Photobucket

Sunday, February 20, 2011

RIAK PEROSAK AMAL


Allah tidak mengukur amalan hambaNya berdasarkan kuantitinya tetapi berdasarkan kualitinya. Allah tidak menerima ibadat daripada seseorang yang beribadat bukan keranaNya, sebaliknya ibadat yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata masyarakat yang memandang.

"Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahawa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka berwaspadalah terhadap mereka; semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka sampai dipalingkan (dari kebenaran)?" - [Surah al-Munafiqun:4]

Berdasarkan ayat di atas, Allah menerangkan salah satu ciri orang-orang munafik. Mereka merupakan seorang yang hebat pada pandangan manusia tetapi tidak pada pandangan Allah. Mereka beribadat dan beramal soleh bukanlah untuk mendapat keredhaan Allah tetapi demi kepentingan sendiri.

Allah telah merakam perbuatan mereka dengan menurunkan surah al-Munafiqun kepada Rasulullah saw. supaya Baginda dan para sahabat berjaga-jaga dengan mereka dan menjauhi sikap mereka.

Telah menceritakan kepadaku dari Malik dari Yahya bin Said dari Muhammad bin Ibrahim bin Al Harits At Taimi dari Abu Salamah bin Abdurrahman dari Abu Sa'id dia berkata;

Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Akan keluar dari kalian suatu kaum, yang solat kalian tidak ada apa-apanya dibanding solat mereka. Juga puasa kalian dibanding puasa mereka. Amalan kalian dibanding amalan mereka. Mereka membaca Qur'an, namun bacaannya tidak melampaui kerongkongan mereka. Mereka keluar dari agama ini sebagaimana anak panah yang melesat dari busurnya. Kamu melihat ke hujung anak panahnya namun kamu tidak melihatnya. Kamu melihat ke busurnya namun kamu tidak melihatnya. Kamu lihat ke pangkal anak panah dan kamu tidak dapat melihatnya. Kamu saling mendustakan dalam pangkal anak panah." Telah menceritakan kepadaku dari Malik telah sampai kepadanya, bahawa Abdullah bin 'Umar tetap mempelajari surat al-Baqarah selama lapan tahun." - [Riwayat Malik:428]

Rasulullah saw. telah memberi peringatan kepada kita akan ada kaum yang kita tidak dapat tandingi solat mereka, puasa mereka dan amalan mereka. Tetapi segala amalan mereka itu hanyalah sia-sia, langsung tidak diterima oleh Allah.

Inilah ciri-ciri orang yang riak dalam melakukan amal soleh. Mereka menunjuk-nunjuk bahawa merekalah yang paling kuat amalannya, paling ikhlas dan paling tawadduk.

Sedangkan Allah Maha Mengetahui akan niat sebenar mereka yang berpura-pura ingin mendapatkan perhatian dan pujian manusia semata-mata.

Riak bukanlah hanya pada orang yang beramal soleh, tetapi setiap daripada kita boleh memiliki perasaan riak tanpa kita sedari.

Contohnya bagi orang yang berilmu, mereka menunjukkan kepandaian mereka dan mencari ilmu hanya untuk diperlihatkan kepada orang ramai betapa pandainya dia dan betapa tingginya ilmu di dada.

Lantaran jika terdapat orang yang berbeza pandangan dengan mereka, mereka akan cepat-cepat membalas dengan hujah yang sangat ilmiah dengan niat supaya orang akan mengagumi kehebatan mereka.

Walau bagaimanapun, sukar untuk kita ketahui niat mereka. Hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang terkandung dalam hati mereka. Kita perlu berbaik sangka terhadap mereka kerana jika kita berburuk sangka, syaitan akan menyelinap dan menghasut kita dengan hasutan yang jelek lagi jijik.

Seperti sabda Rasulullah saw.;

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Maslamah dari Malik dari Abu Az Zinad dari al-A'raj dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Jauhilah oleh kalian buruk sangka, sebab buruk sangka adalah sejelek-jelek perkataan. Jangan saling mencari tahu (aib orang lain) dan jangan saling mengata." - [Riwayat Abu Daud:4271]

Begitulah, kita seeloknya diamkan sahaja dan berilah nasihat yang memadai andaikata terdapat ciri-ciri jelas orang yang riak pada kenalan kita mahupun sesiapa sahaja.

Mencari-cari kesalahan itu ditegah oleh Rasulullah saw. kerana syaitan selalu mengambil kesempatan atas peluang itu. Namun, hendaklah kita jauhi sifat riak ini kerana riak merupakan salah satu daripada pecahan syirik.

Sebagaimana sabda nabi Muhammad saw, maksudnya;

Dari Mahmud bin Lubaid dia berkata: Telah keluar Rasulullah saw. sambil berkata, "Wahai sekalian manusia, jauhilah olehmu perbuatan syirik yang tersembunyi." Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apakah syirik yang tersembunyi itu?" Baginda menjawab, "Iaitu seseorang berdiri menjalankan solat lalu dia menghiasinya (memanjangkan) solatnya dengan bersungguh-sungguh kerana manusia melihatnya. Itulah syirik yang tersembunyi." - [Sahih Targhib wa Tarhib 1/17]

Seperti dalam hadis yang disertakan, perbuatan menunjuk-nunjuk solat kita kepada orang lain adalah perbuatan riak. Selain perbuatan amal soleh, perbuatan lain juga terdapat riak di dalamnya jika kita tidak ikhlas melakukannya demi Allah sepertimana hadis ini;

Dari Abu Musa al-Asyari dia berkata: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah saw. lalu bertanya, "Seorang berperang kerana marah, seorang berperang kerana keberanian dan seorang lagi berperang kerana riak. Manakah antara mereka yang berada di jalan Allah?" Rasulullah menjawab, "Barangsiapa yang berperang agar kalimatullah menjadi tinggi maka dia berada di jalan Allah." - [Riwayat Bukhari dan Muslim, Tirmizi:1646, Ibn Majah:2783]

Jihad pada Allah juga dikhuatiri riak jika niat kita bukan untuk memperjuang agama Allah, dan tidak ikhlas keranaNya.

Bagi yang niat kerana selain daripada Allah adalah amat rugi sekali amalan dan pekerjaan yang mereka lakukan. Ini kerana mereka hanyalah mendapat pujian dan sanjungan manusia sementara sahaja di dunia ini tetapi di akhirat kelak tidak menjamin kedudukan mereka bahkan mungkin akan dicampakkan ke neraka. Wallahualam.

Elakkanlah perasaan bangga diri dan seumpanya. Ikhlaskanlah diri untuk Allah semata-mata. Bimbang kita termasuk dalam golongan yang dibicarakan oleh hadis tersebut.

"Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran (keagungan) adalah sarungKu. Maka barangsiapa melepaskan dariKu satu dari dua tersebut, nescaya akan aku lemparkan ke neraka Jahanam." - [Riwayat Abu Daud:4090, Ibn Majah:4174]

Bagi para penuntut ilmu pula tuntutlah ilmu dengan niat kerana Allah. Bukan niat kerana untuk menambah koleksi sijil lantas menampalnya di rumah, di pejabat dan tempat lain untuk menunjuk kepada orang lain bahawa dialah yang hebat.

Namun, jika ingin mendapatkan sijil supaya menyenangkan proses mencari pekerjaan yang halal demi hidup di atas jalan Allah, itu adalah diharuskan.

Sabda Rasulullah saw.;

"Barangsiapa belajar satu ilmu yang seharusnya hanya mencari redha Allah semata, tetapi dia tidak belajar melainkan untuk mendapatkan keduniaan, maka dia tidak akan mendapatkan walaupun bau syurga di akhirat nanti." - [Riwayat Abu Daud:3664, Ibn Majah:252, Ahmad II/338]

"Janganlah engkau belajar satu ilmu untuk bermegah-megah di hadapan para ulama, mempermainkan orang bodoh serta untuk menguasai majlis. Maka barangsiapa berbuat demikian maka apilah (nerakalah) berhak baginya." - [Riwayat Ibn Majah:254, Ibn Hibban:90, Hakim I/86]

BERAMAL @ BERMAKSIAT, APA BEZANYA ?


Pernah dengar mengenai teori "classical conditioning" di mana-mana?
Sama ada melalui buku-buku, majalah ataupun di internet?

"Classical conditioning" merupakan keadaan pemesongan minda yang mengarahkan anggota badan kita bertindak mengikut corak tertentu dengan didedahkan kepada stimulus tertentu.

Kajian asal mengenai "classical conditioning" telah didemonstrasikan oleh seorang saintis psikologi Russia, Ivan Pavlov pada tahun 1927. Ivan Pavlov menggunakan seekor anjing sebagai bahan ujikajinya untuk melihat respon anjing tersebut terhadap dua stimulus dalam dua keadaan yang berbeza:

*stimulus pertama – stimulus asal bersifat kekal

*stimulus kedua – stimulus tambahan, disertakan dengan stimulus pertama

Langkah pertama:

Anjing tersebut pada asalnya menunjukkan reaksi normal dengan menjelirkan lidah setelah diletakkan seketul tulang kegemarannya.

Langkah kedua:

Anjing tersebut didedahkan dengan "tuning fork" yang dibunyikan dengan nyaring. Tiada reaksi.

Langkah ketiga:

Tulang kegemarannya diletakkan di hadapan dan dalam masa yang sama, "tuning fork" turut dibunyikan dengan nyaring. Reaksi asal; anjing tersebut menjelirkan lidah terjadi.

Langkah keempat:

Tulang kegemaran dialihkan, "tuning fork" dibunyikan sekali lagi. Anjing berkenaan menjelirkan lidah.

Dapat disimpulkan bahawa anjing itu sendiri telah keliru dengan yang manakah respon yang sepatutnya diberikan seperti sebelum eksperimen tersebut dijalankan.

Kita manusia, mahukah jadi seperti anjing tersebut?

Kita sendiri jadi keliru, mana yang betul, mana yang salah, mana yang halal, mana yang haram.

Apa yang menyebabkan minda kita terpesong dalam beramal? Sekejap beramal, sekejap buat maksiat. Mungkinkah teori "classical conditioning" kerap berlaku dalam diri kita setiap hari?

Kita tengok ada yang bergaul bebas, perkara biasa.

Kita tengok ada yang yang tak tutup aurat, perkara biasa.

Kita tengok ada yang pandang ringan solat, pun perkara biasa.

Biasalah, dunia zaman sekarang.

Lama kelamaan, perkara biasa itulah yang terbiasa dengan kita. Semuanya terasimilasi dengan hidup kita. Orang lain buat, kita duduk sama, kita tengok saja, duduk diam dan buat-buat buta. Apa bezanya keadaan ini dengan stimulus kedua?

Alih-alih, jadilah kita seperti anjing eksperimen di atas.

Beramal dan bermaksiat nampak sama saja.

Moga menjadi peringatan untuk semua dan diri ini yang sentiasa alpa.

Saturday, February 19, 2011

WANITA YANG TERINDAH


Aduhai wanita... Sungguh mahal dirimu di mata lelaki, tetapi mengapa masih ada lagi yang tidak menyedari? Dirimu sungguh agung di mata lelaki dan terlalu mulia di sisi Penciptamu. Namun itu semua hanya jika kau tahu mengagungkan dan memuliakan dirimu sendiri.

Menjadi wanita adalah satu anugerah yang paling indah. Seharum mana pun wangian kasturi tidak mampu menandingi wangian budi pekertimu, lembutnya gumpalan kapas masih tewas dek kelembutan tingkahmu. Halusnya butiran pasir yang menjadi peneman setia si pantai masih tidak dapat menandingi halusnya tuturmu.

Duhai wanita... Sebenarnya maruah diri yang kau galas lebih berat daripada bongkah-bongkah batu yang besar. Kau menepis dengan penuh sabar setiap godaan nafsu dunia yang datang bertubi-tubi hingga hampir mengheretmu ke kancah yang penuh onak duri. Percayalah wanita, akan ada bahagia di akhir kesengsaraanmu asal saja kesabaran menjadi bentengmu.

Wanita ku... Terima sahaja cemuhan dan makian yang muncul bederu -deru ibarat halilintar yang singgah di cupingmu, terima saja itu dengan senyuman dan ambil saja sebagai halwa telinga yang mengajarkan mu erti kesabaran. Itu sebenarnya dendangan sumbang dari bibir-bibir sumbing yang ingin melihat mu tersungkur. Percayalah akan ada berita manis yang singgah dicupingmu suatu masa nanti asal saja gunung kesabaranmu tidak pernah kau tarah.

Saudara wanitaku, iman mu adalah perisai, agamamu adalah landasanmu di setiap langkah yang kau atur. Jangan sesekali kau biarkan anasir songsang memperkotak-katikkan imanmu apatah lagi agama yang kau kandung hanya kerana nikmat duniawi semata-mata. Jangan kau gadaikan maruahmu yang tidak ada galang gantinya hanya kerana mengejar sesuatu yang tidak mungkin bisa kau kendong.

Andai kata kau tersungkur, segeralah bangkit dan sekiranya kau tersasar jauh dari landasan hidupmu, atur kembali langkahmu bersama titipan iman dan mulakan dengan langkah yang baru. Sedangkan Sang Jentayu yang kepatahan sayapnya masih bisa hidup bertongkat paruh apatah lagi kau yang dianugerahkan akal fikiran. Jangan bersedih wahai wanita, andai apa yang kau ingini tidak kau beroleh di dunia, percayalah syurga itu sentiasa menantimu.

Bulatnya iman dan taqwa Sumaiyah ketika dihunuskan tombak ditubuhnya, demikian jugalah bulat imanmu harus kepada Penciptamu. Peganglah kata kata ini, "Kau sebenarnya tidak akan tersasar seandainya keimananmu kau jadikan sebagai tunjang dalam kehidupan".

Wanita, biar tawadukmu lebih menggungung daripada kejelitaanmu, biar keayuanmu terpancar dek kerana lemah gemalainya perilaku. Biar kebijaksanaanmu terpampang oleh tingginya ilmumu. Jangan sesaat pun kau lupa setianya Masyitah pada Tuhannya, agungnya kasih Khadijah kepada agamanya dan perjuangan srikandi-srikandi agama terdahulu.

Jadikan agamamu sebagai tunjang yang memperkasakan akidahmu.Biar kesabaranmu menjadi benteng perjuanganmu dan lebarkan imanmu dengan sejuta lapis sifat mahmudah. Jadilah kita wanita paling bahagia.

Konteks Zuhud Yang Sebenar


Apabila disebut zuhud, orang terus memvisualkan keadaan yang miskin, susah, compang-camping. Ini adalah satu tanggapan yang salah. Hakikatnya zuhud itu konsepnya ialah manusia itu jiwanya mengawal dan bukannya dikawal oleh wang atau harta. Kerana itu masih ramai yang keliru apabila zuhud itu disebut dalam Islam tetapi pada masa yang sama orang Islam digesa mencari kekayaan dan kekuatan ekonomi.

Tidak salah mempunyai rumah yang besar, kereta yang mahal serta berkualiti serta harta yang melimpah ruah. Itu adalah yang terbaik apabila umat Islam mempunyai kuasa beli yang kuat untuk berbuat sesuatu. Bagaimanakah anda boleh membantu dan bersedekah sekiranya anda sendiri perlu dibantu dari segi ekonomi?

Tahukah anda Rasulullah menggunakan kuda perang yang terbaik dari baka Arab. Kalau kita bandingkan kuda itu dengan kenderaan sekarang ia seperti tahap kereta Ferrari dan Bentley. Malah Rasulullah mengarahkan supaya baka tersebut dikawal supaya ia tidak keluar dari tanah arab. Ia adalah supaya teknologi baka itu dikuasai oleh orang Islam.

Definisi Mencari Kekayaan Dalam Islam Dan Memanfaatkannya

Masalahnya sekarang ia definisi dan persepsi tentang kekayaan. Apabila hari ini anda jelas mengenai zuhud, maka anda faham bahawa mencari kekayaan itu perlu tetapi tunduk kepada kekayaan itu adalah salah. Tunduk kepada kekayaan disini bermaksud, manusia sanggup mengabaikan perintah Allah demi kekayaan. Manusia menjadi ujub dan takbur dengan kekayaan. Disinilah konsep zuhud dalam kekayaan itu telah hilang.

Kerana itulah juga agama dianggap sesuatu yang murah. Menghantar anak mengaji Al-Quran dengan RM40 masih dikatakan orang mahal tetapi kelas tuisyen dengan RM40 satu subjek dikatakan keperluan. Bukankah islam telah menerangkan tentang wasatiah iaitu keseimbangan ilmu dunia dan akhirat untuk kesejahteraan hidup? Jadi mengapa ada 'double standard' di situ?

Adakah Ilmu Agama Itu 2nd Class?

Ilmu agama tidak banyak membantu dalam kerjaya dan kehidupan? Anda silap. Ini adalah kerana anda tidak banyak mengkaji betapa ilmu spiritual begitu banyak membantu organisasi dan kehidupan manusia. Mengapa diseluruh dunia, organisasi menghabiskan berbilion dolar untuk program latihan berbentuk spiritual seperti pembangunan diri, pembangunan kerja kumpulan dan kepimpinan? Tahukah anda itu adalah cabang spiritual yang asalnya diambil dari ilmu keagamaan?

Jika kita merujuk teori Sigmund Freud tentang minda sedar dan separa sedar, ia adalah perkara berkaitan psikologi. Di dalam surah Al-Baqarah, Allah telah berfirman untuk kita mempercayai perkara ghaib. Ghaib disini bermaksud spiritual yakni agama. Begitu juga di dalam Al-Quran ada menyebut tentang peranan hati yang mana rosak atau baiknya hati ini, akan menentukan kejayaan seseorang. Jose Silva, salah seorang yang berpengaruh yang mana teori pembangunan mindanya begitu menekankan aspek spiritual dan diperkayakan oleh syarikat latihan seluruh dunia membangunkan modul. Kerana itu mereka yang terlalu ultra menggunakan konsep logik gagal memperoleh satu keputusan yang terbaik apabila mengabaikan perkara spiritual.

Kefahaman Zuhud Yang Sebenar Serta Hikmah Kepada Ummah

Apakah kaitan spiritual dan zuhud dalam perbincangan kita ini? Ianya sangat berkait rapat. Mengapa ramai yang berzuhud agak kurang membuat harta? Kerana mereka takut tidak dapat mengawal harta sebaliknya harta mengawal mereka. Mereka takutkan kerosakan yang boleh membawa mereka kepada kesesatan.Itulah jua maksud zuhud yang sebenar iaitu mengelak atau meninggalkan sesuatu kerana kehinaannya walaupun mampu untuk memperolehnya.

Kerana itulah, seorang manusia harus membekalkan diri dengan bekalan spiritual yang cukup bagi menemui kejayaan kehidupan. Kita terlalu digula-gulakan tentang kejayaan berdasarkan nombor dan wang ringgit tetapi akhirnya masih ada kegagalan. Kerana itu ramai hartawan dunia dilaporkan mati dibunuh dan membunuh diri. Mereka tidak mampu untuk mengelak dan meninggalkankan dunia tetapi akhirnya mereka meninggalkan jua semua itu dalam keadan yang menyedihkan. Bagaimana seseorang yang tidak membekalkan diri dengan kemampuan mengawal boleh mengawal sesuatu?

Fahamilah konsep zuhud dengan sebenar, maka insyallah kita akan menjadi insan yang amat berguna untuk diri sendiri, orang disekeliling serta masyarakat. Sudah tentulah juga kita mampu menjadi orang yang berguna dan mampu berbakti kepada agama seperti Abu Bakar As-Siddiq serta Abdur Rahman Auf yang mampu menginfaqkan harta mereka.

MILIKILAH SIFAT MALU.....!!


Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlak dan tersebarnya kemaksiatan.

Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.

Malu adalah sebahagian daripada iman.

Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim. Malah Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu.

Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.

Pentingnya memiliki sifat malu. Ini adalah kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang.

Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat. Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar. Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya. Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.

Dari Abu Mas'ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri rodhiyallohu 'anhu Dia berkata: Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

"Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: 'Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu." - (HR Bukhari)

Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Muhammad sallAllahu 'alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput. Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

"Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu" bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati. Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan.

Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang. Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.

Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal.

Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda sallAllahu 'alaihi wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata:

"Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman."

Malah Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda:

"Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman." (Shahih Muslim No.50)

Hadis riwayat Imran bin Husaini ra., ia berkata: Nabi saw. pernah bersabda:

"Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan." - (Shahih Muslim No.53)

Muslimin-muslimat sekalian,

Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri.

Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu.

Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu.

Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu.

Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu.

Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu.

Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu.

Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu.

Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu.

Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu.

Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu.

Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya rasa malu. Dan macam-macam lagi.

Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela. Sebab itulah sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara.

Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu. "Just Do It" antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat. Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi. Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam.

Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu.

Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan. Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu. Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa "Malu bertanya sesat jalan". Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu.

Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia. Kerana ALLAH subhanahu wata'ala menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita.

Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut. Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

Mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata'ala memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.

ISLAM BUKAN SAINS, SAINS BUKAN ISLAM


Istilah mengIslamkan sains seakan-akan menjadi satu gelombang baru untuk para saintis Islam membuktikan kebenaran Islam. Pengislaman sains ialah satu cara untuk memaparkan ilmu sains sebagai selaras dengan ajaran Islam.

Al-Quran Sebagai Sumber Inspirasi

Gerakan ini menggunakan penemuan-penemuan sains moden dan memadankannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang difikirkan boleh diterima akal. Di antaranya ialah penemuan sains berkenaan bumi ini bulat dan memadankannya dengan ayat ke-19 Surah Al-Hijr atau memadankan Surah Ar-Rum ayat ke-48 dengan pemahaman sains berkenaan kitaran hujan.

Terkini, apabila teori letupan agung (Bing Bang) oleh Edwin Hubble mulai diterima oleh masyarakat sains kontemporari menggantikan teori steady-state oleh Fred Hoyle, pada masa yang sama dikeluarkan juga dalil daripada Al-Quran (ayat ke-30, Surah Al-Anbiya) yang telah lama menyokong penemuan saintifik ini.

Para pengusul dalil ini membuat tafsiran berdasarkan dua kata dasar bahasa Arab dalam ayat tersebut, 'ratq' bermaksud 'bercantum' dan fataq yang bermaksud 'memisahkan atau membelahkan'.

Dengan erti kata lain, Islam itu sendiri sudah lama membuktikan teori gelombang agung kerana ianya sudah dinyatakan didalam ayat Al-Quran yang berumur lebih daripada 1400 tahun.

Cara pemikiran ini dirancakkan lagi di dalam buku-buku karya Harun Yahya dari Turki.

Pembaharuan berfikir secara saintifik di dalam membuktikan kebenaran Islam sebenarnya adalah satu trend yang sihat sebagai satu lagi wadah dakwah yang mencerminkan budaya umat Islam berfikir sudah berubah. Sebagai contoh nilai bantu wadah dakwah ini, apabila bukti saintifik yang menunjukkan satu rekahan yang begitu panjang di permukaan bulan sepadan dengan mukjizat Nabi Muhammad SAW yang telah membelah bulan apabila dipinta oleh orang-orang Quraisy telah membuatkan manusia barat berbondong-bondong menjadi 'saudara baru' memeluk Islam.

Pembaca Pasif

Sebenarnya, umat Islam adalah pembaca-pembaca yang pasif walaupun ayat-ayat Al-Quran itu sendiri mengajak mereka untuk berfikir secara kritis dan inovatif.

Sebagai contoh, teori letupan agung telah berada di dalam dada Al-Quran selama lebih daripada 1400 tahun tetapi tiada seorang pun umat Islam yang menyedari akan tujuan sebenar ayat tersebut.

Surah ini sudah dibaca oleh berjuta-juta umat Islam dari dulu sehingga sekarang tetapi tiada seorang pun yang berhenti sejenak dari bacaan mereka dan merenung dengan kritis maksud di sebaliknya. Kemudian dengan sabarnya menunggu waktu malam untuk melihat langit di atasnya untuk memerhati apakah ayat itu cuba menyampaikan sesuatu berkenaan langit dan bumi. Mungkin dulu ianya satu. Selepas membuat pemerhatian dan mendapat keyakinan bahawa langit dan bumi mungkin pada suatu masa dahulu bercantum, mulai mencipta radas-radas dan alat-alatan saintifik untuk membuktikan pemerhatiannya sekaligus membenarkan ayat-ayat-Nya.

Tugasan ini mungkin rumit dan meletihkan tetapi ianya juga salah satu wadah jihad untuk sarjana-sarjana Islam. Sebaliknya, apa yang berlaku adalah hampir kesemua sarjana dan pemikir Islam kontemporari hanya menunggu 'durian runtuh' dan menikmati hasil penat lelah pemikir-pemikir yang mencipta penemuan tersebut.

Jika kita membilang sudah berapa banyak penemuan sains yang sepadan dengan dalil-dalil Al-Quran yang dibaca oleh Muslim setiap hari, mungkin sudah ramai penerima hadiah Nobel terdiri daripada umat Islam dan bukannya orang Yahudi.

Di dalam artikel ini, saya akan cuba memperkenalkan cara untuk memanfaatkan kaedah-kaedah sains untuk menyelesaikan permasalahan umat Islam masa kini. Mungkin ada sarjana-sarjana Islam akan membantah kerana Islam tidak boleh di'sains'kan sepertimana ilmu laduni (ilmu yang diturunkan oleh Allah secara langsung kepada manusia). Dalam erti kata lain, Islam tidak boleh diukur oleh radas-radas dan alat-alat saintifik.

Sebenarnya, Islam itu sendiri mempunyai cabang ilmu yang bersifat mengukur iaitu ilmu Fikah. Ilmu fikah menyerupai ilmu Fizik di dalam sains di mana ianya melibatkan akal kerana sains lebih bersifat akal. Ini bermakna Fiqah adalah cabang ilmu di dalam Islam yang mengkaji suatu permasalahan ummah yang boleh diukur, dikaji dan diulangi.

Menentukan Arah Kiblat

Kebanyakkan saudara baru selalunya merujuk kepada buku oleh Ahmed Galwash yang menyatakan untuk mencari arah kiblat yang betul adalah dengan mengunakan peta Mercator, kemudian letakkan satu hujung pembaris ke arah si pencari berdiri dan satu hujung pembaris lagi pada arah Mekah, buat satu garisan menggunakan pen dan itulah arah kiblat.

Ramai juga muslim menggunakan konsep bulatan agung (Great Circle concept) yang selalunya digunakan dalam penerbangan. Jarak bulatan agung ditakrifkan sebagai jarak terpendek di antara dua titik pada permukaan satu sfera. Kaedah pencarian arah kiblat yang tepat menggunakan konsep bulatan agung telah dicipta oleh Fred Sawyer III, seorang ahli matematik.

Satu kaedah bergeometri juga diperkenalkan dengan menggunakan ukuran darjah satu sudut di antara utara dan kedudukan seseorang kearah Kaabah. Sudut itu dipanggil azimuth, daripada perkataan Arab samt yang bermakna arah.

Walaubagaimanapun, permasalahan arah kiblat kebanyakkan diselesaikan oleh mereka yang dilahirkan Muslim lebih bersifat santai dan boleh dibahagikan kepada dua kategori; mengikut cara tradisi dan menggunakan kaedah bermatematik.

Kompas kiblat sebenarnya adalah evolusi daripada kaedah bermatematik.

Kaedah tradisi termasuklah, "Jika anda boleh melihat Kaabah, maka itulah arah kiblat' atau 'Jika anda berada di Mekah, ikut arah di mana penduduk asal itu menghadap'.

Tetapi masalah menjadi semakin rumit apabila seseorang Muslim itu tidak tinggal di Mekah. Maka pelbagai petua dicipta seperti mengikut arah angin tertentu atau teruskan solat tanpa mengetahui arah kiblat kerana empat dinding Kaabah mengala ke semua arah.

Kemudian kaedah bermatematik dicipta, atau kuasi-matematik. Secara sejarahnya, masalah paling utama dalam menggunakan kaedah bermatematik adalah tiada ilmuwan boleh menentukan longitude sesuatu tempat secara tepat. Maka, kaedah bermatematik adalah paling berkesan tetapi dilemahkan dengan fakor geografi. Oleh kerana itu, walaupun kaedah bermatematik lebih maju dan tepat, tetapi keputusannya -- mengikut penemuan terkini – tersasar.

Ada usaha fuqaha beraliran sekular menggunakan pengiraan trigonometri. Ianya dikira menggunakan lokasi koordinat seorang muslim, koordinat Kaabah (atau Mekah), dan satu formula trigonometri bersfera mudah untuk menentukan bulatan agung yang di antaranya menggunakan kaedah trigonometri seperti sine dan cosines dan kadangkala menggunakan sektor kuadran tangents dan cotangents.

Perpecahan Umat Islam

Sepanjang sejarah Islam, ahli-ahli astronomi Islam telah menghabiskan masa mereka untuk menentukan arah kiblat dan mencipta alat-alat seperti astrolabe, di mana kemudiannya menjadi alat yang terpenting untuk pelayaran dan penjelajahan. Perlu diingati, kiblat pertama umat Islam sebenarnya bukan Kaabah tetapi Jeruselam dan umat terdahulu berkongsi arah dengan orang Yahudi dan kemudiannya arah kiblat telah berubah selama-lamanya ke Kaabah oleh Nabi Muhammad SAW.

Perubahan ini memberi identiti sendiri kepada umat Islam supaya berbeza daripada orang Kristian dan orang Yahudi. Oleh itu, kiblat menjadi urat nadi umat Islam.

Persoalan arah kiblat menjadi mudah di negara di mana penduduknya adalah majoriti Islam kerana telah dijawab beratus tahun dahulu oleh nenek moyang mereka yang juga beragama Islam. Tetapi oleh kerana proses mobiliti dan penyebaran populasi yang dibawa oleh sejarah pengkolonian, pembaharuan oleh era globasisi dan penghijrahan umat Islam secara besar-besaran telah mencipta satu keperluan untuk menentukan arah kiblat yang lebih tepat di negara-negara yang mempunyai Islam minoriti seperi Amerika, Australia dan New Zealand.

Contohnya,kebanyakkan masjid-masjid pendatang di Detroit, Amerika, ketika dulu menghadap Timur atau tenggara. Kemudiannya pada tahun 1978 seorang Fuqaha Islam, S. Kamal Abdali, telah mencadangkan bahawa arah kiblat bagi Amerika Utara adalah di Timur Laut dan cadangan ini diterimapakai di Amerika Utara sehingga kini.

Malangnya, permasalahan arah kiblat menjadi semakin rumit apabila melibatkan perbezaan mazhab dan pada akhirnya umat Islam berpecah-belah.

Lebih memalukan, di dalam era matematik, geografi dan komputer ketika sains pelayaran, pengiraan dan Cartography mencapai kemuncaknya, dan dengan penciptaan teknologi terkini, orang bukan Islam tidak menemui masalah di dalam mencari arah untuk belayar sehingga ke kutub utara dan mengembara hingga ke bulan, walhal umat Islam masih tidak mempunyai persetujuan di dalam isu yang kecil ini.

Diceritakan cara menentukan arah kiblat bagi masjid baru di Tierra del Fuego adalah dengan memanggil seorang Fuqaha dari Algeria dan mendengar pendapatnya dan apabila masjid itu siap dibina seorang lagi Fuqaha ternama Islam melawat masjid tersebut telah memberi pendapat yang berbeza berkenaan arah kiblat.

Fatwa secara subjektif ini telah membuatkan Islam amat sukar diterima di benua Amerika. Kaedah memberi fatwa secara subjektif ini juga telah mencipta jurang baru sesama umat Islam dan akhirnya mengakibatkan perpecahan. Sewajarnya, kaedah memberi fatwa yang bertunjangkan ijtihad bersandarkan dengan fakta yang lebih bersifat saintifik supaya mudah diterima akal.

Projek Satu Arah Kiblat

Isu ini sebolehnya tidak boleh dipandang enteng oleh umat Islam terutamanya sarjana-sarjana Islam. Oleh itu, satu projek yang dinamakaan 'Satu arah kiblat' dicipta oleh saya dengan khidmat nasihat oleh seorang ulama terkenal UK telah dilancarkan.

Tujuan utama projek ini adalah untuk menentukan arah kiblat secara saintifik demi menyatukan umat Islam di samping memberi satu kaedah baru kepada dunia Fikah berkenaan ijtihad.

Seperti yang telah dibincangkan, terdapat dua cara menentukan arah kiblat iaitu (1) cara tradisi dan (2) kaedah bermatematik, tetapi kini kami memperkenalkan kaedah ketiga iaitu secara kaedah saintifik. Kaedah ketiga ini amat mudah iaitu dengan memerhatikan arah piring satelit yang boleh didapati di mana-mana sahaja.

Sebagai bukti, jika anda berada di Malaysia, cuba perhatikan arah piring satelit Astro dan arah mana-mana masjid yang berdekatan. Sepanjang pemerhatian saya, hampir kesemua piring satelit Astro menghadap ke arah kiblat dengan tepat. Ketepatan arah kiblat menggunakan arah piring satelit adalah amat tepat dan terbukti apabila diukur ketepatannya dengan kompas kiblat.

Untuk memastikan bahawa kaedah ini boleh diterima pakai di seluruh dunia, kami akan mengumpul data arah piring satelit di segenap benua. Dengan data yang akan dikumpul, maka kesimpulan dapat dibuat secara statistik sama ada kedudukan piring satelit di seluruh dunia kesemuanya menghadap Kaabah.

Jika kesimpulan berstatistik mendapati kesemua piring satelit di seluruh dunia menghadap Kaabah maka satu alat baru dapat dicipta dengan memahami lebih lanjut fenomena ini dan sekaligus meredakan perselisihan di antara umat Islam masa kini.

Seperti dinyatakan, kompas kiblat datangnya daripada evolusi kaedah bermatematik yang bergantung kepada ketepatan koordinat sesuatu lokasi dan seperti yang dibincangkan masih lagi diragui ketepatannya.

Oleh kerana itu, proses membina masjid baru di benua Amerika masih lagi menggunakan kaedah tradisi dengan pedoman seorang Fuqaha yang selalunya bersifat subjektif.

Di dalam kesempatan ini, saya ingin memohon kerjasama semua Muslimin dan Muslimat supaya dapat berganding bahu untuk membantu saya melaksanakan projek ini. Kami dalam peringkat membina laman web sebagai alat untuk pengumpulan data.

Tujuan pembinaan laman web ini adalah untuk meminta kerjasama individu Muslim memberi arah mana-mana piring satelit yang mereka jumpai dengan pengesahan daripada arah masjid yang berdekatan dan juga daripada kompas kiblat.

Walaupun kompas kiblat kurang tepat tetapi penggunaannya masih lagi boleh diterima pakai pada peringkat pengumpulan data. Semoga projek ini dapat menjadi satu nafas baru kepada penyatuan umat Islam di seluruh dunia.

GEJALA RASUAH KIAN MUNULAR


Era digital ini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang begitu rancak. Namun dalam usaha menuju era globalisasi dunia tanpa sempadan, Malaysia terpaksa bersemuka dengan satu penyakit sosial yang agak kritikal sehingga boleh meranapkan peradaban bangsa kita, iaitu rasuah. Kita singkap laporan rasuah oleh Transparency International 2010 melaporkan bahawa Malaysia masih lagi berada di tangga 56 pada Indeks Persepsi Rasuah.

Walaupun isu ini hangat diperkatakan, pernahkah terlintas dalam benak fikiran anda apakah maksud "rasuah"? Perkataan rasuah berasal daripada perkataan arab yang berbunyi al-risywah. Dalam Al-Quran juga digolongkan dalam kata umum batil iaitu meliputi juga perbuatan jenayah yang lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu.

Terdapat beberapa definisi lain yang diberikan oleh beberapa pihak yang pakar dalam bidang ini. Dalam kamus Concise Law Dictionary, PG Osbome memberi definisi "bribery and corruption" sebagai perbuatan "giving or offering any reward to any person to influence his conduct; or receipt of such reward". Manakala John B Saunders pula dalam kamus Mozley and Whiteley's Law memberikan definisi "the taking and giving money for the performance or non-performance of a public duty."

Dalam ruang lingkup di biosfera ini, rasuah adalah wabak penyakit dan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat di semua tempat. Tidak ada negara yang boleh mendakwa dirinya bebas dari rasuah, cuma yang boleh membezakan pada tempoh satu-satu masa hanyalah dari segi keseriusan jenayah rasuah yang berlaku.

Menurut Badan Pemerhati Rasuah Antarabangsa menunjukkan indeks rasuah di negara ini juga membengkak setiap tahun. Barah penyakit sosial ini kian parah umpama tumor yang tumbuh tanpa rawatan rapi. Apa yang menakutkan dan membimbangkan kita ialah jika keadaan amalan jenayah rasuah ini terus meningkat, maka amat dikhuatiri akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan negara kita.

Menurut statistik yang telah dilaporkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 500 tangkapan telah dibuat keatas kesalahan jenayah rasuah. Daripada jumlah ini didapati 191 orang atau sebanyak 38.2 peratus adalah penjawat awam dan seramai 180 orang atau 38 peratus adalah orang awam.

Manakala selebihnya ialah ahli-ahli politik, anggota pentadbiran, kakitangan swasta dan lain-lain. Statistik ini merupakan statistik daripada penangkapan oleh SPRM. Bagaimana pula dengan kesalahan yang tidak dapat dikesan oleh SPRM? Semestinya menjangkau lebih jauh daripada statistik yang dilaporkan. Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan najis rasuah berlaku?

Berdasarkan pemerhatian dan hemat penulis, faktor yang terbesar menyebabkan berlakunya gelaja ini ialah seseorang itu bernafsu besar dalam mengejar sesuatu yang diingini tetapi kewangan hanyalah kecil, sikap yang ingin bermewah-mewah, tidak sabar hendak mengalahkan kekayaan Robert Kuok (Orang terkaya Malaysia), mereka mempunyai keyakinan melampau batas sehingga yakin diri mereka tidak akan diambil tindakan undang-undang ataupun diketahui oleh pihak berkuasa.

Gejala rasuah yang kian membengkak ini sebenarnya merugikan banyak dana dulang emas negara yang kaya ini. Berdasarkan penyataan dariapada Morgan Stanley pada tahun 2004, beliau menganggarkan bahawa rasuah dalam tempoh dua dekad dari pertengahan tahun 1980-an telah mengakibatkan kerugian kepada negara melebihi AS$100 billion. Analisa di atas tadi menyatakan bahawa rasuah meningkat saban tahun.

Bagaimana kalau tempoh rasuah dalam jangka masa dekad tersebut bermula dari tahun 1990? Sudah tentu jawapan yang kita dengar agak sumbang namun itulah realiti yang kita harus terima. Malah Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) pada tahun 2008 menganggarkan sebanyak RM10 billion hilang daripada pertumbuhan Negara kasar kerana rasuah. Jelas sekali pembaca sekalian, perasuah ialah pengkhianat negara.

Pengamal, penyalahguna dan mereka yang bersubahat dengan rasuah adalah pengkhianat negara. Pembahagian hasil negara hanya tertumpu kepada orang yang tertentu sahaja dan menaikkan inflasi negara sekali gus menyebabkan ekonomi negara "pumping". Dengan demikian, golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan petani, penoreh getah, penarik beca dan kumpulan yang dhaif yang lain yang tidak mengerti apa-apa tentang pengurusan harta negara dan berasa tertekan akibat kenaikan harga barangan disebabkan oleh ekonomi negara yang tidak menentu.

Apa yang nyata, kadar celik huruf dan celik akal dalam kalangan rakyat negara ini semakin tinggi tetapi mereka yang terlibat gagal membuat penilaian dengan waras tentang isu-isu rasuah di negara ini. Oleh itu, kita semua hendaklah berusaha memerangi jenayah rasuah egara kita ini secara serius demi melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta.

Bertitik tolak dari situ, kita tidak dapat menafikan usaha pihak kerajaan dalam pembasmian rasuah. Dalam pelan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mempunyai enam NKRA yang telah diputuskan oleh kabinet dan salah satu daripada enam NKRA tersebut ialah membenteras jenayah. Apa yang penulis ingin persoalkan ialah adakah pihak tersebut serius dalam menangani gejala rasuah tersebut berdasarkan kelemahan yang banyak dalam pelaksanaan pembasmian rasuah tersebut.

Persepsi mengenai amalan rasuah di Malaysia telah meningkat dan menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Persepsi Rasuah (CPI) di bawah Transparency International telah menurun daripada tempat 23 tahun 1995 kepada 56 pada tahun 2010. Pada tahun ini Malaysia hanya tersangkut di tangga ke 56 berbanding tahun lalu namun CPI berkurangan daripada 4.5 kepada 4.4 sedangkan sasaran di peringkat NKRA adalah untuk meningkatkan skor CPI daripada 4.5 kepada 4.9.

Secara tuntasnya, langkah untuk mengatasi endemik ini harus diteliti dan pantau oleh semua pihak dengan efektif. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlebih dahulu jika masalah ini hendak diatasi ke akar umbinya. Sikap tidak endah dalam mengatasi masalah ini menyebabkan negara kita ketinggalan atau 'lagging' kebelakang negara maju yang lain. Mungkin konsep mencegah lebih baik daripada mengubati amat berkesan bagi memastikan rasuah terus dikuburkan dan ditalqinkan ditempat yang sepatutnya.

Penulis mengajak dan merayu kepada pembaca sekalian agar memerangi gejala yang menjadi barah dalam daging ini kerana kita tidak dapat memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak kerajaan secara total. Ianya bermula daripada individu itu sendiri. Akhir kalam, semoga penulisan secara tidak lansung memberikan sedikit suntikan baru buat kita untuk mengelak diri dari gejala tidak sihat rasuah ini dan berusaha membenterasnya. Jika kita lihat dari segi statistik rasuah, jelas terpapar menunjukkan bahawa kadar rasuah di negara-negara maju adalah rendah. Kita perlu renung dan berfikir dari pelbagai sudut. Jika ingin menjadi sebuah negara yang maju, rasuah perlu dihapuskan.

BUKAN SENANG MENJADI SEORANG PEMIMPIN


Kalau kita lihat sejarah para rasul, walaupun rasul-rasul itu punya kekuatan, hanya tiga orang rasul saja yang memerintah. Mereka ialah Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Rasulullah s.a.w. Rasul-rasul yang lain tidak memerintah. Mereka cuma memimpin tapi tidak memerintah.

Peliknya, mengapa kita berjuang, ghairah sangat hendak memerintah? Padahal para nabi yang mana nabi itu orangnya luar biasa, bukan saja memerintah, kalau dia tidak memimpin orang pun tidak menjadi satu kesalahan. Cukup dia menjaga dirinya sahaja.

Maksudnya, hendak pimpin orang bukan senang. Mesti ada satu keistimewaan khususiah yang Allah bagi pada orang itu.

Di sini kita hendak bawakan suatu cerita. Cerita ini semua orang tahu, iaitu cerita Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s. Tapi hikmahnya banyak orang tidak tahu.

Cerita ini sama ada diceritakan dalam kitab mahupun disampaikan oleh tok-tok guru, hanya dikatakan Allah hendak beritahu pada Nabi Musa bahawa ada orang yang lebih alim daripada baginda.

Tetapi di sini yang hendak diceritakan adalah satu tafsiran baru yang lebih penting lagi daripada tafsiran yang di atas. Allah temukan Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s., tetapi Allah tukar peranan masing-masing.

Seolah-olah Allah berkata, "Hai Musa! Engkau pemimpin, sekarang Aku tukar kedudukan engkau jadi pengikut." Tiga hari saja. Nak tengok, berjaya tak jadi pengikut.

Seolah-olah Allah bercakap pada Nabi Khidir, "Hai Khidir, kamu bukan pemimpin, tapi aku nak lantik engkau jadi pemimpin tiga hari saja." Berjaya tak?

Jadi bila ditemukan Nabi Musa dan Nabi Khidir, Nabi Musa pun ikutlah Nabi Khidir. Nabi Khidir yang kini jadi pemimpin berkata, "Kalau nak aku, jangan banyak cakap, ikut saja. Kalau banyak tanya nanti berpisahlah kita."

Jadi, mereka pun mula berjalan lalu berlakulah episod pertama. Terjadilah hal yang pelik. Nabi Khidir memecahkan perahu.

Nabi Musa tidak tahan, baginda tidak boleh terima dan bertanya, sedangkan baginda sudah berjanji tidak akan bertanya. Nabi Khidir pun mengingatkan, "Bukankah aku cakap jangan tanya, nanti berpisah kita."

Nabi Musa meminta maaf dan Nabi Khidir pun memberi peluang lagi kepada Nabi Musa mengikutinya.

Berjalan lagi, jumpa peristiwa pelik kedua. Nabi Khidir membunuh seorang budak. Nampak macam melanggar syariat. Nabi Musa tidak tahan, baginda bertanya lagi mempersoalkan pemimpinnya. Sekali lagi baginda diingatkan oleh Nabi Khidir akan janjinya.

Kali ketiga berlaku lagi. Nabi Khidir pun memutuskan untuk berpisah.

Apa yang kita faham, bila bertukar peranan, kedua-duanya gagal. Pemimpin gagal, pengikut pun gagal. Pengikut tidak sanggup taat. Yang pemimpin pula, kerana dia hanya seorang nabi, Allah tidak kuatkan dia seperti rasul.

Pemimpin sepatutnya bersabar dalam mendidik anak buah. Itulah keistimewaannya. Sebab itulah rasul-rasul yang dapat 'ulul azmi' adalah mereka yang paling sabar.

Jadi apa yang kita faham, seorang itu walaupun bukan rasul, tapi dia adalah mujaddid yang ditunjuk oleh Allah, maka Allah akan bekalkan kesabaran yang luar biasa kepadanya. Orang lain tidak boleh buat dan tidak akan tahan.

Begitu juga hendak jadi pengikut pada seorang pemimpin yang sebenar, bukan senang hendak taat. Nampak lain sedikit, sudah mula hendak persoalkan. Ada perkara yang pelik sedikit, dia rasa itu tidak betul. Seolah-olah dia lebih pandai dari pemimpin.

Antara pemimpin dengan pengikut, Allah bagi jarak ilmu yang terlalu jauh. Jadi pengikut juga perlu sabar untuk taat. Cuba tengok Nabi Khidir. Atas dasar ilmu baginda layak jadi pemimpin, tapi atas dasar ketabahan hati baginda tidak layak.

Sebab itu, Nabi Adam waktu dia bertaubat sujud 40 tahun sampai pokok tumbuh besar dikelilingnya, pun tidak dapat gelaran 'Ulul Azmi'. Mengapa? Baginda sujud itu bukan memimpin. Baginda dengan tuhan saja. Dengan tuhan baginda rasa lazat, tapi cuba pimpin manusia dengan bermacam-macam ragam, susah dalam berhadapan dengan musuh, berhadapan dengan kerenah anak buah.

Ini bukan sesuatu yang senang untuk dihadapi. Nabi Musa sampai tersesat di padang pasir 40 tahun lamanya kerana memimpin Bani Israil, barulah baginda mendapat darjat 'Ulul Azmi'.

Jadi setiap orang kenalah redha dengan kedudukan masing-masing. Mungkin keupayaan yang dikurniakan oleh Allah itulah merupakan saluran untuk kita berbuat kebaktian.

Oleh itu, janganlah kecil hati dan bersyukurlah Allah tidak pilih kita jadi pemimpin kerana ditakuti tidak layak. Bila tidak layak, ia boleh menjadi punca kerosakan yang banyak kepada manusia.

PINANGLAH DAKU KERANA DAKWAH


Perkahwinan Atau Baitul Muslim (BM) merupakan satu urusan besar.

Saya katakan, ianya URUSAN AMAT BESAR.

Saya tanya pada kamu, susah tak nak bina individu muslim?

Susahkan....?

Apatah lagi sebuah baitul dakwah (rumah dakwah). Ianya bukan sekadar sebuah akad nikah. Ianya adalah satu wasilah untuk urusan lebih besar dari itu. maka bersedialah dan berfikirlah sewajarnya akan hal ini. Berbicara tentang perkara ini amat berbeza sekali fenomenanya dikalangan ikhwah dan akhawat sendiri.

Berbual dengan suami saya sendiri mengenalkan saya akan kepelbagaian sikap-sikap ikhwah (rakan-rakan seperjuangan) mahupun saya sendiri mengenali banyak kisah-kisah akhawat yang ada.

Lain orang, lain ragam dan ceritanya.

Sebelum melangkah, mengambil keputusan dan memasang niat, jadilah perjalanan antum menuju anak tangga seterusnya, perjalanan yang terbaik sekali dari awal, sehinggalah pengakhirnya.

Di situ ada barakah, di situ ada kemanisan, di situ ada sebuah cerita yang layak diabadikan untuk dijadikan contoh buat anak-anak kita nanti. Kisah kita takkan sama dengan kisah ibu bapa kita dahulu.

Dakwah di zaman ini berbeza. Sikapnya pun berbeza. Maka penjagaannya begitu juga.

Sikap ikwah dalam menjaga ikhtilat (perhubungan lelaki dan perempuan) ini berbeza sekali. Ada yang sangat menjaga hingga tak memandang perempuan pun (ehem ehem), sehinggalah yang suka memandang akhawat untuk mencari calon pasangannya. Ada yang mahu menunggu hingga umur 30 tahun, mencukupkan keperluan serba serbi barulah nak dibina mahligai rumah tangga ini. Ada yang sedari belasan tahun sudah decide untuk bertunang demi berumah tangga.

Begitu juga naluri seorang akhawat berbeza sekali. Ada juga yang dah bersedia awal. Ada yang belum lagi. Dan saya nampak indahnya ikhwah akhawat ini kerana mereka tak memilih couple sebagai jalan penyelesaian dalam menyelamatkan perasaan. Mereka tetap memilih akad demi menyelamatkan perasaan mereka.

Banyak orang banyak kisahnya. Banyak contoh boleh didapati. Ada yang memberi contoh terbaik. Ada yang amat menjaga segala proses BMnya sehingga semua terkejut saat dia mengumumkan tarikh pernikahannya. Ada juga yang sedikit longgar dalam urusan BMnya. Contact tanpa orang tengah dan sebagainya. Antum lihat, dan tanyalah hati antum apa yang terbaik mahu antum ikuti.

Kerana antum akan menjadi contoh pada anak binaan antum dan anak-anak antum sendiri. Jika antum sendiri longgar, maka longgarlah anak binaan antum. Begitu juga anak-anak antum. Namun jika kita benar menjaga langkah-langkah kita semenjak awal, hingga akhirnya, itu akan menjadi contoh pada anak binaan kita.

Bukan itu sahaja, bagaimana penjagaan hati anda dengan Allah? Takkah anda malu cintamu pada Allah telah tercemar? Sebab ada juga yang bertunang lama, dan akhirnya membuka ruang untuk diri mereka bercouple tanpa disedari, bercinta tanpa sah. Ini adalah suatu virus yang akan melemahkan jiwa seorang akhi dan juga ukhti.

Melamar secara direct

Ada juga akhwat yang melamar ikhwah secara direct. Walaupun paling ramainya adalah ikhwah sendiri. Ada yang secara sms mahupun email. Saya tersenyum terkadang menerima berita ini. Dan terkadang saya berfikir, takkan naqib ikhwah tersebut ataupun ikhwah lain tak memberikan contoh kepada ikhwah tersebut bahawa; sebelum melamar, rujuk dahulu naqibah akhawat tersebut.

Itu lebih gentleman, dan sejahtera untuk hati ikhwah dan akhawat tersebut.

Akhwat rasa sangat offended bila ikhwah melamar tanpa adanya kehadiran orang tengah. Walau beremel, biarlah ada orang tengah. Jika bersms, biarlah ada orang tengah mengetahuinya.

Suka itu penting dalam berbaitul Muslim, walaupun itu bukan satu syarat kerana perasaan itu boleh dibina. Ada yang dah berkenalan terlebih dahulu, ada mengenali lewat program ataupun emel.

Namun untuk memilih calon isteri itu, bukanlah memberi ruang untuk mata kita meliar mencari siapakah calon isteri kita.

Kerana kita berkahwin sendiri untuk menjaga hati kita. Agak ironi dan pelik, jika sebelum kahwin sendiri kita sudah tidak menjaga hati kita dan membenarkan syaitan-syaitan memasuki ruang hati kita.

Kerana itu, walaupun tidaklah semua cerita Baitul Muslim ini indah, namun pada kebanyakannya, jika proses itu dimulakan dengan perbincangan bersama nuqaba, outcomenya pasti indah samada positif mahupun negatif.

Kebanyakan akhwat yang merujuk saya apabila ada ikhwah melamar secara direct, outcomenya pasti sedikit mengecewakan ikhwah tersebut. Samada ditolak bulat-bulat, mahupun akan berlaku masalah di perjalanan.

Indahnya apabila dakwah menjadi sandaran kita.

Ada kata-kata dikalangan ikhwah yang mengatakan bahawa, kalau kahwin dengan akhawat ini, confirm settle agama. So, sekarang kita kena carilah yang comel dan cantik pula.

Saya tergelak juga menerima kenyataan ini, sebab memang sisters sendiri beranggapan begitu. Ada kata-kata mengatakan:

' asalkan ikhwah sudah! tak kisahlah siapa pun dia!!'

Niat untuk kahwin sesama ikhwah akhawat itu sangat bagus. Dan itulah yang lebih utama. Tapi berkahwin ini melibatkan dua pasangan yang ada hati dan perasaan . Bukan nak kahwin dengan benda. Di situ ada nilai-nilai manusiawi. Manusia ada kelemahan - kelemahannya. Tak semua akhwat sama level dalam tarbiyah dan dakwah. Ada yang tak cukup muwasafatnya lagi. Ada yang lebih utama untuk dikahwini lebih dahulu berbanding lain.

Jika kamu letakkan dahulu citarasa diri kamu berbanding dakwah, adakah kamu ini wajar digelar rijal dakwah? Allah akan beri kamu yang terbaik. Jika kamu memilih pasangan kamu kerana Dia.

Sebab itulah nuqaba perlu disantuni dahulu. Ada yang bermasalah dengan nuqaba, maka santunilah orang tengah yang lebih ditsiqahi. Di situ orang tengah akan suba sedaya upaya menjaga ego seorang lelaki mahupun seganya seorang perempuan dalam proses ini. Pengenalan dalam pertunangan berlaku di bwah pandangan mata Allah, bukannya syahwat. Dan insyaallah kamu akan dikurniakan orang yang terbaik buatmu.

Saya tak tahu berapa ramai ikhwah yang baca artikel ini, namun ingin saya katakan pada mereka, pinanglah akhawat (rakan perempuan) kerana dakwah.

Jangan kaburinya dengan perasaan suka mahupun cinta pada sebuah keindahan wanita. Maknanya terkadang terkaburnya niat kita itu menjadikan istikharah kita tak menentu, mahupun kita tergopoh gapah dalam bertindak. Bila kita berkahwin kerana Allah, kita akan menjaga setiap langkah-langkah kita dalam berBM ini termasuk tempoh pertunangan itu sendiri yang banyak mengundang fitnah dalam hati ini.

Tempoh pengenalan sebelum berkahwin itu penting untuk melihat keserasian. Namun berkenalan selepas kahwin itulah terlebih indah serta manis. Setiap saat akan ditunggu demi mempelajari sifat baru pasangan kita.

Jagalah gentlemannya anda dengan tidak bertanya direct pada akhwat. Jangan malu untuk meminta bantuan orang tengah. Anda akan dihormati dan dikagumi oleh mana-mana akhwat pun. Jika mereka menolak, keegoan anda tidak terusik dan anda pasti akan dicarikan akhwat lainnya.

Untuk akhwat, keadaan diri kita berbeza. Satu ekstreme, ramai akhwat sudah meniti senja usia, menantikan pinangan ikwah yang mahu meminangnya kerana dakwah. Mungkin umur sudah beranjak, muka sendiri tak berapa comel. Sangat tangkas pula tu dalam dakwah menyebabkan ikhwah sedikit kecut untuk meminang. kita jelas dalam memilih ikhwah sebagai pasangan hidup kita kerana kita mahukan ketenangan hati dan kestabatan di atas jalan dakwah. Namun bagi ikhwah, keadaan mereka berbeza pula.

Jika ada orang soleh meminangmu, jangan menolak dahulu sebelum bersyura dengan orang yang bertanggungjawab ke atasmu (ini jika pinangan itu direct padamu). Walaupun cara itu salah dan tidak menghormati statusmu sebagai akhawat (rakan perempuan), namun di situ ada nilai ukhuwah yang perlu kita santuni pada ikhwah. Ada tarbiyah yang perlu kita ajarkan pada ikhwah dengan cara yang mudah dia terima tanpa merendahkan egonya.

Dahulu pernah ikhwah mengatakan akhwat kita ibarat warden penjara. Mereka tak tahu kita bertindak sedemikian kerana kita amat menjaga hati kita dengan Allah. Kita tahu kelembutan kita mesti mencairkan hati para ikhwah. Kerana itu kita tak mahu menjadi bahan fitnah.

Namun seluruh fikrah ini mengajarkan kita untuk berlemah lembut dengan manusia dan juga sentiasa mengajari manusia yang silap dengan cara yang terbaik. Maka bersyuralah. itu kuncinya.

Dan nak tahu something? Jika antunna sendiri berkenan untuk berkahwin dengan seorang ikhwah, jangan segan untuk bertanya naqibahmu. Itu bukan perigi mencari timba. itu usaha untuk menyelamatkan hatimu. Bila adanya orang tengah, takkan terasa segan dan malu. Orang tengah akan memainkan peranannya, walaupun prosesnya lambat.

Tidak semua yang melalui BM ini perfect.

Sepertimana orang yang kahwin selepas couple pun ada masalahnya, ada yang bercerai even. Begitu juga dengan BM. BM ini wasilah untuk kita dapat redha Allah, tapi kita pasti diuji. Fasa pengenalan pada awalnya sukar bagi dua insan yang langsung tidak pernah bercakap dan bertentang mata pun, namun disebalik itu ada kemanisan yang amat sukar diungkapkan.

Ianya amat manis, subhanalllah.

Tetapkan matlamatmu. Biar jelas. Biar terang.

Itulah dia kerana dakwah dahulu. Kerana Allah dan rasulNya dahulu.

Tak semua ikhwah perfect dan tak semua akhwat perfect. Carilah kesempurnaan itu betul-betul pada dakwah, baru yang lainnya. Allah akan cukupkan keperluanmu akhi wa ukhti, jika kamu memilih Allah sebelum yang lainnya insyaallah.

Jadilah moderate dalam prosesnya

Alhamdulillah, jika proses BM itu dimudahkan Allah. Berimbanglah. Berbincang itu perlu untuk menetapkan perkara-perkara yang penting di dalam kehidupan rumah tangga. tapi di situ jangan terlalu bermudah-mudahan dan menganggap bahawa tunangan kita itu milik kita dan kita boleh menyintai dia sesuka hati kita. Bila Allah sebagai sandaran, segalanya kelihatan dan dirasai rasional.

SYAFAKALLAH @ SYAFAKILLAH


Dari Abu Said Al-Khudri dan dari Abu Hurairah radhiallahu anhuma dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam beliau bersabda:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ “

Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu kelelahan, atau penyakit, atau kekhuatiran, atau kesedihan, atau gangguan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya (Dosa) kerananya.” (HR. Al-Bukhari no. 5642 dan Muslim no. 2573)

Ketahuilah wahai saudaraku -semoga Allah merahmati kita semua- telah menjadi ketetapan dari Allah Azza wa Jalla bahwa setiap manusia pasti pernah mengalami sakit dan musibah selama hidupnya. Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman :

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan 'Inna lillaahi wa innaa ilaihi roji'uun' (Dari Allah kita datang kepada Allah kita akan kembali). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk ". (Surah Al-Baqarah : 155-157).

Sakit dan Musibah adalah Takdir Allah Azza wa Jalla

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman :

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.(QS. Al-Hadid : 22).

"Tidak ada sesuatu musibahpun yang menimpa seseorang melainkan dengan izin Allah" (QS. At-Taghaabun : 11).

Sakit dan Musibah Adalah Penghapus Dosa

Ini adalah hikmah terpenting sebab diturunkannya sakit dan musibah. Dan hikmah ini sayangnya tidak banyak diketahui oleh saudara-saudara kita yang tertimpa musibah. Acapkali kita mendengar manusia ketika ditimpa sakit dan musibah malah mencaci maki, berkeluh kesah, bahkan yang lebih parah meratapi nasib dan berburuk sangka dengan takdir Allah. Nauzubillah, kita berlindung kepada Allah dari perbuatan sebegini. Padahal apabila mereka mengetahui hikmah dibalik semua itu, maka -insya Allah- sakit dan musibah terasa ringan disebabkan banyaknya rahmat dan kasih sayang dari Allah Ta'ala.

Hikmah dibalik sakit dan musibah diterangkan Rasulullah SAW, dimana beliau bersabda:

"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya". (HR. Bukhari no. 5660 dan Muslim no. 2571).

"Tidaklah seseorang muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanan hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan sebagian dari kesalahan-kesalahannya". (HR. Bukhari no. 5641).

"Tidaklah menimpa seorang mukmin rasa sakit yang terus menerus, kepayahan, penyakit, dan juga kesedihan, bahkan sampai kesusahan yang menyusahkannya, melainkan akan dihapuskan dengan dosa-dosanya". (HR. Muslim no. 2573).

"Bencana senantiasa menimpa orang mukmin dan mukminah pada dirinya, anaknya dan hartanya, sehingga ia berjumpa dengan Allah dalam keadaan tidak ada kesalahan pada dirinya".(HR. Tirmidzi no. 2399, Ahmad II/450, Al-Hakim I/346 dan IV/314, Ibnu Hibban no. 697, disahihkan Syeikh Albani dalam kitab Mawaaridizh Zham-aan no. 576).

"Sesungguhnya Allah benar-benar akan menguji hamba-Nya dengan penyakit, sehingga ia menghapuskan setiap dosa darinya".(HR. Al-Hakim I/348, disahihkan Syeikh Albani dalam kitab Shohih Jami'is Shoghir no.1870).

"Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang lebih dari itu, melainkan ditetapkan baginya dengan sebab itu satu darjat dan dihapuskan pula satu kesalahan darinya". (HR. Muslim no. 2572).

"Sakit demam itu menjauhkan setiap orang mukmin dari api neraka". (HR. Al-Bazzar, dishohihkan Syeikh Albani dalam kitab Silsilah al Hadiits ash Shohihah no. 1821).

"Janganlah kamu mencaci-maki penyakit demam, karena sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi". (HR. Muslim no. 2575).

Walaupun demikian, apabila seorang mukmin ditimpa suatu penyakit tidaklah biar tanpa usaha (ikhtiar) untuk berubat. Rasulullah SAW bersabda : "Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan Ubatnya". (HR. Bukhari no. 5678).

Perlu diketahui bahawa sesungguhnya Allah swt menyediakan ubat bagi setiap sakit yang datang. Dan haram bagi kita untuk berubat dengan cara yang salah, menggunakan bahan yang haram tanpa benar-benar mudarat, perubatan yang mensyirikkan Allah dan seumpamanya.

"Sesungguhnya Allah menciptakan penyakit dan ubatnya, maka berubatlah dan janganlah berubat dengan yang haram". (HR. Ad Daulabi dalam al-Kuna, dihasankan oleh Syeikh Albani dalam kitab Silsilah al Hadiits ash- Shohihahno. 1633).

"Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kalian pada apa-apa yang haram".(HR. Abu Ya'la dan Ibnu Hibban no. 1397. Dihasankan oleh Syeikh Albani dalam kitab Mawaaridizh Zham-aan no. 1172).

"Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan penyakit kalian pada apa-apa yang diharamkan atas kalian". (HR. Bukhari, di-maushulkan ath-Thabrani dalam Mu'jam al Kabiir, berkata Ibnu Hajar : 'sanadnya shohih',Fathul Baari : X/78-79)/

Jadi, ditimpa demam itu adalah sesuatu yang menguntungkan, kerana ia menghapuskan dosa, natijah yang lain, ia akan memantapkan keimanan =) Jom Share pada adik-adik comel dan kawan-kawan yang sedang Demam, Syafakallah wa Syafakillah!

JANGAN BIAR HATI DIPATERI


Siapa tidak mahu menjadi orang beriman? Malah dalam situasi mencari jodoh, kita telah pun mengakui apa sebenarnya kehendak hati seorang manusia. Lelaki yang bergaya 'stylo' tetap mahukan calon isteri yang solehah seperti Nur dalam cerita Nur Kasih. Wanita yang berlagak ala Lady Gaga masih dambakan calon suami seperti Asyraf dalam Program Realiti Imam Muda.

Itu membuktikan, masih ada secebis cinta kepada agama jauh di lubuk hati. Tetapi, mengapa kehendak itu tidak membuka pintu hati kita untuk berusaha mendapatkan hidayah dari Allah? Sedang kita tahu, fitrah hati kita ini menginginkan kesejukan pandangan dan rohani yang damai dengan salju keimanan!

"Belum terbuka hati aku untuk berubah. Agaknya hidayah Allah belum sampai." Sebelum kita ucap sebaris kata-kata itu, cuba ambil beberapa saat untuk bertanya kepada diri. "Apa yang sudah aku usahakan untuk mencari sinar petunjuk dari Allah?". Jika kita hanya membiarkan kaki terus berjalan di atas landasan yang dicipta oleh syaitan, tidak mungkin kita dipilih Allah untuk mendapat hidayah. Hayati firman Allah SWT,

"Katakanlah (Wahai Muhammad SAW), Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara (ikhwan) kamu, isteri-isteri (suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah SWT dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamanya maka tunggulah sehingga Allah SWT mendatangkan keputusanNya (azab siksaNya). Kerana Allah SWT tidak akan memberi hidayah kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (at-Taubah : 24)

Menurut Pensyarah di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam UiTM, Dr. Mohd Asmadi Yakob, antara punca-punca seseorang itu sukar mendapat hidayah adalah kerana mengikuti hawa nafsu dan syaitan. Manusia yang sentiasa menuruti kehendak nafsu dengan membelakangkan larangan dan suruhan Allah, hatinya sukar terbuka ke jalan kebaikan. Manakala, apabila dia menjadikan syaitan sebagai kawan, hatinya akan terus terpesong. Ini dapat dikaitkan dengan realiti masyarakat Islam hari ini yang mengamalkan susuk, sihir dan pemujaan syaitan dalam kehidupan. Telah Allah sebut di dalam surah al-Haj ayat 4, "yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka."

Selain itu, manusia yang berlaku zalim juga sukar memperoleh hidayah. Ia terbahagi kepada dua iaitu berlaku zalim terhadap diri sendiri dan zalim terhadap manusia lain. Seorang lelaki yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dengan sengaja, Allah akan 'memateri' hatinya! Hati menjadi keras, maka bagaimana sinar keimanan akan menyerap ke sanubarinya? Itu contoh zalim kepada diri sendiri. Manakala zalim terhadap manusia lain adalah dengan menganiaya orang tersebut. Doa orang yang teraniaya itu sesungguhnya amatlah mudah dimakbulkan Allah. Ini jelas menunjukkan Allah terlalu murka pada kezaliman.

Untuk memastikan diri tidak sukar diberi hidayah, jangan pernah biarkan hati menjadi keras. Ini boleh terjadi jika kita berkawan dengan rakan-rakan yang menghanyutkan kita dari mengingati Allah. Manusia yang melakukan maksiat dan dosa tetapi tidak bertaubat juga akan terus-terusan berada dalam keadaan yang sesat. Tanda hati telah menjadi keras juga apabila seseorang itu tidak suka mendengar perkara-perkara baik, majlis ilmu dan nasihat tentang keagamaan. Akhir sekali, apabila kita berperilaku melampaui batas-batas agama dan selalu berkata dusta, jangan dinanti hidayah mengunjungi segumpal darah di dalam tubuh! Beringatlah, apabila terdetik walaupun sebesar zarah kesedaran di dalam hati, segeralah mendekati Allah, mudah-mudahan hati dilimpahi hidayah yang berkekalan.

BUKAN UNTUK SAYA-SAYA BUKAN VALENTINE


Segala puji bagi Allah s.w.t. Tuhan Sekalian Alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. kerabat baginda, para sahabat serta seluruh umat Islam yang menjadikan Baginda sebagai contoh ikutan hingga ke Hari Kiamat.

Serangkap peribahasa dari negara Barat menyatakan 'Imitation is the most sincere form of praise' yang bermaksud 'Tiruan adalah pujian yang paling jujur'. Saya pula berkata, 'Tiruan adalah tanda yang paling jelas bagi menunjukkan kehambaan mental'.

Jadi, apakah maksud sebenar 'Valentine's Day'?

Ini adalah hasil pencarian Google saya baru-baru ini.

"Dalam sejarah Rom, 14 Februari merupakan tarikh cuti khas untuk menperingati Juno, Permaisuri Tuhan-Tuhan Roman. Keesokan hari tersebut, Jamuan Lupercalia pula akan diadakan bagi menyambut hari cuti yang penuh bermakna itu.

Pada masa ini, semua lelaki dan perempuan diasingkan antara satu sama lain. Walaubagaimanapun, mereka mempunyai satu upacara yang bermula menjelang hari sambutan Perayaan Lupercalia. Pada asasnya, semua nama perempuan akan ditulis di atas sehelai kertas dan kesemua helaian kertas tersebut akan diletakkan di dalam beberapa buah baling khas. Kemudian, setiap lelaki akan cabut sehelai nama dari mana-mana balang dan mereka akan terus menjadi pasangan sepanjang Perayaan itu. Selepas menjadi pasangan, mereka sudah semestinya akan terus berhubung antara satu sama lain sehinggalah sampai satu masa, mereka akan jatuh cinta dan berkahwin.

Raja Rom pada ketika itu, Raja Claudius II, juga dikenali sebagai Raja Kejam Claudius, sedang menghadapi masalah yang besar untuk mengambil pemuda-pemuda lelaki Rom untuk dijadikan sebagai askar. Dia percaya bahawa semua lelaki Rom enggan meninggalkan kekasih mereka serta membatalkan segala pertunangan dan perkahwinan yang telah dijadualkan di seluruh negara. Oleh itu, seorang paderi Rom yang bernama St. Valentine telah bertindak mengahwinkan ramai pasangan kekasih secara rahsia. Namun yang demikian, akhirnya dia ditangkap, ditahan dan dihukum dengan berat. Dia telah dibelasah sehingga mati dan kepalanya dipancung pada 14 Februari sekitar tahun 270.

Jamuan Lupercalia wujud bagi melambangkan ketidakpercayaan terhadap Tuhan. Pegawai-pegawai gereja dan paderi-paderi dari zaman Awal Kristian telah mengubahsuai Perayaan Lupercalia dengan mengubah salah satu daripada adat resamnya, iaitu tidak meletakkan nama-nama perempuan di dalam kesemua balang tersebut. Mereka menukar kesemua nama tersebut dengan nama-nama orang yang telah berkorban demi agama mereka. Mereka sebulat suara memilih nama serta hari pengorbanan St. Valentine sebagai "Valentine's Day" bagi menggantikan perayaan untuk jamuan itu."

Hari ini, syukur Alhamdulillah kerana kita semua tahu mengapa umat Islam diharamkan daripada menyambut Valentine's Day serta melakukan segala perbuatan yang meniru atau menampakkan walau sedikitpun unsur-unsur perayaan ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini merangkumi perbuatan-perbuatan seperti berdua-duaan dengan bukan muhrim, bermanja-manja atau menjalin hubungan cinta dengan penuh romantik secara jelas, melalui Internet, dan lain-lain. Semuanya adalah jelas sama sekali - HARAM.

Saya rasa, tiada seorang pun umat Islam hari ini yang tahu membaca dan menulis, tetapi pada masa yang sama, tidak tahu bahawa semua perbuatan ini adalah HARAM. Jadi, saya ingin berbicara dengan lebih lanjut mengenai satu lagi aspek yang hina lagi keji di dalam perayaan syaitan ini. Saya menggelarnya – 'The Thin Edge of the Wedge', iaitu dari segi bahasanya bermaksud "Sudut Bucu Yang Sempit bagi Sebuah Penghalang"

Lebih tepat lagi, mereka menggelarnya "Kebebasan". Ya, ia memang jelas sekali membawa makna yang baik, jadi kita tidak pula memikirkannya dengan lebih mendalam. Sebenarnya, "kebebasan" mereka bermaksud kebebasan untuk membuat apa sahaja yang mereka nak, sebagai contoh menjadi diri mereka sendiri, menyuarakan perasaan, mempunyai ruang, dan sebagainya. Terjemahannya memang baik, malah bukankah kita juga percaya terhadap sesebuah perjuangan untuk kebebasan? Bukankah selama ini kita acapkali memberikan sokongan yang mantap kepada semua pihak yang mewakili kita bagi berjuang untuk mendapatkan hak kita? Sepatutnya, kita mesti muhasabah diri kita dulu dengan beberapa soalan sebelum kita berbuat demikian, soalan-soalan seperti:

i. Kebebasan dari apa?

ii. Untuk buat apa?

iii. Apakah maksud sebenar 'menyuarakan perasaan kita'?

iv. Apakah maksud 'ruang'?

Dengan itu, barulah kita tahu maksud sebenar 'kebebasan', iaitu kebebasan dari menurut segala peraturan dan undang-undang, yang telah disusun khas bagi membentuk peribadi mulia semua penduduk di sesebuah negara untuk membolehkan mereka bertanggungjawab terhadap keamanan mereka bersama-sama. Tetapi persoalannya, bukankah semua perbuatan ini juga boleh diterjemahkan sebagai 'anarki'?

'Betul', kata mereka. Tetapi, sebagaimana yang kamu boleh lihat, mereka inilah umat manusia yang pelik, memalukan, tidak berakal, serta berfikiran ke belakang, dan tidak mempunyai nilai-nilai moral yang baik seperti orang lain. Inilah masanya untuk kita campak mereka jauh-jauh, berserta dengan segala ideologi-ideologi sesat mereka. Ini adalah khas untuk membolehkan kita menyertai aliran pemikiran sebuah masyarakat moden di dalam kampung yang bernama "Dunia" ini.

Mereka lupa nak beritahu kita bahawa 'konsumerisme' – adat perbelanjaan, ialah adat resam yang dominan di dalam kampung "Dunia" ini. Inilah adat yang membolehkan manusia memuaskan nafsu mereka untuk berbelanja, dengan berbekalkan had kad kredit mereka sebagai hutang. Mereka takkan sesekali mengingatkan kita bahawa satu hari nanti, kita mesti membayar juga segala hutang kad kredit yang telah dibelanjakan! satu hari nanti, kita akan dipertanggungjawabkan!

Mereka juga lupa untuk beritahu kita bahawa kesemua perbuatan ini menuju ke arah suatu pemikiran yang menjadikan manusia alpa terhadap tanggungjawab serta mementingkan diri sendiri – "Kau, kau! Aku, aku! Yang penting aku hidup bahagia!"

Peringatan: Bagi golongan-golongan yang disebutkan di atas;

1. Perkataan "Keluarga" sangat dibenci kerana keluarga melambangkan keperibadian tanggungjawab.

2. Perkataan "Tanggungjawab" juga sangat dibenci kerana orang yang bertanggungjawab arif berbelanja dengan penuh waspada dan tidak menurut nafsu.

3. Mereka amat benci orang yang bertanggungjawab kerana mereka tahu golongan ini pandai menabung, tidak membazir, tidak menurut nafsu dan tidak mengikut gaya hidup negatif

*Kesimpulannya, orang yang bertanggungjawab tidak menyokong 'konsumerisme' sama sekali. Ini berita buruk! Pendek kata, 'keluarga' mestilah dimusnahkan!

Untuk mencapai impian tersebut, dua perkara mesti dibolehkan secepat mungkin.

1. Hubungan seksual (kasual dan tidak mengira kaum)

2. Amalan-amalan yang tidak bermoral

Tapi, takkan kita nak cakap sebegitu rupa. Betul tak? Mestilah semua pihak akan melontarkan pelbagai kritik itu dan ini. Jadi, mereka mencipta satu istilah baru – "kebenaran orang dewasa"

Pada zaman moden ini, semua orang pun beranggapan bahawa 'menjadi dewasa' bermaksud membuat segala keputusan mengenai apa sahaja berkaitan kehidupan masing-masing dan orang luar tidak berhak untuk masuk campur, kan? Katakanlah dua orang dewasa ingin melakukan sesuatu yang orang lain tidak bersetuju atau menganggap ianya tidak baik, contohnya seperti rakyat jelata atau orang agama yang menyatakan pendapat mereka. Ini sudah semestinya melawan kebebasan, kan? Melawan kebebasan itu tidak elok, kan?

Maka dengan itu, wujudlah istilah "kebenaran orang dewasa" Kita pula tanpa segan-silu menyokong dengan penuh semangat yang jitu.

Jadi sekarang ini, bagi membolehkan kita "berjuang untuk kebebasan" kita mestilah menjadi dewasa dulu. Dewasa itu apa? 21 tahun? Tua sangat, orang dah lama matang. Jadi, 18? Apa kata 16? Ahh! Alangkah gembiranya hidup masa umur 16 tahun! Tapi kita tak boleh cakap sebegitu. Sebenarnya, 16 tahun ialah umur yang sangat sesuai untuk memperoleh kebenaran kerana seseorang manusia sudahpun matang semasa berumur 16 tahun. Jadi kenapa mereka mesti dikongkong daripada memperjuangkan hak mereka?

Kenyataan ini sangat asyik didengari, kan?

Jadi, macam mana nak jadikan hubungan seksual yang kasual supaya diterima oleh orang ramai?

Satu kaedah yang amat efektif ialah C-I-N-T-A. Perkataan yang mempunya lima huruf ini sebenarnya ada maksud tersirat, juga lima huruf iaitu N-A-F-S-U. Oleh itu, mereka pun mempromosikan idea C-I-N-T-A ini dalam satu bentuk perayaan – Valentine's Day. "Apa masalahnya?" tanya mereka. "Lebih-lebih pun, budak-budak lelaki dengan perempuan meluahkan rasa C-I-N-T-A kepada kekasih mereka." (Budak ke? Tak juga, semua macam bapak budak). Mula-mula, orang-orang alim Kristian pun tak benarkan perbuatan ini, tetapi akhirnya mereka mengalah.

Hakikatnya, Valentine's Day menggalakkan adat berbelanja di kalangan semua orang bagi membolehkan mereka meluahkan rasa C-I-N-T-A. Jadi, apa yang berlaku terhadap semua pihak yang cakap Valentine's Day ini HARAM? Kalau tak dipanggil Islamist, mesti mereka akan dipanggil sebagai pengacau, cerewet, terrorist, cacat akal, pandang ke belakang, dan yang sewaktu dengannya. Nampak tak?

Kenapa Allah s.w.t. beritahu manusia mengenai semua perayaan syaitan ini? Allah s.w.t. berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي الأَرْضِ حَلاَلاً طَيِّباً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاء وَأَن تَقُولُواْ عَلَى اللّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

Al-Baqarah (Surah Ke-2:Ayat 168) Wahai manusia! Makanlah apa yang dibolehkan dan baik di atas muka bumi, dan jangan sesekali ikut jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya, dia adalah musuh yang paling nyata. (Ayat 169) [Syaitan] mengajak kamu melakukan perkara jahat dan keji, dan khabarkanlah kepada Allah apa yang kamu tidak ketahui.

Jadi, macam mana nak jadikan hubungan seksual yang kasual supaya diterima oleh orang ramai?

Satu cara lagi yang sangat berkesan ialah melalui iklan, siri TV, dan wayang. Ini termasuklah Bollywood, Hollywood, dan juga semua iklan produk serta iklan perkhidmatan yang dengan jayanya telah menyumbang ke arah penghakisan saki-baki nilai-nilai moral masyarakat kita sehinggakan benda-benda yang pantang disebut/dibuat 10 tahun lalu, kini dianggap normal pada masa kini. Kita menggelarnya "hiburan". Kita menggelarnya sebagai kemajuan, iaitu siapa yang ikut pastinya elegan, dan siapa yang tak ikut akan dipandang sebagai kolot.

Inilah yang saya panggil 'The Thin Edge of the Wedge' atau "Sudut Bucu Yang Sempit bagi Sebuah Penghalang"

Bila dah sampai depan pintu, yang lain akan turut serta masuk ke dalam rumah. Ianya tidak boleh dielakkan lagi, ia pasti berlaku. Hanya tinggal masa yang akan menentukan bila ia akan menimpa kita. Kita fikir tiada apa-apa akan berlaku selagi kita jaga diri kita, kan?

Kita tak fikir apa-apa bila tengok iklan biskut yang tunjuk perempuan pakai baju tak cukup kain gigit biskut sambil baring atas sofa dengan penuh berahi.

Kita tak fikir apa-apa bila tengok iklan aiskrim yang tunjuk perempuan cantik jilat batang aiskrim yang jelas sekali mengingatkan kita mengenai satu lagi 'batang'.

Kita tak fikir apa-apa bila tengok iklan PDA yang fokus lebih kepada lengkungan badan model itu yang menyokong PDA tersebut daripada fokus kepada lengkungan PDA itu sendiri.

Dan selama ini, kita hanyalah menyedapkan hati masing-masing dengan berkata "Ala, semua tu iklan je. Bukannya aku kenal diorang, usik-usik diorang pun, kan? Jadi, diorang tak boleh buat apa-apa kat aku, kan?"

Semua iklan tersebut memang tak boleh apa-apakan kita, kan?

Kita memang tak nampak atau kita berpura-pura tak nampak, agenda sebenar yang telah dirancang – Kejuruteraan Sosial. Tukar norma masyarakat, tukar apa yang boleh dan apa yang tak boleh diterima. Tukar apa yang dilarang dan apa yang tak dilarang. Tukar daripada "Mustahil" menjadi "Penuh Aspirasi" Kamu mesti ingat tiada apa-apa perkara buruk yang akan berlaku, kan? Lihat sajalah bagaimana industri pengiklanan dan perfileman dipromosikan dan berubah semenjak 30 tahun lepas. Selepas itu, kita akan lihat realiti yang menunjukkan generasi ibubapa kita tidak sanggup untuk menonton sesuatu – yang walhal tidak sedikitpun mempengaruhi keperibadian kita.

Persoalannya ialah kenapa kita perlukan anggota badan model wanita untuk jual aiskrim? Bukankah itu halangan para wanita? Tidak, ia bukannya satu halangan! Dia buat semua itu dengan rela hati tanpa paksaan sesiapa. Samalah seperti main tenis, pemain wanita mesti pakai skirt mini. Pakai burqa ialah satu halangan. Tapi apa jadi apabila dia nak pakai burqa dengan rela hati juga? Mustahil! Burqa bukannya keagamaan, ia hanyalah gaya hidup. Cuba tanya Sarkozy, jadi ia mesti diharamkan.

Tapi, memaksa orang untuk tanggal baju sama sahaja dengan memaksa mereka pakai baju, kan? Ahh! Kamu semua takkan faham! Tapi tak mengapa, kamu semua kolot dan ketinggalan zaman, kan?

Kita juga tengok pelbagai jenis hubungan sebelum kahwin dan selepas kahwin di pawagam dan kaca TV yang menggunakan 'plot cerita' dan 'kebolehan berlakon' sebagai alasan untuk menyedapkan hati kita, contohnya seperti "Ala, dia berlakon je. Bukan betul-betul, kan?" sehingga tibanya hari di mana anak-anak kita akan mempunyai hubungan-hubungan sebegitu rupa. Bila kita tengok di kaca TV, kita tak pernah fikir bahawa ianya akan terjadi di dalam keluarga kita atau rumah kita sendiri, kan?

Tapi,

- bukankah kita sudahpun menerimapakai budaya-budaya yang baharu ini semasa kita membayar tiket dan menonton wayang?

- bukankah kita yang beritahu anak-anak kita bahawa semuanya hanyalah 'lakonan semata-mata' sebelum ini?

- bukankah kita yang anggap ianya tidak mengapa kerana kita tengok kesemua adegan-adegan tersebut secara beramai-rmai sebagai sebuah keluarga?

- bukankah kita yang memberikan tanggapan pertama yang positif terhadap prinsip "tak payah ikut mak ayah, ikut pelakon lagi seronok"

Kemudian, fenomena siri TV dan drama C-I-N-T-A pula mengambil alih aliran pemikiran kita; fenomena yang pasti meletakkan adegan-adegan suspen sebelum tamat untuk membuatkan kita pasti tengok pada episod seterusnya. Siri TV – Bold and Beautiful, ialah satu contoh yang baik bagi menunjukkan siri TV tampak berani tetapi tidaklah secantik mana. Ia mengisahkan hubungan lelaki dan perempuan sehinggalah tiba pada satu tahap di mana ianya menjadi sangat rumit apabila watak perempuan itu adalah isteri kepada seorang ayah, tiba-tiba menjadi ibu kepada seorang anak, dan pada masa yang sama, dia sendiri adalah kekasih lelaki lain, dan sebagainya.

Alangkah bebasnya dia! Dan kita pula sedang berada di mana ketika semua rancangan seperti ini ditayangkan? Di dalam ruang tamu kita sendiri, di mana semua jenis lakonan ditayangkan dan ditonton oleh seluruh ahli keluarga tanpa malu. Kenapa jadi begitu? Kerana kita masih lagi menganggap semua itu hanyalah "lakonan semata-mata" Dan kepada kita yang suka menonton National Geographic, berita, dan Animal Planet – sebenarnya, iklan-iklan yang menyebabkan kita masih menonton rancangan TV.

Apa yang terkandung di dalam iklan-iklan TV? Mereka sedang cuba sedaya-upaya untuk melampaui batas sempadan yang dibenarkan bagi menonjolkan nafsu, berahi, seksi, menukar kebiasaan rakyat, dan menjadikan yang tidak mungkin, mungkin! Tiada sesiapapun yang mahu membantah. Tapi, cuba tonton satu iklan – hampir semua iklan akan mempunyai pandangan/kritik dari persepsi yang berlainan. Tapi kita tak buat, itu sahaja.

Peringatan: Kepada sesiapa yang tidak pernah tonton TV atau tidak suka TV dan baca surat khabar atau majalah, di dalam media cetak pastinya terkandung lebih banyak iklan-iklan yang melampaui batas.

*'The Thin Edge of the Wedge' atau "Sudut Bucu Yang Sempit bagi Sebuah Penghalang" sekarang sudahpun membuka pintu dan yang lain akan turut serta masuk ke dalam rumah.

Sekarang, marilah kita lihat segalanya! Homoseksual. Sebelum itu, ingatlah bahawa semua ini adalah bertujuan untuk "kebebasan". Juga tidak ketinggalan, kebenaran orang dewasa serta apakah maksud "dewasa" Sudahkah anda tidak bersetuju terhadap "kebebasan"? Bukankah kamu berada di barisan hadapan semasa perjuangan untuk menyuarakan pendapat, mendapatkan ruang, dan memuaskan nafsu?

Jadi, apa masalahnya sekarang? Semuanya mengenai N-A-F-S-U, kan?

"Selamat tinggal, orang-orang tua. Sekarang ini ialah zaman kami." Kalau tidak percaya, cuba tanya anak-anak kita.

Pernah sekali terjadi perarakan Washington March for Gay Pride pada tahun 1993, mereka melaung:

"Kami di sini. Kami gay. Dan kami berhasrat untuk mengambil anak-anak anda"

Kamu ingat ianya tidak menjadi kebiasaan? Aiskrim pun begitu juga.

Wednesday, February 9, 2011

MUKJIZAT BAHASA AL-QURAN

Kebesaran kitab suci al-Quran tidak dapat disangkal lagi oleh orang yang mengetahui akan keajaibannya. Orang yang berakal belum tentu mengetahui akan mukjizat terbesar al-Quran yang merupakan mu’jizat sepanjang zaman. Banyak sejarah menceritakan tentang umat-umat terdahulu yang berakal tetapi tidak mahu menggunakan akal fikiran mereka untuk berfikir. Apabila mereka berfikir banyak pula daripada mereka yang menolak kebenaran disebabkan oleh kebodohon dan ketaksuban mereka terhadap agama nenek moyang mereka. Pada hal akal mereka mengetahui kebenaran sebenar.

Ya’qilun dan Ya’lamun.

Di sini terdapat perbezaan di antara berakal dan orang yang mengetahui. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Allah S.W.T. dalam firmannya: “…biarpun mereka sedikitpun tidak mengerti dan tidak mendapat petunjuk”.

Kalimah “tidak mengerti” dalam ayat ini adalah terjemah kepada kalimah laa ya’qilun (لا يعقلون), surah al-Baqarah, ayat 170. Dalam ayat lain, ayat 104, surah al-Maidah, Allah S.W.T. berfirman lagi :

“…biarpun mereka sedikitpun tidak mengerti dan tidak mendapat petunjuk”.

Dalam ayat ini Allah S.W.T. menggunakan kalimah laa ya’lamun (لايعلمون) yang membawa maksud ‘tidak mengetahui’. Di sini kita dapat lihat perbezaan di antara keduanya. Hal ini banyak menimbulkan persoalan di kalangan orientalis yang mengatakan bahawa kedua-dua kalimah « ya’qilun » dan « ya’lamun » itu sama maksudnya. Ilmu dan akal, ataupun akal dan ilmu itu adalah satu. Orang yang berakal ialah orang yang mengetahui, ataupun orang yang dapat menerima ilmu. Sebab itu mereka mengatakan maknanya sama sahaja.

Tetapi Kalamullah tidak ada tandingannya, para orientalis itu tidak beriman dengan al-Quran, bagaimana mereka itu dapat berhujah berkenaan al-Quran? Sekiranya mereka dapat berhujah dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan akal semata-mata sudah pasti mereka itu akan beriman dengan al-Quran. Sekiranya diteliti kedua ayat ini, kalimah « ya’qilun » itu digunakan sebagai menyatakan bahawa mereka itu (musyrikun) menafikan kebenaran disebabkan mereka itu memang pada hakikatnya mempunyai akal tetapi belum tahu apa-apa tentang Allah yang satu, sebab itu mereka menolak apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Pada ayat yang menggunakan kalimah « ya’lamun », di sini menceritakan bahawasanya mereka itu berakal, kemudian mereka telah mengetahui kebenaran, tetapi masih bersikap bodoh dengan pengetahuan mereka, sebab itu mereka tidak diberikan hidayah atau petunjuk.

Bahasa al-Quran tiada tandingannya. Balaghah al-Quran sangat halus dan luarbiasa sehinggakan tidak ada seorangpun yang dapat menandinginya walaupun para penyair yang tersohor di dunia ini.

Syair dan Kalamullah.

Cuba kita datangkan seorang penyair arab yang terhebat dan kita minta penyair itu membina sebuah syair (pantun atau sajak) yang paling hebat daripada akalnya sebagai menandingi surah al-Fatihah sehingga tidak terlawan oleh penyair handalan yang lain, kemudian kita aplikasikan syair arab itu dalam solat kita sebagai menggantikan surah al-Fatihah, apakah syair yang hebat itu dapat menandingi kehebatan Kalamullah surah al-Fatihah yang hanya tujuh ayat? Penulis yakin hanya beberapa kali ulangan syair itu, sudah pasti jemu untuk mengulanginya, bahkan mungkin ada yang berkata “syair apakah ini?” Hal ini dikuatkan lagi dengan firmanNya:
“Kami tiada mengajarkan syair (pantun) kepadanya (Muhammad), dan syair itu tiada patut baginya. Dia tidak lain, hanya peringatan dan Quran yang terang” (Yaasin 36: 69).

Cuba kita tanya diri kita, sudah berapa ribu kali kita membaca surah al-Fatihah dalam solat dan di luar solat? Pernahkah kita jemu mengulanginya, pernahkah kita merasai sesuatu yang tidak kena pada ayat-ayat dalam surah al-Fatihah? Cukup indah susunan ayat-ayatnya. Ayat-ayatnya ringkas tetapi maksud ayat-ayatnya memerlukan penafsiran yang berjilid-jilid.

Sehingga ke hari ini ramai yang mendalami surah al-Fatihah dari sudut balaghah, bahasa, penafsiran dan lain-lain yang bersangkutan dengan surah al-Fatihah itu sendiri, walhal ayatnya hanya tujuh sahaja. Walaupun tujuh ayat tetapi masih ramai yang salah dalam melafazkan ayat-ayatnya, sehinggakan terpaksa belajar ‘alif-ba-ta’ semula kerana mahu menyebut Kalamullah dalam surah al-Fatihah dengan tartil dan mengikut seperti bacaan Rasulullah S.A.W. Hanya tujuh ayat tetapi berbagai-bagai ragamnya.

Apa itu Mu’jizat?

Mukjizat adalah suatu perkara luar biasa dari undang-undang alam, ataupun kebiasaan alam. Allah S.W.T. telah mengurniakan Mukjizat itu kepada RasulNya untuk menunjukkan dasar-dasarNya serta menetapkan mereka di atas dasar-dasar tersebut. Di samping itu Allah S.W.T. mengingatkan manusia, bahawasanya para Rasul itu adalah utusan-utusanNya yang mendapat sokongan dan bantuan dari langit. Dan apabila sesuatu perkara itu mendapat sokongan dan bantuan dari langit, nescaya ia akan melumpuhkan segala undang-undang dan kebiasaan manusia dan menjadikannya lumpuh ketika berhadapan dengan perkara itu. (rujuk: Mu’jizat al-Quran, Muhammad Mutawalli Sya’rawi (penterjemah: Syed Ahmad Semait), Singapura, ms. 6), atau (lihat: Risalah fi al-I’jaz al-Qurani, Dr Radwan Jamal al-Atrash, UIA, fasal pertama).

Antara ciri-ciri Mu’jizat itu salah satunya ialah, perkara itu tidak pernah terfikir oleh akal akan berlakunya perkara itu, ianya di luar batas pemikiran manusia dan tidak terlawan oleh seorangpun akan perkara itu melainkan Allah, sehingga tercabar akal mereka untuk menerima hakikat terjadinya perkara itu. Sebagai contoh, Allah S.W.T. telah membatalkan sifat panas pada api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. Pernahkah terfikir oleh umat ketika itu tentang api yang sifatnya memang panas membakar tetapi sebaliknya menjadi sejuk ketika membakar Nabi Allah Ibrahim a.s., walhal pada ketika itu api terus menyala dan makin membesar.
Allah S.W.T. boleh menurunkan hujan supaya api itu padam dan tidak membakar Nabi Ibrahim a.s., tetapi perkara itu tidak mencabar akal mereka dan mereka pasti mengatakan yang hujan itu diturunkan sebab kuasa tuhan berhala mereka. Nabi Ibrahim a.s. sendiri gentar akan api yang menyala, baginda sendiri tidak menyangka yang api itu akan bertukar menjadi sejuk. Allah S.W.T. sendiri yang memberi arahan kepada api untuk menukar tabiatnya menjadi sejuk, sebagaimana firmanNya :

“Perintah Kami (Tuhan): Wahai api! Jadilah engkau dingin dan selamat atas Ibrahim”(al-Anbiya’: 69)

Walaupun begitu, kita perlu faham dengan jelas, mu’jizat itu bukanlah dimaksudkan untuk mencabar sesiapa, tetapi ia menunjukkan kehebatan dan keagungan Allah yang Maha Berkuasa. Dia dapat melakukan segala apa yang dikehendakiNya.

Al-Quran merupakan mu’jizat yang kekal selama-lamanya, tidak seperti Kitab-Kitab terdahulu yang merupakan mu’jizat yang telah ditetapkan waktu ke atasnya. Mengapa al-Quran dikatakan mu’jizat sepanjang zaman? Ini terbukti dengan setiap kejadian-kejadian baru seperti bala Tsunami, jerebu, dan banyak lagi peristiwa-peristiwa terkini ternyata terdapat dalam al-Quran. Kajian-kajian Sains seperti proses kejadian anak juga disebut di dalam al-Quran, pada hal penemuan Sains itu boleh dikatakan baru sahaja ditemui. Yakinlah, perkara-perkara yang bakal berlaku kelak pasti akan terjawab dengan al-Quran. Al-Quran menghurai setiap perkara, dan bukanlah setiap perkara baru yang menghurai al-Quran. Hal ini perlu difahami dengan jelas oleh setiap Muslim.

Pada zaman baginda Rasulullah S.A.W. merupakan zaman kegemilangan para penyair. Para penyair Arab ini diangkat menjadi menteri-menteri dan orang-orang yang cukup berpengaruh di kalangan Arab pada ketika itu. Mereka ini dipuja, dihormati, dan diangkat menjadi golongan yang tersohor. Sebab itu al-Quran merupakan mu’jizat baginda yang terbesar kerana ianya diturunkan pada zaman yang cukup terkenal dengan kehebatan para penyair. Para penyair ini rasa tercabar dengan kehebatan bahasa, balaghah dan ayat-ayatNya yang terlalu tinggi nilainya, sehingga akhirnya mereka menyerah kalah dengan ketinggian bahasa, balaghah, makna, lafaz, dan susunan ayat-ayat al-Quran.

Saidina Umar dan Mu’jizat al-Quran.

Inilah mu’jizat al-Quran. Dengan beberapa potong ayat sahaja dapat mematikan kemarahan Umar r.a. Beliau dikenali dengan sifat keberanian dan kemarahan. Tidak ada sesiapapun berani menentang beliau yang sedang marah. Allah S.W.T. yang mengetahui rahsia setiap sesuatu. Ketika beliau sedang panas-baran selepas mengetahui tentang keIslaman adiknya (Fatimah), lalu beliau berazam mahu membunuh adiknya, tetapi belum sempat membunuh, beliau sendiri tersentak apabila mendengar adiknya melafazkan kalimah yang tidak pernah didengarinya sebelum ini dari awal surah Taha.

Kuasa marahnya itu lentur seketika itu juga. Adakah syair Arab dapat melentur kemarahan Umar al-Khattab sebagaimana bahasa al-Quran? Pada hal beliau sendiri tidak memahami sepenuhnya maksud ayat-ayat al-Quran yang dibacakan adiknya, dan sebelumnya beliaulah orang yang paling menentang baginda S.A.W. Inilah yang dikatakan mu’jizat sehingga mencairkan rasa marah Umar lantas terus melafazkan syahadah di hadapan Rasulullah S.A.W. seketika selepas peristiwa itu. Memang ianya berlawanan dengan logika pemikiran kita, hanya sekadar bahasa dapat mengetuk pintu hati Umar r.a.