja dari berapa banyak harta kita, tetapi betapa kita menjagaNya di hati kita dengan menunaikan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sebaik-baiknya tinggalkan dahulu kerja mencari harta untuk dunia untuk mengerjakan solat sebagai bekalan di akhirat sana sejurus sahaja seruan azan dilaungkan.

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
Tiada Tuhan selain ALLAH

Kita diingatkan kita sekali lagi betapa besar dan agungnya ALLAH SWT. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH. Manusia itu mudah lupa dan lemah, tetapi ALLAH itulah sumber kekuatan kita.

Solat yang sempurna dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan cela.

Kalaulah diri mudah mengikut ajakan teman-teman walaupun pujukan tanpa sebarang alat pembesar. Kenapa azan yang dilaungkan dengan lantang langsung tidak terendah oleh akal dan fikiran apalagi jasad?

Walhal, Syaitan sekalipun akan berlari bertempiaran tatkala terdengar laungan azan menunjukkan betapa azan ini mampu memberi rasa GENTAR pada syaitan.

Adakah kita ingin menjadi lebih teruk daripada makhluk tersebut, tiadakah rasa gentar dan takut dalam hati kita tatkala nama ALLAH dilaungkan?

Ingatlah, selagi kita terdengar kalimah ALLAH dari azan yang dilaungkan, persiapkan diri untuk solat.

Kerana kita tidak tahu sampai bilakah lagi laungan ini akan kedengaran di cuping telinga.

Andai panggilan menghadapNya sudah tiba, sudah tentu kita tidak mampu menangguhkannya apalagi mengelak.